Ahad, 11 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pembangunan ekonomi di Tahan

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 11 Mei - Pelbagai projek kemudahan asas akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memacu kegiatan ekonomi dan sosial di kawasan Tahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, antara tumpuan ialah projek jalan raya ke kawasan Hulu Tembeling dalam usaha merancakkan sektor pelancongan dan pertanian di daerah ini.

Beliau berkata, ECERDC juga akan mengadakan latihan kemahiran untuk penduduk setempat bagi menggalakkan meareka menceburi kegiatan keusahawanan dalam dua sektor berkenaan.

Usaha ECERDC mampu memenuhi iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggerakkan transformasi pembangunan luar bandar khususnya memajukan Lembah Tembeling menjelang 2020.

Tumpuan ini juga dapat menjana pusat pertumbuhan baharu di Kampung Pagi dan Kampung Bantai, Mukim Hulu Tembeling yang bakal mengorak perubahan berasaskan sektor pelancongan dan pertanian," katanya di Kuala Tahan dekat sini semalam.

Menurut beliau, hasil lawatan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John baru-baru ini ke kawasan Tahan menyaksikan beberapa perkara berkaitan projek kemudahan asas dan pembangunan modal insan bakal dirangka serta dilaksanakan mulai tahun ini.

Transformasi pembangunan yang dilaksanakan oleh ECERDC di sini akan memberi sinar baharu kepada penduduk," ujarnya.

Wan Amizan berkata, penduduk Tahan sepatutnya menerima secara positif usaha yang bakal dilaksanakan dan tidak perlu terikut-ikut dengan dakyah sesetengah pihak yang memperlekeh setiap projek yang bakal dilaksana kelak.

Sebaik-baiknya kita menggunakan fikiran yang matang dan jangan cepat menolak sesuatu transformasi pembangunan di tempat atau kampung sendiri lantaran mempercayai asakan sebelah pihak," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri mengutamakan kebajikan penduduk luar bandar khususnya keselesaan untuk menambah pendapatan menerusi peluang sesuatu bidang ekonomi apabila wujud kemudahan asas serta bantuan yang diberikan oleh ECERDC.

Jambori pengakap kukuhkan ikatan generasi muda

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

WAN Salman Wan Ismail (kiri) memeriksa perbarisan pengakap antarabangsa dalam penutup Jambori Pengakap Antarabangsa Jengka Keempat dan Perkhemahan Pengakap Agoonoree di Kem Tengku Mahkota, Kuala Krau, baru-baru ini.

KUALA KRAU 11 Mei - Jambori Pengakap Antarabangsa Keempat dan Perkhemahan Pendidikan Khas Agoonoree Pertama yang berlangsung di Kem Tengku Mahkota, Jengka di sini baru-baru ini merupakan medan terbaik bagi mengukuhkan ikatan kemanusiaan sejagat dalam kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, aktiviti perkhemahan seperti itu dilihat mampu membina jati diri peserta sekali gus membentuk generasi baharu yang hebat dalam menempuh era globalisasi.

Selain itu, katanya, jambori yang disertai pengakap tempatan termasuk kontinjen luar negara yang mewakili Brunei, Thailand, Indonesia dan Singapura itu menjadikan perkhemahan berkenaan sangat berprestij dan diterima pengakap luar negara.

Penganjuran Perkhemahan Pendidikan Khas Agoonoree iaitu pengakap orang kurang upaya (OKU) yang diadakan serentak turut menambah nilai jambori kali ini," katanya ketika berucap menutup program berkenaan di Kem Tengku Mahkota di sini kelmarin.

Kata Wan Salman, pelbagai aktiviti dan pertandingan sempena perkhemahan selama enam hari itu diyakini mampu membina semangat jati diri, setiakawan dan kekitaan dalam kalangan generasi baharu.

Tambah beliau, program jambori itu sendiri sememangnya bertujuan menghimpunkan generasi muda pelbagai kaum dan budaya sambil melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat mencergaskan minda.

Di samping itu katanya, ahli pengakap yang terlibat juga dapat menyelami kepentingan perpaduan dan silaturahim antara pelbagai etnik, bahasa dan budaya.

Penglibatan ahli pengakap daripada pelbagai kaum, budaya dan agama juga mampu memberi impak besar kepada kemajuan pasukan beruniform berkenaan," katanya.

Wan Salman menambah,perkhemahan seperti itu turut memberi kesan positif kepada peserta terutama dalam membentuk sahsiah diri, semangat berpasukan, menghormati antara kaum dan sebagainya.

Tegasnya, program itu juga menjadi platform terbaik kepada ahli pengakap untuk meningkatkan ketahanan fizikal, minda serta kerohanian.

RM293,000 bantu pesakit di hospital

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

WAN Abdul Wahid Wan Hassan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Hasnah Sulaiman (tengah) dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, kelmarin.

TEMERLOH 11 Mei - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM293,000 kepada hospital-hospital di negeri ini menerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri bagi membantu pesakit kurang berkemampuan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, bantuan daripada kutipan zakat 2013 itu akan disalurkan kepada kira-kira 11 buah hospital di seluruh negeri pada tahun ini.

Bantuan ini akan digunakan untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuklah untuk pembelian peralatan perubatan sehinggalah perbelanjaan tambang dan makan pesakit.

Kita akan meneruskan bantuan seperti ini yang mana dalam tempoh antara 2011 dan 2014 sebanyak RM3.6 juta telah disalurkan kepada tabung ini," katanya ketika ditemui dalam majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Negeri di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Abdul Rashid Che Ali; Pengarah Hoshas, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah; Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Hasnah Sulaiman; Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Khairi Husin dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hoshas, Zainuddin Izharul Haq.

Wan Abdul Wahid turut menziarahi pesakit-pesakit yang ditempatkan di wad dan menyampaikan sumbangan tunai serta hamper.

Dalam pada itu beliau berkata, bantuan disalurkan itu hanya akan digunakan untuk perkara yang tidak memerlukan perbelanjaan besar seperti pembelian peralatan kecil dan tambang.

Katanya, bagi pesakit yang memerlukan bantuan yang lebih besar, mereka hendaklah membuat permohonan terus kepada Muip.

Selain bantuan berkenaan, pihaknya juga akan terus melakukan program ziarah bagi melawat pesakit yang ditempatkan di hospital-hospital di negeri ini.

Sementara itu, Dr. Abdul Rashid berkata, sumbangan yang diberikan itu amat bermanfaat dan akan digunakan sebaik mungkin bagi membantu pesakit-pesakit khususnya yang kurang berkemampuan.

Sumbangan ini menjadi satu contoh yang baik kepada pihak lain untuk membantu pesakit miskin yang amat memerlukan bantuan segera," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved