Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


9 ketua bahagian kekal dicabar

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

jabbar ibrahim

KUANTAN 26 Sept. - Sebanyak sembilan daripada 14 jawatan Ketua UMNO bahagian di negeri ini bakal menyaksikan pertandingan selepas tempoh penarikan diri calon berakhir pukul 5 petang kelmarin.

Daripada jumlah itu, UMNO Bahagian Indera Mahkota menyaksikan paling ramai calon merebut jawatan ketua bahagian dengan melibatkan pertembungan tujuh penjuru diikuti Maran dan Kuantan dengan tiga penjuru.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, di Kuala Krau, Jerantut, Cameron Highlands, Paya Besar, Bera dan Raub pula masing-masing membabitkan pertembungan satu lawan satu.

"Lima lagi UMNO bahagian di negeri ini tidak menyaksikan pertandingan bagi Ketua Bahagian iaitu Pekan, Temerloh, Bentong, Lipis dan Rompin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Abdul Jabbar, seramai 2,600 daripada 2,638 calon yang menghantar borang pencalonan Sabtu lalu akan bertanding melibatkan pelbagai jawatan dan pencalonan mereka telah dihantar ke Ibu Pejabat.

Mengenai Bahagian Indera Mahkota, beliau berkata, selain penyandang, Datuk Mohd. Hazmi Yusof, calon lain ialah Setiausaha UMNO negeri, Datuk Abdul Rahim Abas; Ketua Cawangan Beserah Utara, Ngah Ismail; Pengerusi Veteran UMNO Indera Mahkota, Shahrom Zainuddin; Ketua Cawangan Indera Mahkota 16, Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid; Ketua Cawangan Indera Mahkota 6, Abdullah Syukur dan Naib Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mahasan Hussain.

"Di Kuala Krau, penyandang Datuk Ismail Mohamed Said dicabar Nik Affendy Nik Abdul Rashid manakala Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dicabar Ketua Penerangan Bahagian itu, Ahmad Nazlan Idris yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

"Bagi Cameron Highlands, penyandang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dicabar ahli UMNO bahagian itu, Wan Rahaimin Wan Mustapha manakala di Paya Besar, penyandang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman ditentang Datuk Abdul Manan Ismail yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.

"Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin pula dicabar Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Semantan, Datuk Ir. Mohd. Ghazali Kamaruzaman manakala di Bera, penyandang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicabar bekas Ketua Pemuda bahagian itu, Datuk Mohd. Azizan Che Omar," jelasnya.

Sementara itu, katanya, bagi UMNO Bahagian Kuantan, penyandang Ketua, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dicabar Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian, Ab. Mutalib Shamsuddin dan Ketua Cawangan Bandar Pusat Kuantan, Bahuri Geran.

"Di Maran, Pemangku Ketua Bahagian itu, Datuk Ismail Abd. Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dicabar dalam pertandingan tiga penjuru," jelasnya.

Calon mesti utamakan misi parti

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

abdul rahman

KUALA LIPIS 26 Sept. - Calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam kepimpinan UMNO Bahagian Lipis diingatkan supaya menitikberatkan soal misi parti untuk menarik sokongan orang muda terhadap UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Lipis yang menang tanpa bertanding, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, mereka harus bertanding dengan ikhlas kerana matlamat utama parti adalah berkhidmat untuk membela nasib rakyat.

"Kita yakin dengan hubungan baik antara penduduk dengan pemimpin setempat termasuk agensi kerajaan dapat mewujudkan UMNO yang lebih kuat menerusi sokongan akar umbi khususnya anak muda untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Fokus utama semua pemimpin di Lipis ialah mencari formula yang mantap untuk meraih kepercayaan orang muda termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menjana pembangunan daerah ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.

Selain beliau yang tidak dicabar pada pemilihan itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Mustapa Long yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku turut menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, penyandang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Suhaimi Ibrahim bakal dicabar dalam pertandingan satu lawan satu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita UMNO Lipis, Datuk Mimi Asmara A. Malik mencuba nasib untuk bertanding semula jawatan berkenaan dengan menentang penyandangnya, Siti Fatimah Yahaya.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Lipis yang dikosongkan oleh Datuk Abu Jimi Samat berikutan faktor usia, menjadi perebutan dua calon membabitkan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Khairul Amri Amihamzah dan Mohd. Farid Mohd. Nor.

Bagi jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO juga menyaksikan penyandangnya, Hartini Othman bakal dicabar oleh Naib Ketua Puteri bahagian itu, Wan Normarina Wan Kamarudzaman.

Gemilangkan semula Cherating

Posted: 26 Sep 2013 12:16 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
pengarang@utusan.com.my

KUANTAN 26 Sept. - Cherating perlu dipromosikan secara menyeluruh bagi mengembalikan kegemilangan pusat peranginan itu kerana tarikan yang ada tidak terhad kepada keindahan pantai sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Cherating mampu untuk terus menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia seperti mana suatu masa dahulu jika tarikan yang ada dapat diketengahkan menerusi strategi yang betul.

"Justeru, melalui hotel yang terdapat di sekitar Cherating, mereka boleh menawarkan pakej pelancongan menarik supaya pelancong dapat pengalaman bermakna sepanjang bercuti di sini.

"Antara pengalaman baru yang menarik pastinya peluang melepaskan anak penyu di pantai selain peluang untuk melihat sendiri kelip-kelip pada waktu malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Sahabat Media, Cuti-Cuti Media 1Malaysia dengan kerjasama Hotel Legend Cherating di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Ahmad Faisal Mohamed dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Idros Yahya.

Mohd. Sharkar berkata, industri pelancongan di negeri ini perlu lebih agresif mempromosikan aktiviti unik kepada pelancong dalam menghadapi persaingan semasa.

Beliau berkata, salah satunya ialah Cherating yang akan dimasukkan di dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Saya yakin dengan pakej menarik yang ditawarkan pemain industri ini, lebih ramai pelancong akan datang dan menginap di hotel sambil menikmati keindahan pantai dan aktiviti yang disediakan.

"Fasiliti yang lengkap, pantai yang cantik dan budi bahasa orang kita yang sopan santun pastinya menjadi tarikan terbaik," katanya.

Tambah Mohd. Sharkar, negeri Pahang mempunyai 10 produk pelancongan yang sangat terkenal namun selain Cherating yang ingin dipertingkatkan popularitinya, Bukit Fraser juga menghadapi masalah serupa dan diharapkan dapat menstrukturkan semula pembangunan semula tempat pelancongan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved