Jumaat, 20 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dua lagi genapkan '40'

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

Skuad hoki wanita negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan Thailand 6-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Theinphyu, Yangon, semalam. - BERNAMA

NAY PYI TAW - Debaran bagi menanti angka 40 pingat emas seperti mana yang menjadi sasaran bakal dirasai pada hari ini selepas jumlah pungutan pingat emas mencecah 38 butir, semalam.

Lima emas yang diraih daripada sukan pelayaran, terjun dan hoki wanita, seperti mana dijangka pada hari ini memastikan momentum bagi melengkapkan angka 40 berada pada landasan yang tepat.

Sukan pelayaran paling cemerlang, semalam apabila mengesahkan dua emas menerusi acara laser standard lelaki yang dimenangi Khairulnizam Mohd. Afendy dan international 420 lelaki oleh Mohd. Faizal Norizan-Ahmad Shukri Abdul Aziz.

Selain itu, mereka turut mengutip masing-masing tiga perak dan gangsa dalam acara yang diadakan di Pantai Ngwe Saung, semalam.

Di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, acara terjun terus memberikan aksi kelas dunia apabila dua lagi emas terus dituai menerusi 3 meter papan anjal seirama lelaki (Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang) dan 3 meter papan anjal seirama wanita (Cheong Jun Hoong-Ng Yan Yee).

Hoki wanita tidak berdepan sebarang masalah membenam Thailand 6-1 satu lagi emas yang sememangnya menjadi sasaran kita sebelum ke Sukan SEA Myanmar.

Daripada dua emas yang diperlukan pada hari ini, ia dijangka hadir sama ada melalui terjun, hoki lelaki, muay atau taekwondo - empat sukan yang dianggap paling realistik tanpa melupakan judo, catur dan petanque.

Emas daripada skuad hoki lelaki sudah boleh dijamin kerana dengan hanya keajaiban boleh menghalang daripada anak-anak buah Tai Beng Hai daripada ditewaskan Singapura pada perlawanan akhir di Stadium Theinphyu,Yangon.

Sementara itu, atlet berusia 15 tahun, Muhd. Nazreen Abdullah yang sebelum ini mencuri tumpuan bakal bergandingan bersama Ooi Tze Liang dalam acara 10 meter platform seirama lelaki untuk terus memburu emas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.

Ini akan diikuti Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee yang bakal beraksi dalam satu lagi acara, 10 meter platform wanita yang mana satu lagi emas yang dijelmakan dengan mudah.

Jika mengharapkan sebarang kejutan pada hari ini, jangan terkejut sekiranya acara Muay yang menampilkan dua wakil pada pertarungan akhir iaitu Mohd. Faizal Ramli dalam acara 75kg dan Mohd. Lokman Akim, 51 kg mampu memenangi pingat emas.

Taekwondo yang gagal menghasilkan pingat emas selepas dua hari pertandingan, harapan terakhir akan disandarkan kepada Shakila Darshini (Bawah 46kg Wanita) dan Lai Teik Woon (Bawah 54 kg Lelaki).

Beberapa acara lain, prospek untuk mendapatkan emas dijangka sukar seperti judo yang masih belum memberikan sebarang impak di Stadium Tertutup Zeyar Thiri, manakala ping pong hanya menampilkan seorang wakil di separuh akhir, Lee Wei Beh dalam acara perseorangan wanita.

Tiga perak, tiga gangsa turut dalam genggaman

Posted: 20 Dec 2013 10:46 AM PST

NAY PYI TAW - Pelayaran menutup tirai dengan cemerlang dengan memenangi dua emas dalam acara laser Standard dan International 420 di Pantai Ngwe Saung dekat sini, semalam.

Emas acara laser standard lelaki dimenangi Khairulnizam Mohd. Afendy dan international 420 lelaki, Mohd. Faizal Norizan-Ahmad Shukri Abdul Aziz pula yang tidak perlu beraksi dalam perlumbaan terakhir semalam selepas kemenangan mereka sudah disahkan kelmarin.

Tiga lagi pingat perak pula diraih dalam acara optimis lelaki, Mohammad Dhiahuddin Rozaini, international 420 wanita, Nur Aisyah Jamil-Umi NurWahida Sallahuddin dan satu lagi dimenangi Nur Amirah Hamid dalam acara laser radial.

Gangsa pula diraih dalam acara international 470 wanita, Khairunnisa Mohd. Afendy-Norashikin Mohd. Sayed diikuti optimist wanita, Nornabila Natasya dan mereka juga berjaya meraih optimist berpasukan.

Menurut pengurus pasukan, Mohd. Afendy Abdullah, atlet pelayaran telah menunjukkan pencapaian baik dengan menamatkan kebanyakan perlumbaan di tempat posisi utama.

"Kita berjaya mengekalkan kedudukan dan berjaya mencapai kejayaan. Kalau di Jakarta dua tahun lepas kita hanya memperolehi satu perak dan dua gangsa tetapi kali ini kita memperolehi dua emas, tiga perak dan tiga Gangsa," katanya kepada media, semalam

Jelasnya, secara keseluruhan pasukan negara menduduki tempat ketiga di belakang Singapura dan Thailand dari segi pungutan pingat.

"Pelayar telah diberi semangat agar matlamat seterusnya adalah di Sukan Asia 2014. Persatuan Pelayaran Malaysia mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu sukan pelayaran.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM), terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim," katanya. - UTUSAN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved