Khamis, 26 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jumlah penghidap HIV menurun

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Ahmad Shukri Ismail (dua dari kiri) melawat pasukan sukarelawan memeriksa kesihatan penduduk sempena Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Pahang di PPPTR Sungai Tekam, Jerantut, Pahang, semalam.

JERANTUT 26 Dis. - Jumlah penghidap jangkitan HIV di negeri ini sehingga Oktober lalu menunjukkan penurunan kepada 15.8 peratus berbanding 28.1 peratus pada 2009.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, peratusan itu membuktikan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai kempen pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dengan memperuntukkan RM1.23 bilion sejak 1993 hingga 2012.

"Kejayaan ini antara mekanisme dirangsang menerusi pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan memfokuskan penyebaran maklumat kepada masyarakat mengenai bahayanya jangkitan HIV dan AIDS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) Sungai Tekam di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Abu Bakar Awang Ngah; Pegawai Kesihatan Jerantut, Dr. Wan Abd Rahim Wan Muhamad dan Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Nadiatul Aswani Mohd. Yusoff.

Menurut beliau, antara program dilaksanakan adalah pertukaran jarum dan peralatan suntik dalam kalangan penagih dadah dengan ubat methadone menerusi program terapi di klinik kesihatan serta pertubuhan bukan kerajaan.

"Usaha ini memberi impak positif dengan penurunan jangkitan HIV dalam kalangan penagih pada 2005 daripada 86.9 peratus kepada 55.9 peratus sehingga Oktober lalu dalam tempoh sembilan tahun," ujarnya.

Katnya, beberapa program lain turut dilaksanakan seperti pemeriksaan kesihatan, penyampaian maklumat kepada remaja dan pameran kesihatan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia.

Tambahnya, usaha kerajaan membanteras penularan jangkitan itu mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima United Nation Malaysia Award 2013 baru-baru ini.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dikuat kuasa

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

KUANTAN 26 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah pindaan 2013 bertujuan melaksanakan undang-undang jenayah syariah dengan lebih berkesan di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (gambar) berkata, pihaknya mengemas kini enakmen tersebut memandangkan sebelum ini terletak di bawah Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Menurut beliau, di bawah enakmen lama terdapat tiga elemen di dalamnya iaitu pentadbiran, undang-undang keluarga Islam dan jenayah syariah.

Katanya, dengan pengasingan ini menyaksikan enakmen lama hanya mengandungi dua pengurusan iaitu pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam sahaja.

"Di bawah enakmen baharu ini sebanyak 71 seksyen berkaitan kesalahan jenayah syariah terkandung di dalamnya dengan melakukan beberapa penambahbaikan daripada segi kesalahan, denda dan penjara bagi mereka yang didapati terlibat jenayah tersebut.

"Sehubungan itu, penguatkuasaan dapat dilakukan dengan berkesan bersama agensi-agensi terlibat dalam mematuhi undang-undang syariah di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, enakmen baharu ini turut merangkumi kesalahan berhubung kesusilaan yang antara lain termasuk kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan dan perempuan berlagak seperti lelaki di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak berakhlak.

"Jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 25 November lalu sebelum dikuatkuasakan awal bulan ini.

Tambahnya, kewujudan enakmen ini dapat memberi impak positif kepada warga Pahang khususnya mereka beragama Islam.

"Enakmen itu juga diyakini akan dapat meningkatkan kualiti umat Islam bukan sahaja di negeri malah di Malaysia amnya," katanya.

Mangsa banjir Bera terus dapat perhatian

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

BERA 26 Dis. - Keperitan mangsa banjir di daerah ini mendapat perhatian apabila UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Majlis Belia Selangor (MBS) menghantar bantuan berupa makanan, kewangan dan selimut kepada mereka baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Bukit Bintang, Norzaity Othman berkata, seramai 40 orang terdiri daripada ahli Putera dan Puteri parti turut membantu membersihkan rumah mangsa.

Menurutnya, sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk membeli barangan keperluan seperti beras, gula, susu, biskut, selimut dan lain-lain untuk disumbangkan kepada mereka.

"Sasaran sukarelawan UMNO Bahagian Bukit Bintang adalah untuk membantu lebih 100 keluarga mangsa banjir di pinggiran Sungai Pahang termasuk perkampungan Orang Asli.

"Kedatangan kami ke sini sebagai mengeratkan silaturahim untuk membantu saudara seperjuangan yang ditimpa kesusahan seperti mangsa banjir,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan Misi Mangsa Banjir Bera 2013 kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Rakan Muda Bera di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Pengerusi MBS Daerah Petaling, Jamaluddin @ Jamil Alias berkata, apa yang dilakukan adalah sebagai simpati pihaknya dengan musibah yang menimpa mangsa banjir di negeri ini khususnya di Bera.

Tambahnya, usaha tersebut juga secara tidak langsung memberi mesej bahawa 'rakyat Selangor tidak melupakan rakyat Pahang' ketika berada dalam kesusahan seperti itu.

"Ini merupakan nilai tambah daripada pelbagai bantuan yang telah disediakan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved