Khamis, 23 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Patuhi syarat atau lesen ditarik

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 23 Jan. - Kerajaan negeri memberi amaran akan menarik balik lesen pengusaha bijih besi sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan sehingga menimbulkan rungutan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara ini dinyatakan beliau dalam pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Lombong Bijih Besi Pahang pada minggu lalu yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

''Kita beritahu yang mereka boleh jalankan aktiviti di negeri ini tetapi para pengusaha lombong tidak sewajarnya mendatangkan kesusahan kepada orang ramai seperti yang berlaku di Kampung Selamat dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat Gebeng iaitu masalah habuk dan lumpur akibat lori membawa muatan bijih besi.

''Berikutan itu, kita telah buat keputusan yang lori mereka perlu melalui Jalan Sungai Ular untuk atasi masalah ini dan mereka perlu patuh dengan syarat-syarat ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Menurut Adnan, selain itu, bagi mengatasi rungutan penduduk, kerajaan negeri akan menyediakan satu tempat khusus berdekatan Gebeng untuk pengusaha mengumpulkan hasil perlombongan mereka sebelum dihantar ke pelabuhan.

''Kita telah kenal pasti tapak berkenaan dengan persetujuan pihak persatuan yang akan dijadikan pusat pengumpulan berpusat. Sekarang ini mereka hantar di merata tempat hasil lombong mereka.

''Selepas ini kita sedia pusat pengumpulan tersebut dengan pengusaha akan menyewa tapak itu daripada kerajaan negeri. Cara ini dapat elakkan masalah habuk dan sebagainya.

''Saya juga meminta pengusaha lombong bijih besi agar memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk di kawasan terlibat," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Adnan mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan bantuan wang tunai RM150 kepada semua warga emas berusia 70 tahun ke atas sempena Tahun Baharu Cina.

''Kita juga akan panjangkan bantuan ini kepada umat Islam sempena Aidilfitri dan juga penganut Hindu ketika Deepavali kelak.

''Pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Tanah dan Daerah. Bantuan ini tidak mengira fahaman politik. Kalau ikutkan ramai orang Cina tidak undi kita, tapi kita tidak ambil kira soal parti kerana ini wang daripada kerajaan untuk rakyat," jelasnya.

Tiga peniaga akan didakwa gagal pamer tanda harga

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

Tan Siew Lin (berdiri dua kanan) bersama kakitangan penguat kuasa PPDNKK Jerantut membuat pemeriksaan di kedai makan dalam Ops Harga 2.0 di Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 23 Jan. - Tiga peniaga kedai makan bakal dikenakan tindakan mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga pada minuman dalam tin dan botol yang dijual di premis masing-masing di bandar ini kelmarin.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Jerantut, Tan Siew Lin berkata, minuman dalam tin dan botol itu telah disita manakala peniaga berkenaan akan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan akta tersebut.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, peniaga berkenaan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kita berharap peniaga mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar memaparkan tanda harga bagi setiap barang jualan.

"Penguat kuasa PPDNKK di sini akan terus melaksanakan pemantauan serta operasi ke setiap premis perniagaan dari semasa ke semasa supaya peniaga tidak cuai dan menunjukkan tanda harga serta mematuhi arahan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan sempena Ops Harga di sini.

Menurut beliau, PPDNK juga meminta peniaga kedai makan mempamerkan tanda harga bagi setiap lauk-pauk yang dijual kepada pelanggan walaupun masih belum ada aduan sehingga ini.

"Jika ada kecuaian bagi kes berkenaan dalam kalangan peniaga kedai makanan, PPDNKK tidak teragak-agak akan mengeluarkan tindakan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Peniaga juga perlu mengemukakan bukti kenapa mereka menaikkan harga makanan yang dijual jika penguat kuasa PPDNKK membuat operasi di premis mereka," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak PPDNKK segera jika ada peniaga yang sengaja memanipulasikan harga makanan di kedai makan atau restoran di bandar ini.

Orang Asli diminta utama pendidikan anak

Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST

KUALA LIPIS 23 Jan. - Masyarakat Orang Asli diminta memberi keutamaan kepada soal pendidikan anak-anak yang merupakan prasyarat dalam transformasi pembangunan bidang modal insan dalam kalangan kaum itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, selain universiti, anak-anak Orang Asli juga boleh mengikuti latihan kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan di pusat latihan kendalian kerajaan seperti Kolej Komuniti dan GiatMara.

"Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan anak Orang Asli tidak tercicir dalam pelajaran, manakala belia kaum itu juga diberi peluang mengikuti latihan di peringkat sijil atau diploma pelbagai bidang teknikal, pembinaan, elektrik, automotif dan industri.

"Ini merupakan langkah inklusif agar Orang Asli terus diberi peluang yang saksama dengan kaum lain menikmati pelbagai kemudahan pembangunan yang juga merupakan manifestasi kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan dan peralatan kepada penduduk Orang Asli, di Kampung Sungai Garam, dekat sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lipis, Wan Normarina Wan Kamarudzaman; Pengarah Kolej Komuniti Lipis, Drs. Anuar Ralib; Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis, Sembunyi Jamil dan Tok Batin Orang Asli Sungai Garam, Jela a/l Kemuncuk.

Sempena majlis itu, Mustapa turut menyampaikan sumbangan sebuah gergaji mesin dan 27 kampit beras kepada ketua keluarga Orang Asli di kampung berkenaan.

Menurut beliau, pencapaian akademik yang lebih tinggi mampu membuka peluang kepada anak-anak Orang Asli mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan swasta sekali gus membantu mengubah kehidupan keluarga mereka pada masa depan.

"Kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kebajikan dan pendidikan Orang Asli apabila menyediakan kemudahan seperti sekolah, asrama desa di samping menajamkan kemahiran teknikal kepada belia kaum berkenaan.

"Saya sendiri kerap turun padang ke berapa kampung Orang Asli di daerah ini untuk mendekatkan diri dengan mereka di samping memberi motivasi supaya anak-anak pergi ke sekolah walaupun ada kekangan kewangan dan pengaruh warisan budaya," ujarnya.

Mustapa yang juga Naib Ketua UMNO Lipis berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha melengkapkan kemudahan asas iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya ke beberapa perkampungan Orang Asli di kawasan Padang Tengku untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan merancakkan sektor pertanian dan pelancongan.

"Saya juga berharap Tok Batin memainkan peranan aktif sebagai pemimpin etnik berkenaan berhubung dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan di Lipis agar masalah penduduk dapat diselesaikan, manakala pembangunan kampung Orang Asli berada di landasan yang betul," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved