Sabtu, 28 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL perluas KPI kebersihan

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

DR. LOGA Bala Mohan (tengah) beramah mesra dengan wakil persatuan penduduk setiap zon yang menerima sumbangan modal selepas merasmikan Program KPI Kebersihan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013 di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperluaskan Program Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebersihan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula diperkenalkan tahun lalu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, program tersebut akan diperluaskan kepada perumahan kos rendah swasta mulai tahun ini selepas memberikan hasil positif.

"Sebelum ini program yang memfokuskan pembudayaan kebersihan di kawasan perumahan itu hanya dibuka penyertaannya kepada perumahan awam kendalian DBKL.

"Bagaimanapun untuk tahun ini, kementerian dengan kerjasama DBKL bersetuju memperluaskan penyertaan kepada perumahan kos rendah swasta.

"Dengan inisiatif baharu itu, kita menerima penyertaan daripada 55 perumahan swasta pada tahun ini dan 30 daripada perumahan DBKL menjadikan keseluruhan penyertaan berjumlah 85," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran program berkenaan bagi tahun 2013 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Mohd. Ikhsan dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan kementerian, Datuk Hasim Ismail.

Menurut Bala Mohan, jumlah penyertaan itu menunjukkan sambutan positif daripada masyarakat untuk terus membudayakan amalan kebersihan, keindahan dan keceriaan persekitaran perumahan.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM170,000 sebagai modal permulaan kepada 85 kawasan perumahan terlibat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pembersihan.

"Setiap 85 perumahan itu masing-masing menerima RM2,000 untuk membantu mereka menampung keperluan aktiviti sebelum penilaian bagi tujuan pemarkahan dilakukan panel penilai.

"Kementerian turut menawarkan imbuhan sebanyak RM20,000 masing-masing kepada 30 persatuan penduduk yang berjaya mencapai kriteria KPI yang ditetapkan," katanya.

Ujar beliau, keputusan pemenang dijangka akan diumumkan semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari tahun depan.

PPR Muhibbah dibaik pulih hujung tahun

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membaik pulih 316 unit rumah kosong di Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Bukit Jalil bagi proses pemindahan semula penduduk dari beberapa kawasan setinggan.

Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, unit kosong tersebut dirizabkan kepada mereka yang terlibat dengan proses pemindahan setinggan antaranya dari Kampung Medan, Kampung Wira Batu Muda, Kampung Puah Seberang, Ladang Bukit Jalil, Kampung Indian Settlement dan Kampung Baru Salak Selatan.

Mengenai kelewatan pemindahan setinggan, menurutnya, ini disebabkan penduduk di setinggan berkenaan enggan berpindah masuk walaupun beberapa siri notis telah dikeluarkan oleh DBKL.

"Contohnya setinggan Kampung Indian Settlement yang telah membawa kes ke mahkamah menyebabkan urusan pemindahan tertangguh.

"Namun begitu, DBKL telah merancang untuk mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan penduduk setinggan terbabit bagi menyelesaikan perkara itu," katanya dalam kenyataan akhbar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang dikeluarkan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai lebih 400 unit rumah di PPR Muhibbah yang dibiarkan kosong sejak tujuh tahun lalu sehingga menjadi sarang penagih dadah dan lokasi pasangan remaja memadu kasih.

Dalam laporan tersebut, penduduk turut meminta DBKL supaya mengkaji semula sistem merit yang melibatkan permohonan untuk menyewa unit PPR di ibu kota.

Ismail berkata, sistem merit digunakan memandangkan peruntukan unit rumah kediaman adalah terhad sedangkan permohonan banyak.

"Namun begitu, DBKL sedang mengkaji dalam melaksanakan penambahbaikan permohonan dengan kaedah undian.

"Sebelum kaedah ini dilaksanakan, DBKL sedang melaksanakan proses mengemas kini data terhadap permohonan yang telah mendaftar sejak tahun 1998," katanya.

Tambahnya, proses tersebut dijalankan bagi mengetahui status pemohon sama ada masih berminat atau tidak.

"Data permohonan ini telah dimulakan sejak 1 September dan akan berakhir pada 1 Oktober ini. Bagaimana pun kaedah merit tidak diguna pakai terhadap pemindahan setinggan," katanya.

Syabas selesai cuci 8,000km sistem paip

Posted: 27 Sep 2013 11:51 AM PDT

KAKITANGAN Syabas melepaskan air berkarat dalam demonstrasi mencuci paip di Taman Cheras Hartamas, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah mencuci kira-kira 8,000 kilometer sistem paip air di seluruh Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk memastikan bekalan air terawat yang diterima pelanggannya adalah berkualiti.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, sistem paip yang telah dicuci pihaknya setakat ini melibatkan sebanyak 6,922 zon menggunakan kaedah cucian angin (ASP).

Katanya, jumlah keseluruhan zon di tiga kawasan itu adalah lebih daripada 10,000 zon manakala jumlah keseluruhan sistem ialah sepanjang kira-kira 12,000 kilometer.

"Jumlah keseluruhan zon di tiga kawasan adalah lebih daripada 10,000 zon iaitu kepanjangan paip kira-kira 12,000 kilometer.

"Setakat ini kami telah mencapai 64 peratus (kerja mencuci) daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya kita laksanakan. Kami akan melaksanakan kaedah tersebut setelah modal dana mencukupi," katanya selepas Syabas mengadakan demonstrasi ASP di Taman Cheras Hartamas, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan Seksyen Pemantauan dan Pengawasan Kualiti Air Syabas, Roskhambi Kamaluddin berkata, kaedah tersebut dibuat bagi membuang mendapan yang terdapat dalam paip akibat perubahan pada had laju pengaliran air di dalam paip.

"Mendapan yang terkumpul akan menyebabkan air yang diterima pengguna berwarna agak kekuningan dan berkarat, oleh itu kaedah ini penting bagi memastikan air yang diterima adalah bersih.

"Bagaimana pun kaedah ini hanya dapat dilakukan kepada paip bersaiz 100 milimeter (mm) hingga 200mm sahaja," ujarnya.

Menurutnya, kaedah yang menggunakan suntikan angin itu tidak menggunakan kuantiti air yang banyak iaitu 40 peratus air manakala angin 60 peratus.

"Sebelum ini kami menggunakan kaedah manual flushing melalui pili bomba yang menggunakan 100 peratus air," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved