Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tukar cuti tak jejas pelancongan

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Haffiz Ahmad (kiri) menunjukkan tanda bagus selepas menyerahkan pelekat kepada seorang pemandu sempena Peraduan Foto Pelekat Tahun Melawat Malaysia 2014 di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 19 Dis. - Pertukaran cuti hujung minggu bagi negeri ini bermula awal tahun depan dijangka tidak menjejaskan sektor pelancongan termasuk sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Haffiz Ahmad berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang rungutan daripada orang ramai mahupun pelancong luar tentang pertukaran cuti hujung minggu berkenaan.

"Bagi saya (pertukaran cuti hujung minggu) tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini. Malahan, kita tidak menerima sebarang rungutan tentang perkara itu.

"Kita jangkakan sektor pelancongan di negeri ini akan terus berkembang pada masa akan datang apatah lagi kita akan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya dalam majlis Pelancaran Peraduan Foto Pelekat Tahun Melawat Malaysia 2014 di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Majlis Pengurniaan Pingat di Dewan Jubli Intan, Muar sempena Hari Keputeraan baginda ke-55 pada 23 November lalu bertitah, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari depan.

Sektor swasta di negeri ini bagaimanapun tidak terikat dengan pelaksanaan pertukaran cuti hujung minggu tersebut.

Malah menurut Mohd. Haffiz, pertukaran cuti hujung minggu itu mampu meningkatkan lagi sektor perhotelan dan beli-belah di negeri ini memandangkan jumlah pelancong tempatan dan luar yang menghabiskan masa di Johor lebih lama iaitu antara Jumaat sehingga Ahad.

Beliau berkata, kemunculan pelbagai produk pelancongan baharu antaranya Johor Premium Outlets (JPO), Taman Tema Legoland dan Taman Tema Keluarga Putera Harbour juga akan merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

"Bukan itu sahaja, pembukaan lebih banyak penerbangan dua hala secara terus dari Johor Bahru ke luar negara seperti Indonesia akan menambah jumlah pelancong luar ke sini," katanya.

3,948 calon PMR Johor semua A

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Nor A. Ghani (belakang, empat dari kanan), beramah mesra dengan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari seluruh negeri Johor dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 19 Dis. - Seramai 3,948 atau 7.67 peratus daripada keseluruhan 55,751 pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) di negeri ini tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.25 peratus berbanding 7.42 peratus tahun lalu atau 3,916 calon yang mendapat keputusan cemerlang.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, ukuran berkenaan dibuat berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) yang bertambah baik iaitu 2.65 mata berbanding 2.69 mata pada tahun lalu.

"Calon yang mendapat 9A juga bertambah kepada 432 orang berbanding 384 tahun lalu, begitu juga bagi mereka yang mendapat 8A iaitu 3,118 kepada 3,146 orang pada tahun ini.

"Peratusan calon melepasi tahap penguasaan minimum iaitu semua gred D juga meningkat 1.09 peratus iaitu 33,367 calon pada tahun lalu kepada 33,132 orang pada tahun ini," katanya semasa mengumumkan keputusan PMR 2013 peringkat negeri di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) tahun ini pula, 14 daripada 17 mata pelajaran yang ditawarkan menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, antara yang menunjukkan prestasi baik adalah subjek Sains yang menunjukkan peningkatan bagi gred A iaitu 0.81 peratus, Bahasa Melayu (0.74 peratus), Matematik (0.52 peratus), Geografi (1.69 peratus) dan Bahasa Inggeris (1.34 peratus).

Katanya, pencapaian calon bandar lebih baik berbanding calon luar bandar dengan gred purata masing-masing 2.57 mata dan 2.71 mata.

"Biarpun begitu, jurang pencapaian calon bandar dengan luar bandar pada tahun ini semakin mengecil sebanyak 0.04 mata iaitu 0.18 mata pada tahun lalu kepada 0.14 mata tahun ini.

"Pencapaian calon berkeperluan khas juga menunjukkan prestasi baik apabila terdapat tiga calon mendapat keputusan cemerlang berbanding dua pada tahun lalu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved