Jumaat, 14 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pelajar perlu akses terbaik

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
utusanjohor@utusan.com.my

ZAINI Abu Bakar (dua dari kiri) diiringi Mohd. Nadzari Bachek (kanan) dan Fawzi Mohd. Noh (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar sekolah selepas merasmikan Program Penambahbaikan Perpustakaan Sekolah Pintar UEM Sunrise Bhd., di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, Nusajaya, Johor, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

NUSAJAYA 13 Mac - Para pelajar perlu diberikan akses terbaik kepada pelbagai bidang pengetahuan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat madani yang mempunyai ilmu pengetahuan dan nilai moral tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar berkata, akses kepada ilmu pengetahuan adalah hak setiap individu kerana merupakan nilai penting dalam melahirkan mereka untuk menghadapi cabaran masa akan datang.

Nilai dan taraf sesebuah negara itu amat bergantung kepada masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan nilai moral yang tinggi.

Dalam usaha melahirkan masyarakat sedemikian, adalah penting untuk kita memastikan anak-anak generasi kini mendapat akses selengkapnya dalam bidang pendidikan, khususnya di peringkat sekolah," katanya semasa merasmikan Program Penambahbaikan Perpustakaan Sekolah Pintar UEM Sunrise Bhd., di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kanan Nusajaya UEM Sunrise Bhd., Mohd. Nadzari Bachek dan Guru Besar SK Taman Nusa Perintis 1, Fawzi Mohd. Noh.

Sementara itu Mohd. Nadzari berkata, program yang dijalankan pihaknya itu penting dalam usaha memupuk minat murid-murid menggunakan perpustakaan sekolah untuk menimba ilmu.

Ini penting kerana perpustakaan adalah gudang ilmu dan ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata, malah penting bagi mengharungi cabaran kehidupan.

Program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihak UEM Sunrise yang mahu mengimbangkan pembangunan bukan sahaja dalam aspek infrastruktur, malah modal insan," katanya.

Seni warisan budaya perlu terus dipelihara

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

IAN Mak (tengah) menunjukkan sesuatu pada lukisan yang dipamerkan sempena majlis perasmian Pameran Koleksi Seni Visual Warisan dan Budaya yang diadakan di Galeri Seni, Johor Bahru, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Mac - Seni warisan dan budaya masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun harus dilestarikan kepada generasi muda bagi membangunkan masyarakat yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang moden, malah seni tradisi.

Pegawai Khas Yayasan Warisan Johor (YWJ), Mohd. Azlan Hafiz Mohti berkata, pembangunan sesebuah masyarakat amat memerlukan keseimbangan antara pengetahuan moden dan sejarah serta budaya masyarakat silam agar tidak hilang begitu sahaja.

Selain merupakan karya yang berharga, seni warisan dan budaya juga merupakan salah satu aspek unik yang membezakan Malaysia dengan negara luar.

Justeru, penting bagi warisan seperti ini terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi baharu agar karyanya dapat diteruskan," katanya semasa menghadiri majlis perasmian Pameran Koleksi Seni Visual Warisan dan Budaya yang diadakan di Galeri Seni di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Konsul Jeneral Republik Singapura di Johor, Ian Mak.

Mohd. Azlan berkata, sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, adalah penting majlis sedemikian diadakan kerana mampu mempromosikan warisan dan budaya yang dimiliki kepada pelancong asing.

Selain mampu menjadi produk pelancongan, pameran seperti ini juga bertujuan menggalakkan pengkarya menghasilkan lebih banyak karya yang mempunyai nilai warisan tinggi," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved