Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Lelaki tumbuk ibu dipenjara 18 bulan

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Amirullah (tengah) yang diiringi anggota polis dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Majistret Seremban, semalam selepas dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memukul ibu kandungnya. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

RASAH 7 Jan. - Gara-gara bertindak kasar dengan menumbuk ibu kandung sendiri sehingga lengan kiri mangsa retak, seorang lelaki menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban di sini.

Amirullah Sendreng, 24, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan ibunya, Roslina Hassan, 54, cedera parah.

Anak keenam daripada lapan adik-beradik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah No. 29, Jalan 10, Taman Desa Rhu di sini pada pukul 7.40 pagi, 9 Jun tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh sempat menasihati tertuduh supaya berjumpa dan memohon maaf kepada ibunya atas perbuatan tersebut.

"Emak kamu yang melahirkan kamu. Kalau tiada emak kamu, kamu tidak akan lahir ke dunia ini. Jumpa emak kamu dan minta maaf," katanya.

Ibu tertuduh bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dipercayai mengamuk kerana tidak berpuas hati selepas mangsa membenarkan kenalan bapanya masuk ke dalam rumah lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan memukul wanita itu dengan tangan.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh turut menampar, menumbuk dan menendang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu cedera di tangan kiri.

Johan Raja Lawak, isteri menang saman

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pelawak, Johan Raja Lawak dan isteri, Ozlyn Wati hari ini berjaya dalam tuntutan saman mereka terhadap syarikat penerbitan filem, Juara Film Production Sdn. Bhd. dan pengarah filem, Mohd. Javed Mohd. Nizar berhubung insiden cedera di dahi selepas dibaling dengan gelas kaca, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Su Geok Yiam, memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan oleh Johan atau nama sebenarnya, Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz, 30, dan pelakon, Ozlyn Wati atau nama sebenarnya, Rozlinawaty Ismail, 33.

Bagaimanapun, jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh Mohd. Javed dan Juara Film Production selaku defendan kepada pasangan itu akan ditaksirkan oleh mahkamah pada 23 Januari ini.

Hakim Geok Yiam turut menolak dengan kos tuntutan balas pihak defendan yang difailkan pada 18 Ogos 2010 bagi menuntut ganti rugi RM2 juta daripada pasangan itu.

Johan dan Ozlyn Wati yang diwakili peguam-peguam Zahrin Ishak dan Suhaimi Saad tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana sedang mengerjakan ibadah umrah.

Defendan juga tidak hadir namun diwakili peguam Baljit Singh.

Pada 18 Julai 2010, Johan selaku plaintif pertama dan Ozlyn Wati plaintif kedua memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Mohd. Javed yang dinamakan sebagai defendan pertama dan Juara Filem Production defendan kedua.

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, mereka bekerja dengan pihak defendan dalam sebuah drama televisyen bertajuk Bisikan Arwah genre seram yang penggambarannya dijalankan di Sikamat, Negeri Sembilan.

Menurut pihak plaintif, pada pukul 7.25 petang, 10 Mei 2010, Johan menerima berita ibunya meninggal dunia akibat ketumbuhan otak dan kedua-dua mereka pulang ke Ampang selepas mendapat kebenaran daripada defendan kedua.

Selepas selesai urusan pengebumian ibu plaintif pertama, pasangan suami isteri itu memutuskan pulang ke lokasi pengambaran bagi mengelakkan gangguan masa dan kos jika mereka tidak hadir.

Semasa dalam perjalanan, kedua-dua plaintif mendakwa, cuba menghubungi defendan pertama namun panggilan tidak dijawab.

Setibanya di lokasi pengambaran pada pukul 4 petang, 11 Mei 2010, tiada sebarang aktiviti di lokasi pengambaran dan defendan pertama juga tiada di situ.

Pada pukul 6 petang, pihak plaintif mendakwa, pembantu Mohd. Javed mengarahkan mereka bertemu dengan pengarah drama itu di sebuah restoran di Taman Pulai 2, Sikamat Seremban berhubung pindaan skrip drama itu.

Bagaimanapun pihak plaintif mendakwa, setibanya mereka di restoran berkenaan, Johan diherdik oleh seorang krew penerbitan bernama Halim menyebabkan dia terpinga-pinga dan meminta penjelasan apa sebenarnya yang berlaku.

Pihak plaintif mendakwa, Mohd. Javed yang berada di situ turut menjerit memarahi Johan dan mencapai satu gelas kaca mengandungi air dan membaling tepat ke arah muka Johan sehingga gelas itu pecah lalu menyebabkan kecederaan dan pendarahan ke atas mukanya.

Pergaduhan kemudian berlaku antara Johan dan pengarah tersebut serta Halim.

Ozlyn Wati yang turut mendakwa dipukul dalam kejadian itu bagaimanapun berjaya membawa Johan masuk ke dalam kereta untuk pergi ke sebuah pusat rawatan di Seremban.

Berikutan itu, pihak plaintif antara lain menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan kos rawatan dan perbelanjaan sampingan serta kenyataan maaf terhadap mereka secara terbuka menerusi akhbar dan televisyen tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved