Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


10 sekolah di P. Pinang capai 100%

Posted: 19 Dec 2013 11:26 AM PST

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin gembira menunjukkan slip keputusan peperiksaan PMR di Bukit Mertajam, semalam.

BUKIT MERTAJAM 19 Dis. - Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di sini muncul sekolah paling cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini dengan 72 pelajarnya mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, selain sekolah berkenaan, sebanyak 10 sekolah lain turut memperoleh pencapaian 100 peratus dalam PMR pada tahun ini.

Menurutnya, secara perbandingan prestasi untuk sekolah di bandar dan luar bandar pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 2012.

"Pencapaian PMR untuk Pulau Pinang bagi tahun ini tidak berubah jauh daripada tahun lepas dan berada pada tempat kesembilan bagi perbandingan untuk seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, kita berbangga kerana secara keseluruhannya terdapat peningkatan dari segi peratus pencapaian keseluruhan apabila mencatat 10.26 berbanding 9.90 peratus pada tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 23,164 pelajar menduduki PMR pada Oktober lalu di 177 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

Ahmad Tarmizi menambah, sekolah-sekolah lain yang turut mencatat nama sebagai sekolah dengan pencapaian calon cemerlang ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam; SMJK Chung Ling, Butterworth; SMJK Perempuan China; SMJK Chung Ling (bahagian pulau); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, Kepala Batas; SMK Bukit Jambul; Sekolah Menengah Sains Kepala Batas dan SMJK Heng Ee.

Jelasnya, kecemerlangan sekolah terbabit adalah kerana hasil perancangan teliti serta usaha permuafakatan antara semua pihak iaitu sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Pada sidang akhbar itu juga, Ahmad Tarmizi mengumumkan tiga pelajar berkeperluan khas yang muncul cemerlang apabila dua daripada mereka mencatat keputusan 8A dan seorang memperolehi keputusan 5A.

Pelajar SMJK Chung Ling Butterworth yang mengalami masalah pembelajaran, Ooi Ivan dan Khor Wei Ting dari SMK Seri Nibong memperolehi keputusan 8A manakala pelajar SMK St. Georges, Nurfasilah Ahmad Fadzil yang buta mendapat 5A.

3,200 semua A di Perak

Posted: 19 Dec 2013 11:26 AM PST

Muhamat Roli Hassan menunjukkan laporan pencapaian PMR 2013 negeri Perak di Ipoh, semalam.

IPOH 19 Dis. - Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di negeri ini mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh tiga tahun apabila 3,200 atau 8.37 peratus daripada 38,872 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Perak, Muhamat Roli Hassan berkata, keputusan tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred purata nasional (GPN) daripada 2.73 mata pada 2012 kepada 2.69 mata tahun ini.

Menurut beliau, bilangan calon yang mendapat semua E (gagal) pula meningkat daripada 47 orang atau 0.12 peratus pada tahun lalu kepada 53 calon atau 0.14 peratus tahun ini.

"Tahun ini turut menyaksikan pencapaian calon bandar dan luar bandar semakin baik dengan memperoleh gred purata masing-masing 2.58 mata dan 2.82 mata.

"Begitu juga dari segi mata pelajaran apabila 10 daripada 15 mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Kemahiran Teknikal dan KHB Pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pengumuman keputusan PMR 2013 di sini hari ini.

Muhamat Roli berkata, apa yang menarik kali ini ialah seorang calon berkeperluan khas yang buta sebelah mata turut memperoleh keputusan cemerlang semua A.

Katanya, bilangan calon yang mendapat minimum semua D pula berkurangan seorang daripada 24 calon tahun lalu kepada 23 calon tahun ini.

"Tahniah diucapkan kepada Ahmad Mahfudz Mahayudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian, Semanggol kerana berjaya memperoleh keputusan terbaik 9A walaupun mempunyai kekurangan.

"Bagaimanapun pencapaian keseluruhan calon berkeperluan khas tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.20 mata iaitu daripada 3.89 mata tahun lalu kepada 4.09 mata pada tahun ini," katanya.

Menurut Muhamat Roli, semua 10 daerah di negeri ini turut mencatatkan peningkatan dalam peperiksaan tersebut.

"Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pula muncul sekolah terbaik apabila 103 daripada 114 calonnya memperoleh semua A dan diikuti Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Menengah Sains Tapah dan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan," katanya.

Prestasi PMR Kedah catat peningkatan

Posted: 19 Dec 2013 11:26 AM PST

Para pelajar cemerlang PMR SMK Sultanah Bahiyah bersorak gembira apabila mereka berjaya mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 19 Dis. - Seramai 2,264 orang daripada 38,005 calon di Kedah berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Latt berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan seramai 2,083 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

"Bagi pencapaian keseluruhan calon PMR negeri ini, prestasi didapati meningkat sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 2.81 pada PMR 2012 berbanding 2.73 mata pada PMR 2013," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Mansor berkata, peratus calon yang mendapat pencapaian tahap minima bagi semua mata pelajaran yang diduduki turut meningkat daripada 64.29 peratus pada PMR 2012 kepada 66.78 peratus pada PMR 2013.

"Terdapat 13 buah sekolah yang telah mencapai kelulusan 100 peratus manakala 29 buah sekolah mendapat kelulusan melebihi 90 peratus pada PMR tahun ini.

"Pencapaian calon secara keseluruhan di bandar dan luar bandar pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dalam Gred Purata iaitu 0.02 mata di bandar dan 0.03 mata di luar bandar.

"Jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar pada tahun ini ialah -0.34 mata jika dibandingkan dengan 2012 iaitu sebanyak -0.40 mata," katanya.

Jelas Mansor, pada tahun ini peratus calon yang mendapat pencapaian cemerlang di bandar meningkat sebanyak 1.14 peratus berbanding tahun 2012 manakala calon cemerlang di luar bandar juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.66 peratus tahun ini.

Tambahnya, gred purata negeri (GPN) juga telah bertambah baik pada tahun ini iaitu 2.73 berbanding 2.81 tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved