Khamis, 24 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Banjir kilat resahkan penduduk

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

MADAM LIM,
Taman Desa Indah, Jerantut.

Sebahagian kawasan perumahan di Taman Desa Indah, Jerantut dilanda banjir kilat, baru-baru ini.

SAYA merupakan penghuni Taman Desa Indah, Jerantut mengakui senario projek perumahan di merata tempat di bandar ini yang semakin pesat menandakan peningkatan pembangunan di daerah ini.

Selaku penduduk yang lama bermastautin di bandar ini bermula dengan mendiami rumah kayu beratap zink, kini saya memiliki sebuah rumah teres yang dihuni 20 tahun lalu sehingga cukup selesa untuk membesarkan anak dan persiapan hari tua.

Namun hasrat menikmati kehidupan selesa kini tergugat apabila sejak akhir-akhir ini kawasan perumahan kami dan kawasan perumahan lain kerap berlaku banjir kilat.

Boleh dikatakan setiap kali hujan lebat penduduk mendapat padah apabila kediaman dilimpahi air yang mengalir dari kawasan projek perumahan berdekatan sehingga turut mengganggu tugas harian penduduk yang rata-ratanya merupakan golongan peniaga.

Minggu lepas, sekali lagi kami ditimpa malang apabila banjir kilat melanda beberapa kali sehingga air melimpah ke dalam rumah dan merosakkan harta benda.

Saya ingin bertanya kepada pihak berwajib iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk agensi lain apakah pelan projek perumahan dirangka dengan teliti termasuk dari aspek sistem saliran.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, saya bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi keraguan kami timbul terhadap kredibiliti beberapa jabatan yang terlibat apabila pemaju perumahan sendiri seperti mengabaikan sistem saliran sehingga boleh menyebabkan banjir kilat.

Ancaman banjir kilat kian menjadi-jadi sejak 10 tahun lalu selaras pembangunan projek perumahan di bandar ini sehingga dalam kalangan pemilik rumah teres di kawasan rendah menjadi mangsa apabila sistem saliran gagal berfungsi dengan baik.

Menerusi Rakan Pahang ini, saya berharap jabatan kerajaan terlibat mencari penyelesaian sepenuhnya dan pada masa sama wajar bersikap tegas terhadap pemaju hartanah di sini.

Semua projek pembangunan wajar memenuhi aspek keselesaan hidup penduduk, sekali gus mewujudkan persekitaran bersih dan ceria bagi menjamin entiti sebuah bandar bertaraf 'Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara' di negeri ini.

Bersama doakan kejayaan Tok Gajah

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

PENYOKONG SETIA
Gambang.

Pasukan bola sepak Pahang bersama jurulatih dan pengurusan ceria dan bersemangat selepas menjalani latihan di padang bola sepak Taman Gelora, Kuantan, kelmarin.

PADA 2012 ramai penyokong Tok Gajah angkat kaki apabila skuad bola sepak Pahang terjerumus ke Liga Perdana apabila menduduki dua tangga terbawah Liga Super 2011.

Menyedari kemerosotan bola sepak Pahang, Dollah menanam azam untuk kembalikan Tok Gajah ke saingan Liga Super 2013 dan perkara ini telah menjadi kenyataan.

Kemenangan 3-2 yang dicatat pada perlawanan pertama Liga Super musim ini menentang pasukan yang dibarisi dengan ramai pemain bintang, Johor Darul Takzim (DT) sememangnya satu permulaan yang penuh menyakinkan.

Kemenangan demi kemenangan yang dikecapi oleh skuad Tok Gajah berjaya mengembalikan keyakinan penyokong untuk memenuhi stadium apabila Pahang menerima kunjungan lawan.

Walaupun impian melihat Pahang muncul juara Liga Super dan Piala FA musim ini tidak tercapai namun Tok Gajah kini mempunyai satu misi penting mengulangi sejarah 1997 untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kejayaan membenam Sarawak 3-1 pada pusingan pertama saingan separuh akhir Sabtu lepas sudah pasti satu berita gembira dan hanya memerlukan keputusan seri di Kuching, esok untuk beraksi di final.

Saya yakin semua pemain telah bersiap sedia untuk menentang Sarawak dengan misi penting iaitu mengelak amukan Bujang Senang di laman sendiri.

Difahamkan, ratusan penyokong setia Tok Gajah sudah menempah tiket kapal terbang untuk ke Kuching bagi memberi sokongan serta meraikan kejayaan bersama pemain sekiranya Pahang layak ke final nanti.

Maka sebagai penyokong, bersamalah kita berdoa agar skuad Tok Gajah mampu membawa berita penuh kegembiraan kepada rakyat Pahang yang amat dahagakan bahang aksi final piala berprestij negara sekali gus mengulangi kejayaan skuad 1992.

Bendung gejala vandalisme

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

PENGHUNI TUA,
Bandar Lama Jerantut.

Antara papan tanda di taman permainan kanak-kanak berdekatan De'Kilau Court di Bandar Lama Jerantut yang menjadi sasaran kegiatan vandalisme.

SAYA antara penduduk Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara cakna untuk menyingkap masalah perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat atau dikenali sebagai 'vandalisme' hari ini semakin berleluasa dan seakan-akan tidak boleh dibendung lagi di bandar ini.

Saya terpanggil untuk berbicara hal ini kerana dalam usaha pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melaksanakan projek kebersihan dan keceriaan masih lagi wujud mereka yang anti pembangunan malahan dengan niat buruk merosakkan harta awam dan mencemarkan tempat berkenaan.

Untuk makluman pembaca Rakan Pahang, sudah mula kelihatan perbuatan vandalisme di kawasan taman pesiaran, taman kanak-kanak, menconteng dinding dan papan tanda, merosakkan tandas awam, tong sampah, membuang sampah merata-rata, mencuri penutup longkang dan beberapa gejala lain.

Sejak akhir-akhir ini, saya juga kerap terpandang segelintir penduduk yang kerjanya mengumpul tin minuman, botol dan bekas plastik di tong sampah di kawasan perumahan dan sekitar taman di bandar ini kerap tidak menghargai usaha MDJ dan Alam Flora menjaga kebersihan.

Mereka menyelongkar tong sampah dan ada yang sanggup menelangkup atau mengangkat tong dan menuang semula sampah semata-mata untuk mendapatkan bahan berkenaan, kemudian membiarkan keadaan bersepah dan menjadi kotor.

Saya beranggapan sikap negatif dan tidak berakhlak apabila tidak mengendahkan kebersihan dan merosakkan harta awam tidak sepatutnya berlaku dalam negara ini yang penduduknya mengamalkan budaya ketimuran.

Sikap vandalisme itu juga merupakan pemikiran yang mundur malahan memaparkan karektor seseorang yang berada di zaman prasejarah.

Untuk makluman pembaca, kegiatan vandalisme juga boleh membenih jenayah di kawasan bandar yang pesat membangun kerana pada mulanya si pelaku hanya merosakkan kemudahan awam, tetapi lama kelamaan berani bertindak melampaui undang-undang.

Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap masyarakat kita khususnya di bandar perlu lebih mesra dan menegur secara berhemah jika ternampak individu tertentu melakukan vandalisme.

Malahan pemantauan di tempat awam di bandar ini oleh pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) juga wajar diperhebat untuk menangani kes vandalisme.

Mereka yang terbabit jika ditahan wajar dikenakan hukuman tertentu berasaskan peraturan pihak berkuasa tempatan dan diiringi dengan program kaunselor agar wujud kesedaran pelaku sekali gus perbuatan itu dapat dikurangkan.

Saya yakin dengan kepekaan pihak berwajib dan kerjasama semua pihak berasaskan amalan kejiranan, kes vandalisme dapat diatasi sekali gus Bandar Jerantut kekal bersih dan ceria selaku pemacu pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved