Khamis, 12 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


10 kedai makan diarah tutup

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

SEORANG pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Daerah Batu Pahat menunjukkan kekotoran di tempat mencuci sebuah restoran di Taman Pura Kencana, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 11 Dis. - Sebanyak 10 kedai makanan di sekitar Sri Gading di sini diberikan notis penutupan premis selama tujuh hari bermula hari ini selepas dikesan gagal menepati ciri-ciri kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Kesemua kedai makanan tersebut merupakan antara 16 premis yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Daerah ini dalam operasi melibatkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) malam tadi.

Pegawai Kesihatan Daerah, Noorhaida Ujang berkata, operasi yang bermula pukul 8.30 malam semalam tertumpu di sekitar Pekan Sri Gading, Taman Mutiara dan Taman Pura Kencana.

"Dalam pemeriksaan itu, kita dapati terdapat kedai makanan yang pernah dikompaun sebanyak dua kali sebelum ini, tetapi masih ingkar dan tidak mengamalkan kebersihan khsusnya di kawasan dapur dan tempat mencuci pinggan-mangkuk.

"Berikutan itu, kedai-kedai makanan yang tidak bersih itu telah diberikan notis penutupan selama tujuh hari bagi membolehkan pengusaha membersihkan premis mereka sebelum dibuka semula setelah mendapat pemeriksaan balas," katanya di sini hari ini.

Noorhaida memberitahu, dalam operasi sama, sebuah kedai makan turut dikompaun kerana menjual rokok di bawah harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Selain itu katanya, MPBP turut mengeluarkan 20 saman terhadap premis-premis yang telah diperiksa dalam operasi itu kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Operasi seperti ini akan dilakukan sepanjang masa di setiap lokasi di daerah ini bagi memastikan para peniaga makanan mengamalkan kebersihan seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Tindakan tegas ini penting kerana kekotoran dalam pengendalian makanan merupakan penyebab kepada sebarang jangkitan atau kuman yang boleh memudaratkan kesihatan pelanggan," katanya lagi.

Akademi lantik 97 mutawif baharu

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

KAMARUZZAMAN Abu Kassim (hadapan, lima dari kiri) dan Mohd. Tahrir Shamsudin (hadapan, enam dari kiri) bergambar bersama mutawif yang telah ditauliahkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 11 Dis. - Johor Corporation (JCorp) menerusi anak syarikatnya, Akademi Mutawwif Sdn. Bhd. telah melantik seramai 97 mutawif baharu yang ditauliahkan bagi mengendalikan ibadat umrah dan haji baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp merangkap Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, pelantikan itu menjadikan syarikat tersebut kini mempunyai seramai 117 mutawif bertauliah.

"Sejak ditubuhkan pada 2006, akademi ini telah menganjurkan sebanyak 38 siri Kursus Pentauliahan Mutawif yang bukan hanya disertai oleh eksekutif agama malah orang ramai yang berminat untuk menjadikan mutawif sebagai profesion pilihan.

"Keperluan terhadap mutawif ini semakin meningkat apatah lagi permintaan masyarakat Islam di negara ini untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji semakin bertambah setiap tahun," katanya dalam majlis penyerahan sijil mutawif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, bagi memantapkan isu berkaitan ibadat haji dan umrah, para mutawif yang dilantik akan diberi peluang menghadiri muzakarah umrah yang dikendalikan oleh pakar selain menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah.

Katanya, mutawif-mutawif berkenaan juga berpeluang berkhidmat di syarikat Tiram Travel Sdn. Bhd. (TTSB) dan mana-mana syarikat yang berminat menggunakan perkhidmatan mutawif.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved