Selasa, 7 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Hidupkan semula permainan tradisi

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
pengarang@utusan.com.my

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah sebuah basikal kepada pemenang Karnival Sukan Tradisional di Alor Gajah, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 6 Jan. - Zaman kanak-kanak sudah semestinya sukar dilupakan oleh setiap orang kerana pada zaman itu segalanya adalah indah belaka dan seringkali dihiasi dengan gelak tawa setiap kali bermain bersama rakan seusia.

Permainan yang wujud pada masa itu jauh bezanya jika dibandingkan dengan pada masa ini kerana corak permainan dicipta 'orang-orang dulu' bukan untuk hiburan semata-mata, malah diselitkan dengan pelbagai manfaat kepada pemainnya.

Yang jelas dalam permainan tradisional, selain menjadikan alam sebagai elemen utamanya, ia turut meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan fizikal.

Namun kini, seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan teknologi, permainan tradisional yang menjadi pengisi masa lapang kanak-kanak zaman dahulu kian dilupakan dan diganti permainan moden di alam maya sebagai medium interaksi.

Tiada lagi gelak tawa kanak-kanak di padang atau laman rumah berkejar-kejaran bersama rakan dan keringat tidak lagi membasahi baju mereka kerana masa lapang diisi dengan mengadap skrin televisyen, komputer riba atau yang paling digilai kanak-kanak sekarang adalah telefon pintar.

Bagi kanak-kanak dan remaja, permainan batu seremban, congkak, galah panjang dan teng teng sudah semestinya asing bagi mereka dan golongan dewasa pula pasti ada di antaranya yang telah melupai permainan seperti sepak raga bulatan, cap teh, raga ayam dan kelereng.

Menyedari hakikat itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama Majlis Belia Felda Melaka tampil membawa kesemua permainan tradisional yang pernah wujud dalam ketamadunan masyarakat Melayu dahulu dalam satu karnival yang berlangsung di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini, baru-baru ini.

Pada karnival itu, sebanyak sembilan sukan permainan tradisional dipertandingkan iaitu kelereng, sepak raga bulatan, galah panjang, batu seremban, congkak, raga ayam, teng teng, cap teh dan tarik tali serta acara sampingan seperti memasak, mencanting batik dan sukaneka.

Usaha itu bertujuan mempromosi, mengembang dan membangunkan aktiviti sukan tradisional ke peringkat akar umbi dan mengembalikan kegemilangan permainan tradisional selain menerapkan unsur-unsur kekeluargaan.

Sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 700 peserta pelbagai peringkat umur, program itu dilihat berjaya mencapai objektifnya.

Menariknya pada karnival sehari itu, para peserta dikehendaki memakai kain sarung dan batik.

Permainan berusia ribuan tahun yang dikatakan berasal dari Rom dan pernah popular dalam kalangan kanak-kanak pelbagai kaum suatu masa dahulu iaitu kelereng turut dipertandingkan.

Kelereng atau dikenali sebagai 'petanque' di Perancis yang menggunakan guli, merupakan permainan rakyat yang sangat digemari.

Turut mencuri tumpuan ialah raga ayam yang permainannya memerlukan kekuatan fizikal kerana melibatkan pertempuran dua pemain.

Permainannya mirip sukan Sumo, tetapi bezanya adalah kedua-dua tangan peserta diikat ke belakang dan pergerakan pula dibataskan dengan hanya sebelah kaki iaitu dengan cara berjengket.

Karnival berkenaan juga menyediakan ruang pameran pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pemeriksaan kesihatan percuma selain gerai-gerai jualan produk makanan, minuman dan kraf tangan.

Perbanyakkan program promosi permainan tradisional

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

ALOR GAJAH 6 Jan. - Program yang mampu mempromosikan permainan tradisional dalam kalangan rakyat harus diperbanyakkan bagi mengembalikan kegemilangan selain memeliharanya sebagai khazanah negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, generasi dahulu telah meninggalkan pelbagai khazanah bernilai termasuk keunikan budaya, adat resam, seni bina dan tidak terkecuali, permainan tradisional.

Menurutnya, adalah menjadi kerugian kepada masyarakat jika aspek sejarah yang ditinggalkan generasi dahulu tidak dipelihara dengan baik.

"Saya yakin penganjuran karnival sukan tradisional ini tepat pada masanya kerana menyedari bahawa permainan tradisional kini semakin dilupakan terutamanya golongan kanak-kanak.

"Amat penting untuk kita kembali mengetengahkan acara sukan tradisional kerana selain mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri, ia turut mampu menjadi instrumen kepada modul perpaduan masyarakat di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Tradisional Peringkat Negeri Melaka anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Belia Felda Melaka di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini, hari ini.

Ab. Rahaman berkata, permainan tradisional mempunyai keunikan tersendiri dan boleh dijadikan hiburan bagi mengisi masa lapang oleh masyarakat terutama generasi muda.

Beliau menambah, selain hiburan, permainan tradisional dicipta bagi membentuk kreativiti, jati diri, semangat berpasukan serta merapatkan hubungan sesama rakan sepermainan.

"Golongan muda tidak harus melupakan permainan tradisi, sebaliknya wajar diperkenalkan di semua peringkat khususnya di sekolah, persatuan, kampung serta komuniti di kawasan perbandaran perlu dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Ujarnya, walaupun masyarakat kini terdedah kepada ledakan kemajuan teknologi, semua pihak perlu terus berusaha memastikan permainan tradisional dapat diperluas dan dipertingkatkan melalui teknologi sedia ada.

MBMB peroleh pendapatan RM177.25 juta

Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST

Idris Haron berkata sesuatu kepada Zainal Abu (kanan) dalam majlis angkat sumpah dan terima pelantikan Datuk Bandar, Yang DiPertua dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2014 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 6 Jan. - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjana pendapatan hasil daripada pelbagai cukai keseluruhan berjumlah RM177.25 juta sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun Datuk Bandarnya, Datuk Zainal Abu berkata, perbelanjaan kos mengurus dan pembangunan sepanjang tahun lalu pula berjumlah 183.0 juta.

Pada 2013 katanya, banyak perbelanjaan digunakan untuk menaik taraf parit monsun, naik taraf semua perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat, pembinaan gerai-gerai baharu serta kerja-kerja menceriakan bandar raya ini dengan penghijauan.

"Selain itu MBMB membayar kepada Perbadanan Sistem Pepejal yang bertanggungjawab bagi kerja-kerja pungutan sampah, pembersihan longkang dan pemotongan rumput berjumlah RM1.8 juta sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis angkat sumpah dan terima pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2014 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Seramai 100 orang ahli majlis dilantik termasuk muka lama dan muka baharu yang mewakili empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Zainal berkata, sepanjang tahun lalu, MBMB melaksanakan usaha menjana sosioekonomi penduduk di bandar raya ini dengan menaiktaraf gerai dan kemudahan medan selera di 31 lokasi melibatkan kos sebanyak RM2.738 juta.

Beliau berkata, projek-projek kemasyarakatan dan projek berskala kecil seperti pembaikan longkang, parit, papan tanda dan jalan-jalan kampung pula melibatkan 218 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.373 juta.

Sehubungan itu katanya, bagi tahun 2014, MBMB akan meneruskan penguatkuasaan menangani judi haram di kafe-kafe siber di bandar raya ini.

"Sepanjang tahun lalu, MBMB telah melakukan 113 serbuan dan sebanyak 875 komputer telah disita," katanya.

Menurutnya, di samping itu, pihaknya tidak akan bertolak ansur dari aspek kebersihan yang meliputi kawasan awam, premis makanan, tandas, penjaja kecil dan sebagainya.

Ujarnya, MBMB akan mempertingkatkan secara maksimum kerja-kerja pemantauan seperti notis, kompaun, denda dan sita premis jika didapati melanggar aspek kebersihan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved