Khamis, 24 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


CEO didakwa rasuah projek RM2.7j

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamad Hanafiah

JOHOR BAHRU 24 Okt. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat Johor Port, Mohamad Hanafiah Abu Mansor hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah membabitkan projek bernilai RM2.7 juta, empat tahun lalu.

Mohamad Hanafiah, 47, yang bertugas di JP Logistics Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Danga Bay di sini pada pertengahan Jun 2009 ketika masih memegang jawatan Naib Presiden Iskandar Investment Bhd. (IIB) dan CEO Medini Iskandar (M) Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa meminta suapan 10 peratus daripada harga projek 'Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jalan Logistik Alternatif Penduduk Kampung Sungai Pendas Untuk Pembangunan Medini Iskandar Malaysia' daripada seorang individu bernama Mohd. Zulkifli Arif.

Suapan itu kononnya untuk Mohd. Amin Suhaimi sebagai dorongan kerana membantu syarikat Segi Mulia Sdn. Bhd. mendapatkan kontrak pembinaan dan menyiapkan jalan alternatif di Kampung Pendas Laut yang bernilai RM2.7 juta daripada Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Hanafiah didakwa menerima rasuah RM25,000 daripada Mohd. Zulkifli bagi tujuan sama di kawasan letak kereta belakang pejabat Iskandar Investment Bhd., Danga Bay di sini antara pukul 3 dan 4 petang pada awal Januari 2010.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghafar Abdul Latiff menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohamad Hanafiah pula memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan ini kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah selain telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM semasa siasatan dijalankan.

Mohamad Haidar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 November ini.

Pemain bola sepak dituduh beri keterangan palsu

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Tertuduh menutup mukanya dengan kain dibawa oleh anggota SPRM atas tuduhan membuat kenyataan palsu berhubung kes bookie di Mahkamah Sesyen Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Okt. - Seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam perbicaraan berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak pada hujung tahun lalu.

Mohd. Azuan Hussein, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Mahkamah Sesyen 1 di sini antara pukul 10 pagi dan 1 petang, 3 Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes terhadap ahli perniagaan, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen tersebut.

Dalam perbicaraan berkenaan, tertuduh didakwa telah memberi keterangan seperti berikut:

"Sebelum perlawanan dengan Negeri Pahang, Sufian Ngah tiada berjanji atau suruh buat apa-apa dalam perlawanan ini".

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak selaras dengan kenyataan yang diberikannya kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Ahmad Syukri @ Senek di pejabat SPRM negeri pada 4 Jun 2011 yang seperti berikut:

"Game seterusnya adalah T-Team menentang Pahang bertempat di Kuantan juga pada Februari 2010. Sebelum game bermula, Sufian telah beri arahan kepada saya, Shaqudin, Azwan Ali, Nizam dan Nazmir supaya T-Team menang.

"Saya telah terlupa berapa golkah mesti menang. Menurut Sufian, jika arahan itu dipatuhi, saya berlima akan diberikan duit oleh bookie".

Mohd. Azuan didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sebagai syarat jaminan.

Sebutan kes ditetapkan pada 26 November ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved