Rabu, 23 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Keputusan kes Liong Sik tipu kerajaan diketahui esok

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Setelah dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik akan mengetahui nasibnya sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan itu, Jumaat ini.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi akan mengumumkan keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Liong Sik, 70, yang dibicarakan atas satu pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan.

Tertuduh yang diwakili peguam Wong Kian Kheong didakwa atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek PKFZ.

Bekas Presiden MCA itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Bagi tuduhan utama, Liong Sik didakwa dengan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sehingga mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan membeli tanah tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi dua pertuduhan pilihan pula, Liong Sik didakwa telah menipu kerajaan dengan cara yang serupa.

Bagi kedua-dua tuduhan pilihan itu, Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup mengendalikan perbicaraan sejak 1 Ogos 2011 dan sepanjang 30 hari prosiding berlangsung seramai 25 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

Hakim Ahmadi pada 9 Mac 2012 memerintahkan Liong Sik membela diri setelah mendapati terdapat kes prima facie yang perlu dijawab olehnya.

Tertuduh mula memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi selama lapan hari bermula 13 Julai 2012 bagi menangkis semua dakwaan terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, beliau sentiasa ditemani isterinya Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelaki mereka, Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Kiat.

Di peringkat pembelaan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn telah tampil memberi keterangan.

Yang turut menjadi saksi pembelaan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Tian Chua, 5 aktivis kekal dibicara berasingan

Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Perbicaraan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; aktivis pelajar Adam Adli Abd. Halim dan empat lagi aktivis propembangkang yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan kekal dijalankan secara berasingan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang menolak permohonan semakan oleh pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kes itu dibicarakan secara berasingan.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian setelah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang telah melaksanakan kuasa bicaranya dengan betul namun terpulang kepada budi bicara Mahkamah Tinggi untuk menetapkan kes itu dibicara secara berasingan atau serentak.

"Setelah menyemak prosiding asal dan keputusan Mahkamah Sesyen, mahkamah mengekalkan perintah hakim tersebut yang memutuskan perbicaraan dijalankan secara berasingan,'' kata beliau.

Pada 13 September lalu, Norsharidah memutuskan perbicaraan enam aktivis propembangkang itu dibuat secara berasingan supaya tidak menimbulkan prejudis kepada semua tertuduh memandangkan masa kejadian dan teks ucapan setiap mereka adalah berbeza.

Selain Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chiang, 50, dan Adam Adli, 24, turut didakwa bagi tuduhan yang sama ialah Hishamuddin Md. Rais, 62; ahli Pas, Mohd. Tamrin Abdul Ghafar, 63; peguam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54; dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Awang @ Talib, 24.

Keenam-enam tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di No. 1, Jalan Maharajalela, di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili Muhammad Safwan dan Mohd. Tamrin berhujah, kes itu perlu dibicarakan secara berasingan memandangkan terdapat enam ucapan yang berbeza walaupun pertuduhan berlaku dalam majlis, tempat dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi pula menghujahkan, kes itu perlu dibicarakan bersama kerana melibatkan saksi-saksi dan rakaman video yang sama.

Haris diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala peguam Michelle Yesudas mewakili Tian Chua, Adam Adli dan Hishamuddin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved