Selasa, 16 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


10 rumah rosak dilanda ribut

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

S. Subramaniam (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Tan Poh Hian (dua dari kanan) pemilik kedai yang rosak akibat ditimpa pokok dalam kejadian ribut di pekan Jementah, Segamat, Johor, semalam.

SEGAMAT 15 April - Lebih 10 buah rumah serta sebuah kedai di daerah ini yang rosak dilanda ribut awal pagi semalam akan segera dibaiki menerusi bantuan pelbagai agensi kerajaan.

Penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan banyak bumbung kediaman rosak selain ada yang dihempap pokok tumbang terutamanya di sekitar Pekan Jementah.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, kawasan lain yang turut dilanda ribut ialah sekitar bandar Segamat serta Batu Anam, namun hanya membabitkan beberapa rumah.

"Di Jementah, ribut menyebabkan sebuah kedai serta enam rumah penduduk rosak dan secara keseluruhan membabitkan 50 penduduk. Setiap keluarga kerugian antara RM3,000 hingga RM4,000," katanya semasa melawat kawasan itu di pekan Jementah di sini hari ini.

Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian tentang kos kerosakan akibat ribut sebelum sebarang bantuan dapat diberikan kepada mangsa.

Beliau berkata, kerugian hanya membabitkan kerosakan bumbung yang diterbangkan ribut, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Seorang mangsa, Tan Po Hlan, 40, berkata, dia hanya menyedari kejadian menimpa premis kedai menjual barangan sembahyang miliknya kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Sebelum itu, ribut kuat melanda kira-kira pukul 3 pagi tetapi saya berada di rumah dekat Taman Perpaduan, di sini. Apabila pergi ke kedai, saya lihat pokok besar di tepi jalan sudah tumbang menimpa kedai saya," katanya.

Dia yang sudah sembilan tahun berniaga di pekan tersebut berkata, kejadian ribut berkenaan kali pertama berlaku di situ.

Ibu kepada tiga anak itu bagaimanapun berterima kasih kepada Subramaniam yang segera mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membersihkan pokok tumbang tersebut kerana bimbang ia boleh menyebabkan risiko lain.

"Saya masih tidak tahu berapa jumlah kerugian, ketika ini saya sudah meminta pekerja untuk membaiki bumbung yang rosak kerana dihempap pokok berkenaan," katanya.

Jelajah Pendidikan Mara masuk Felda Chempelak

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

LABIS 15 April - Seramai 700 pelajar tingkatan lima daripada 15 buah sekolah menengah di Muar dan Segamat didedahkan dengan pelbagai peluang pendidikan yang ditawarkan oleh Mara dalam Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar di Felda Chempelak di sini baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Pengajian Pelajaran Mara, Azmi Muhammad berkata, program yang memasuki tahun kedua itu bertujuan memberikan peluang kepada calon dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengetahui dengan lebih jelas peluang melanjutkan pengajian yang ditawarkan oleh Mara.

"Hakikatnya, ramai pelajar tidak mempunyai maklumat serta panduan memilih bidang serta tempat untuk menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan SPM.

''Sehubungan itu, pihak kami berperanan membimbing golongan tersebut terutama di kawasan luar bandar memilih tempat serta bidang yang sesuai untuk mereka,'' katanya ketika ditemui kelmarin.

Selain membantu kerajaan melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada negara katanya, program itu juga memberi penekanan terhadap hasrat melihat bumiputra menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan guna tenaga yang diperlukan dalam bidang tertentu pada masa depan.

Salah seorang pelajar yang mengikuti program tersebut, Muhd. Shairi Mohamad, 17, menyifatkan penerangan dalam program tersebut sebagai sangat berguna dan memberi pendedahan bermakna buatnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir, Muar itu mengakui tidak banyak mengetahui peluang yang ada untuk melanjutkan pengajian dalam bidang akademik atau memilih kemahiran di bawah Mara.

"Pengetahuan yang saya dapat sepanjang menyertai program ini akan saya sampaikan kepada rakan lain yang tidak berpeluang turut serta hari ini apabila kembali ke sekolah nanti," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved