Selasa, 1 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Keunikan Sungai Petani Inn

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Pintu masuk ke Hotel Sungai Petani Inn, Kedah, sedia menanti kedatangan pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara.

SUNGAI PETANI 31 Mac- Adakalanya kita berasa bimbang dalam mencari tempat penginapan apabila merancang untuk bercuti atau mengunjungi ke sesuatu destinasi.

Namun, masalah tersebut sebenarnya tidak berlaku apabila berkunjung ke bandar Sungai Petani.

Ini kerana banyak pilihan yang boleh dibuat sama ada hotel bajet, bertaraf dua, tiga atau empat bintang, kesemuanya ada ditawar di bandar itu.

Antara hotel yang menawarkan penginapan selesa adalah Sungai Petani Inn. Terletak di Jalan Kolam Air iaitu berdekatan pusat bandar, hotel tersebut sememangnya cukup sinonim dengan Sungai Petani kerana merupakan antara penginapan terawal yang ditawarkan di situ.

Hotel bertaraf tiga bintang itu dilengkapi 114 bilik meliputi 48 bilik superior, 58 deluxe, tujuh suit junior dan satu suite royal menawarkan penginapan selesa untuk semua kategori pelanggan sama ada yang datang untuk tujuan perniagaan, bercuti mahupun singgah untuk melepaskan penat.

Pengurus Besar Kedah Resort Sdn. Bhd. (Kedah Resort), Ibrahim Ishak berkata, hotel tersebut yang dimiliki penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sebelum ini dikenali sebagai Amanpura Hotel.

Bagaimanapun katanya, premis itu diberi nafas baharu setelah nama hotel ditukar kepada Sungai Petani Inn pada 26 Disember tahun lalu atas persetujuan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

"Hotel ini sekarang berimej baharu dan perubahan demi perubahan giat dilakukan bersesuaian dengan peredaran masa. Sejak perubahan dilakukan, kita menerima sambutan hebat daripada pengunjung terutama dari luar seperti Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain serta dari Aceh, Indonesia kerana ia menawarkan kadar penginapan berpatutan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ibrahim berkata, kadar sewa di hotel itu dianggap menarik bersesuaian dengan perkhidmatan setaraf lima bintang yang ditawarkan iaitu serendah RM176 sebilik berserta dengan sarapan pagi.

Tambahnya, selain itu para pengunjung boleh menikmati pelbagai sajian tempatan istimewa di Aroma Coffee House di situ.

"Istimewanya, pelanggan dari luar boleh menikmati pelbagai juadah makanan mengikut cita rasa utara, katanya.

Ibrahim berkata, hotel tersebut juga menawarkan kemudahan bilik mesyuarat, bilik seminar dan sebuah dewan yang boleh memuatkan kapasiti 700 orang untuk pelbagai aktiviti.

"Dewan ini mempunyai kemudahan surau, alat pandang dengar (projektor) dan sistem alat siaraya. Buat masa kini, kita mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pasangan yang berkahwin untuk mengadakan majlis jamuan dan resepsi mereka di sini," katanya.

Beliau memberitahu, Hotel Sungai Petani Inn turut mempunyai kakitangan yang pakar dalam bidang pengurusan acara bagi menguruskan majlis perkahwinan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ketua Unit Pelancongan PKNK berkata, pihaknya kini giat menjalankan usaha mempromosi pelbagai produk pelancongan di tanah besar negeri Kedah.

"Sebelum ini, banyak tumpuan diberikan terhadap Langkawi. Namun, sekarang usaha sedang dilakukan bagi mempromosi kawasan pelancongan menarik seperti di Sungai Petani dan Kulim, katanya.

Beliau berkata, kawasan ini sendiri mempunyai banyak tarikan seperti Hutan Paya Bakau Semeling, kawasan penemuan Tamadun Kedah Tua di Lembah Bujang dan aktiviti menyusuri Sungai Merbok.

Katanya, beberapa pengusaha pelancongan tempatan, hotel dan juga Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) sendiri memberikan kerjasama yang baik untuk program tersebut.

Penjaja dikecuali bayar lesen

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Oleh Safina Ramli
utusankedah@utusan.com.my

Badrul Hisham Hashim memberi penerangan mengenai pengecualian cukai kepada penjaja kecil selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengecualian Lesen Penjaja di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 31 Mac - Lebih 100,000 penjaja kecil di negeri ini dikecualikan daripada membayar lesen bagi semua kategori perniagaan di pasar sehari, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan penjaja bergerak, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, perkara itu merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mengikut kertas No. 6 (F) 304/2013 yang bersidang pada 18 Disember tahun lalu.

"Perkara ini merupakan antara janji kerajaan negeri kepada rakyat dan kini mula dilaksanakan sebagai tanda kita mengambil berat hal ehwal penjaja kecil di negeri ini.

"Dulu hasil yang diperoleh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi bayaran lesen penjaja ialah RM4 juta setahun, sekarang kerajaan negeri yang akan tambah nilai tersebut kepada PBT mengikut lesen yang dikeluarkan dalam setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan pengecualian bayaran lesen penjaja di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan suara penjaja kecil didengari di negeri ini, seorang wakil penjaja diletakkan sebagai ahli majlis di dalam setiap PBT sejak enam bulan lalu.

"Setiap masalah yang dihadapi penjaja, kita akan dapat maklumat secara terus daripada wakil ini dan selesaikan masalah ini dengan segera," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham berkata, kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan catuan air memandangkan bekalan masih mencukupi.

"Paras air empangan utama kita masih boleh bertahan sehingga tiga bulan lagi, jadi tidak ada catuan air dalam tempoh terdekat.

"Sekarang hujan mula turun dan dijangka musim kering akan berakhir tidak lama lagi," katanya.

Didik ummah pegang teguh pada Ahli Sunnah Wal Jamaah

Posted: 31 Mar 2014 11:45 AM PDT

Raja Dr. Nazrin Shah bersama Tuanku Zara Salim bersama ahi-ahli Dewan Undangan Negeri bertafakur bagi menghormati tragedi MH370 pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam. - Utusan/HANAFI KHAMIS

IPOH 31 Mac - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menegaskan, usaha perlu dilakukan secara bijak lagi berhemah bagi mendidik umat Islam agar berpegang teguh kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baginda bertitah, langkah itu perlu direncana tanpa perlu memburukkan serta menyinggung perasaan pihak lain secara keterlaluan sehingga mencetuskan persengketaan.

"Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah teras pegangan umat Islam di negeri ini, namun realiti dunia yang lebih terbuka turut mendedahkan umat Islam kepada pelbagai pengaruh fahaman lain.

"Aspek bimbingan, dakwah dan latihan perlu dilaksanakan secara lebih berkesan agar kefahaman dan penghayatan ummah dapat ditingkatkan.

"Konflik fahaman dan salah faham antara agama tidak dapat diselesaikan melalui kaedah berkonfrontasi. Budaya saling menghormati perlu sentiasa dijadikan pedoman dalam menangani masalah perbezaan fahaman sesama Islam serta konflik isu antara agama," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, isteri baginda, Raja Puan Perak, Tuanku Zara Salim.

Terdahulu, tentang projek pembangunan negeri, baginda bertitah, pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat sepanjang 19 kilometer dari Jambatan Sungai Bernam, Hutan Melintang ke Jambatan Sultan Yussuf, Teluk Intan akan bermula Jun ini dan dijadual siap pada tahun 2017.

Baginda bertitah, bagi mengatasi kesesakan trafik, PLUS Malaysia Bhd., sedang menaik taraf persimpangan bertingkat di Plaza Tol Kuala Kangsar serta melaksanakan projek persimpangan bertingkat Alor Pongsu yang masing-masing dijangka siap pada Disember ini dan penghujung tahun 2016.

"Kerajaan beta sedang berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM90 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja pelebaran jalan sepanjang 12 kilometer dari Tol Plaza Alor Pongsu ke Bagan Serai," titahnya.

Baginda bertitah, antara projek besar yang sedang dilaksanakan ialah Rancangan Tebatan Banjir di daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama bernilai RM340 juta yang dijangka siap pada tahun depan.

Menurut baginda, Projek Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa 1 yang bakal mengurangkan masalah banjir di Lembangan Sungai Pari dan Sungai Pinji di Ipoh, melibatkan kawasan seluas 16,000 hektar juga dijangka siap tahun depan apabila Kolam Pinji dan Kolam Klebang dibangunkan sebagai kolam takungan banjir.

"Kerajaan Persekutuan turut meluluskan 33 projek baharu dan 141 projek sambungan dengan peruntukan siling RM834.38 juta. Projek dirancang pada tahun ini termasuklah Perumahan Rakyat Bandar Baru Segari, Pusat Penyelamat Spesies Hidupan Liar serta Bangunan Arkib Negara Malaysia.

"Selain itu, sekolah menengah juga akan dibina di Proton City; Kampung Bahagia, Teluk Intan dan Kampung Bawong, Sungai Siput," titahnya.

Tambah baginda, pembangunan 41 pekan kecil oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sehingga tahun 2018 pula menyaksikan tiga daripadanya bakal siap hujung tahun ini melibatkan pekan Ijok, Trong dan Sauk sementara 10 lagi akan dimulakan pembinaannya kelak.

Bahkan, titah baginda, kerajaan negeri juga berusaha memastikan perumahan mampu milik dibina dengan bilangan mencukupi dan PKNP dipertanggungjawabkan membangunkan 10,000 unit menjelang 2018.

"Pentadbiran tanah yang cekap dengan 67 peratus urusan dapat diselesaikan dalam masa kurang daripada dua jam menjadikan Perak antara negeri teratas dengan prestasi konsisten pencapaian 100 peratus pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga tanah," titah baginda.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved