Khamis, 26 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Usaha JAIPk banteras Syiah tidak bermotif politik

Posted: 26 Sep 2013 02:47 AM PDT

IPOH 26 Sept. - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini menegaskan kegiatan penguatkuasaan membanteras penularan fahaman Syiah di negeri ini tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, tindakan itu dilakukan semata-mata bagi menegakkan hal berkaitan akidah.

"Sebanyak 15 orang di Perak telah mengisytiharkan diri sebagai ahli Syiah dan keluar daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Enam orang sudah didakwa dan selebihnya kita dalam proses ke arah itu.

"Syiah ini bukan agama mahupun mazhab tetapi merupakan satu penyelewengan, itu perlu kita beri perhatian. Niat kita jujur dan ikhlas bagi mengelak umat Islam daripada terjebak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Bahaya Syiah Dan Kesannya Terhadap Umat Islam anjuran Bahagian Dakwah JAIPk yang dihadiri kira-kira 1,400 orang di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Agong, Permaisuri lawat jenazah Allahyarham Azizan

Posted: 26 Sep 2013 01:19 AM PDT

ALOR SETAR 26 sept. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat melawat jenazah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak di Masjid Nurul Ehsan, Jalan Langgar di sini.

Baginda tiba kira-kira pukul 3.50 petang sambil diiringi Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Yang turut melawat jenazah Allahyarham ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tengku Bendahara Tan sri Tunku Annuar Sultan Badlishah. - UTUSAN ONLINE

Kerajaan, UMNO, BN ucap takziah kepada keluarga Azizan

Posted: 26 Sep 2013 01:02 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili kerajaan Malaysia, parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan pemergian Azizan sebagai satu kehilangan kerana Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan terutama di Kedah.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, parti Umno dan BN, kami hendak merakamkan rasa sedih kerana Allahyarham sewaktu hayatnya telah beri banyak sumbangan kepada pembangunan di Kedah khususnya sewaktu menjadi menteri besar.

"Atas dasar itu, kami rasa pemergian itu satu kehilangan sebagai sahabat dan pemimpin. Kita ketepikan soal politik kerana kami yakin pemergian beliau adalah satu kehilangan bagi kita juga," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini.

Muhyiddin berkata beliau mengenali Azizan secara peribadi dan pernah melawat pemimpin PAS itu di hospital sebelum ini.

Timbalan perdana menteri turut mendoakan agar roh Azizan dihimpunkan bersama-sama golongan yang soleh.

Azizan, 69, menghembus nafas terakhir di sisi keluarganya di wad Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi ini, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Jenazah beliau dijangka dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Alor Setar pukul 5.30 petang. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved