Jumaat, 14 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keputusan 28 Mac

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

STOCKHOLM 14 Mac - Pasangan Malaysia yang didakwa mendera anak-anak mereka kekal berada dalam tahanan reman sehingga mahkamah Daerah Solna di sini membuat keputusan pada 28 Mac ini.

Hakim Daerah, Mattias Möller memutuskan Azizul Raheem Awaludin dan isteri, Shalwati Norshal mempunyai risiko melarikan diri dan oleh itu, mereka perlu ditempatkan dalam tahanan.

Hakim terbabit bagaimanapun membatalkan larangan berkomunikasi yang bermakna pasangan itu akhirnya boleh bertemu dan berbual dengan ahli keluarga dan rakan-rakan di pusat tahanan.

Peguam Shalwati, Kristofer Stahre berkata, keputusan mahkamah untuk tidak membebaskan mereka sehingga keputusan menunjukkan kecenderungan bahawa pasangan itu akan didapati bersalah walaupun terdapat peluang cerah menyebelahi pihak ibu bapa terbabit.

Perbicaraan Azizul Raheem dan Shalwati memasuki hari ke-11 dan merupakan hari terakhir dengan kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan berhujah di akhir kes.

Pegawai Pendakwa, Anna Arnell menghujahkan bahawa kredibiliti Azizul Raheem Awaludin menjadi lemah dengan sendirinya apabila lelaki terbabit mengaku memukul anak-anaknya ketika disoal-siasat oleh pihak polis tetapi menukar keterangannya sewaktu perbicaraan.

Arnell turut menyatakan Shalwati telah mengaku memukul Ammar dan Adam dalam beberapa kejadian yang berlainan tetapi mendakwa lain-lain pertuduhan yang dihadapinya adalah satu penipuan dan ditokok tambah.

"Saya mendapati ia satu perkara yang membimbangkan seorang ibu boleh mengatakan bahawa anaknya sendiri telah berbohong. Ia satu perkara yang tidak boleh diterima akal memandangkan Ammar kekal dengan keterangan yang diberitahu kepada rakan-rakan, kaunselor sekolah dan dalam beberapa sesi temu bual dengan pihak polis," katanya.

Arnell turut mengakui terdapat kelemahan dalam temu bual yang dijalankan apabila penemu bual bertanyakan soalan-soalan yang sudah mempunyai jawapan.

Beliau turut menggesa mahkamah agar menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun enam bulan kepada Shalwati dan penjara dua tahun bagi Azizul Raheem.

Sementara itu, peguam Shalwati, Kristofer Stahre berhujah, Ammar memikirkan untuk membalas dendam terhadap ibu bapanya, dengan merujuk kepada keterangan kawan remaja terbabit, John Webb yang menyatakan bahawa rakannya itu mempunyai perasaan benci terhadap orang tuanya.

"Adalah terlalu naif untuk memikirkan seseorang yang ingin membalas dendam terhadap ibu bapanya mampu memberikan keterangan yang objektif," kata Stahre.

Peguam Azizul Raheem, Jonas Tamm yang mempersoalkan mengenai ketiadaan tempoh masa setiap pertuduhan menyatakan, dakwaan terbabit mampu memperincikan 'siapa', dan 'apa' tetapi tidak 'bila'.

Beliau berkata, disebabkan terdapatnya isu ketidakpastian, kes itu sepatutnya bersandar kepada keterangan sokongan namun sebaliknya hanya bergantung kepada keterangan anak-anak pasangan itu.

Tamm menyatakan, faktor terbabit telah melemahkan kes pihak pendakwaan termasuk dengan pihak polis bertanya soalan-soalan yang tersedia dengan jawapan dan keterangan yang tidak konsisten dalam kalangan kanak-kanak itu sendiri, kekaburan dalam pertuduhan yang dan kekurangan bukti sokongan.

Azizul Raheem dan Shalwati dijangka mengetahui nasib mereka dalam tempoh dua minggu lagi dengan keputusan akan dibuat oleh Hakim Daerah, Mattias Möller.

Sweden telah mengharamkan hukuman berbentuk fizikal ke atas kanak-kanak sejak 1979 dan ini bermakna Azizul Raheem dan Shalwati berdepan dengan hukuman penjara maksimum enam tahun sekiranya didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul Raheem didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013. - THE STAR

Keris: Dakwaan hubungan suka sama suka tidak tepat

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

SHAH ALAM 14 Mac - Majlis Peguam diingatkan agar tidak cuba mengelirukan rakyat berhubung hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didapati bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Presiden Kelab Warisan Malaysia (Keris), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, dakwaan badan itu bahawa hukuman tersebut tidak wajar kerana dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa adalah tidak tepat kerana mangsa, Mohd. Saiful Bukhari telah membuat laporan polis berhubung perbuatan Ketua Pembangkang itu.

Selain itu, Mohd. Khairul Azam yang juga seorang peguam menjelaskan, polis turut mendapati ada kes untuk mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat seperti bukti-bukti yang diperolehi.

"Kerelaan tidak menjadi isu dalam kes liwat ini jika kita rujuk Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

"Perbuatan tersebut (liwat) adalah bertentangan dengan tabii, justeru pendapat Majlis Peguam tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong yang menyifatkan hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar kerana perbuatan tersebut dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa.

Menurut Christopher, kesalahan di bawah Seksyen 377A (Kanun Keseksaan) yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya diguna pakai jika perbuatan itu dilakukan atas dasar paksaan, sedangkan dalam kes Anwar, perbuatan tersebut dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.

Christopher mendakwa, hukuman itu berasaskan kepada peruntukan 'lapuk' Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hubungan seks suka sama suka antara orang dewasa satu jenayah.

Pada 7 Mac lalu, Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.

Mohd. Khairul Azam menambah, hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Anwar juga tidak wajar berbanding hukuman maksimum 20 tahun dan sebatan yang boleh dikenakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved