Rabu, 1 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


TMM: Pelancong pertama tiba

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Shahaniza Shamsuddin (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada pelancong yang tiba sempena TMM 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 1 Jan. - Pejabat Tourism Malaysia Pahang menganjurkan sambutan mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini.

Majlis sambutan turut diadakan di Lapangan Terbang Tioman, dekat sini.

Acara tersebut mendapat kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan penggiat industri pelancongan Pahang.

Pada majlis berkenaan, para pelancong disambut dengan persembahan tarian dan muzikal tradisional Pahang serta diberikan bunga telur.

Selain itu, pelbagai cenderamata lain bersama risalah pelancongan sempena TMM 2014 turut diedarkan kepada para pelancong.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar; Pengarah Pejabat Pelancongan Pahang, Idros Yahya dan Pengarah Tourisme Pahang, Mohd. Faharuddin Hatmin.

Seorang pelancong yang ditemui, Robert Atkinson, 51, dari New Zealand berkata, dia dan isteri pertama kali berkunjung ke negeri ini.

"Apabila tiba hari ini, kami disambut dengan persembahan muzik termasuk diberikan risalah pelancongan di negeri ini, saya gembira dengan sambutan diberikan.

"Saya dan isteri akan bercuti di negeri ini selama empat hari," katanya.

Seorang lagi pelancong, Monica Sun, 34, dari Beijing, China berkata, dia dan ahli keluarganya memilih Club Med untuk destinasi percutian.

"Terima kasih kerana menyambut kehadiran kami, saya dan keluarga amat gembira dengan sambutan diberikan. Kami akan menghabiskan masa selama enam hari di negeri ini," katanya.

MPIBG1M mampu majukan bidang pendidikan

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Sebahagian daripada 416 pelajar cemerlang sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Kuala Krau menerima sumbangan Yayasan Pahang yang disampaikan oleh Ismail Mohamed Said (belakang, tengah, baju batik) dan Rosdi Ismail (belakang, berkot) di Dewan SMK Kuala Krau di Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 1 Jan. - Cadangan penubuhan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru 1Malaysia (MPIBG1M) di Parlimen Kuala Krau mampu mewujudkan kumpulan pemikir dalam memajukan bidang pendidikan secara lebih menyeluruh.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, penubuhannya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat memberikan idea bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Menurutnya, majlis itu perlu dianggotai ibu bapa, ketua kampung, polis, pegawai Felda, ketua belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

"Aktiviti atau program yang dirangka bersama mampu meningkatkan bidang pendidikan pelajar supaya dapat bersaing dengan para pelajar di kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam kawasan Parlimen Kuala Krau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pelajaran Pahang, Mohd. Rosdi Ismail.

Sebanyak 416 murid cemerlang UPSR dan pelajar PMR menerima sumbangan wang tunai daripada Yayasan Pahang dan UMNO Bahagian Kuala Krau.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kewujudan majlis itu penting bagi menjalinkan kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

Tambahnya, langkah tersebut akan membantu menghasilkan lebih banyak keuntungan dalam bidang pendidikan yang merupakan teras kepada kemajuan negara.

"Sudah tiba masanya majlis tersebut diwujudkan memandangkan sehingga kini belum ada mana-mana institusi pendidikan bertaraf kolej atau universiti mempunyai pertubuhan sedemikian.

"Penubuhan itu membolehkan ibu bapa saling berinteraksi dengan guru dan pemimpin setempat demi kepentingan pelajar," katanya.

NGO Lipis anjur gunting rambut percuma kepada pelajar

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Ahmad Daniar Ismail (berdiri belakang, lima dari kanan) bersama-sama sebahagian pelajar yang mendapatkan khidmat gunting rambut sempena Program Jom Kembali ke Sekolah di Kuala Medang, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 1 Jan. - Sebanyak 75 pelajar sekolah menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma sempena Program Jom Kembali ke Sekolah yang diadakan di Kampung Kuala Medang Hulu Jelai di sini hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) Lipis, Pemuda UMNO cawangan Kuala Medang, Gerakan Belia 4B (GB4B) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang.

Perasmian program itu disempurnakan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Daniar Ismail dan turut dihadiri Ketua Kampung Kuala Medang, Ismail Mat Sam.

Menggunakan dua tukang gunting rambut, kebanyakan pelajar sekolah yang menyertainya dari Kampung Kuala Medang, Kampung Kuala Serau dan Perkampungan Orang Asli Pos Pantos.

Menurut Ahmad Daniar, program berkenaan disifatkan tepat pada masanya sebagai persiapan pelajar sebelum sesi persekolahan esok.

"Program ini mampu membentuk sikap dan disiplin pelajar di samping mengetahui peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerja sukarela dalam kalangan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita.

Ahmad Daniar berkata, komitmen NGO menerusi program berkenaan antara alternatif mengurangkan beban ibu bapa.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerjasama NGO terhadap kerja amal amat dialu-alukan dalam memajukan masyarakat setempat selari dengan aspirasi transformasi bidang sosial.

"Program ini sekali gus menzahirkan usaha NGO melaksanakan kewajipan sosial untuk membantu pelajar dari keluarga miskin dan sederhana menikmati kemudahan menggunting rambut secara percuma," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved