Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Selangor setuju bina Langat 2

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 8 Jan. - Kerajaan negeri secara dasarnya telah bersetuju untuk melaksanakan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, persetujuan itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang dikemukakan pihaknya kepada Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili hari ini.

Malah, beliau juga menyatakan telah mengadakan perbincangan dengan Maximus semalam dan bersetuju mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 antaranya meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pengawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin bagi menjalankan pentadbiran pengurusan air.

Menurut Abdul khalid, pelantikan dua individu itu perlu dibuat memandangkan kerajaan negeri memiliki kebanyakan aset air di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kerajaan negeri secara dasarnya telah bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Langat 2 dan kedua-dua pentadbir ini (Suhaimi dan Faekah) dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya (pembinaan Langat 2)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Sebelum ini, projek Langat 2 yang dilaksanakan Kerajaan Pusat untuk menangani krisis bekalan air di Lembah Klang dan Putrajaya itu terpaksa ditangguhkan berikutan tindakan kerajaan negeri yang dilaporkan enggan memberikan kelulusan perintah pembangunan (DO).

Malah, Abdul Khalid menerusi laporan akhbar pada 31 Ogos 2010 menyatakan pembinaan loji berkenaan tidak perlu dibuat secara terburu-buru berbanding penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid menyalahkan para pemegang saham syarikat-syarikat konsesi air di negeri ini ekoran kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang turut melibatkan pengambilalihan empat syarikat konsesi dengan nilai tawaran sebanyak RM9.65 bilion.

Empat syarikat konsesi tersebut ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas); Konsortium Abass Sdn. Bhd.; Puncak Niaga Sdn. Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad.

"Perbincangan yang kami lakukan untuk pengambilalihan atas dasar willing buyer-willing seller (sanggup beli-sanggup jual) seperti yang ditetapkan oleh kementerian gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan pada 31 Disember 2013.

"Kami percaya punca utama kegagalan penyelesaian ini adalah akibat jangkaan yang tidak realistik dalam kalangan pemegang saham berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor," ujarnya.

Elak kejadian tanah runtuh berulang

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh LILIS SURIANI OMAR
kota@utusangroup.com.my

TAN Keng Chok (kanan) dan Mohamad Yasin Jamaluddin menunjukkan lakaran lokasi tanah runtuh di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kerja-kerja pembaikan cerun akibat kejadian tanah runtuh di tebing bukit setinggi 12 meter di Jalan Mahameru di sini semalam giat dijalankan bagi mengelak perkara sama daripada berulang.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tersebut mendapati, keadaan lalu lintas masih perlahan kerana hanya dua daripada tiga lorong dibuka untuk pengguna jalan raya.

Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tan Keng Chok, pihaknya kini sedang memasang paku tanah sedalam sembilan meter bagi mengukuhkan struktur tanah di tebing itu.

"Sebanyak 550 batang paku tanah akan dipacakkan dengan jarak 1.5 meter setiap satu di kawasan runtuhan tersebut bagi menyokong kedudukan tanah di cerun dengan kecuraman 45 darjah itu.

"Kita juga akan mengeluarkan semua lumpur dan sisa tanah di permukaan cerun untuk dihantar ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong," katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Yang turut serta timbalannya, Mohamad Yasin Jamaluddin.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 5.15 petang itu merupakan kali kedua selepas kejadian pada Mei lalu.

Sementara itu, Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Tajul Anuar Jamaluddin berkata, hujan lebat petang semalam telah menyebabkan struktur tanah menjadi longgar.

"Tanah di permukaan cerun menjadi tepu dengan air hujan dan mengakibatkan strukturnya tidak stabil lalu runtuh," jelasnya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani pula memberitahu, pihaknya akan terus memantau kawasan itu sewaktu kerja-kerja pembuangan tanah dilakukan oleh kontraktor.

"Setakat ini, tiada pergerakan tanah dikesan tetapi pemantauan akan terus dibuat dan orang ramai dinasihati sentiasa berwaspada kerana kejadian seperti ini sukar dijangka," ujarnya.

Tiga lokasi di ibu negara berisiko runtuh - DBKL

Posted: 08 Jan 2014 11:02 AM PST

SEBUAH jentolak membersihkan timbunan tanah runtuh di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MUHD. FARIZUAN SHARIFF

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Sebanyak tiga lokasi di ibu negara dikenal pasti terdedah kepada bahaya tanah runtuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan terbabit akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, tiga lokasi tersebut adalah di Bukit Nanas, Bukit Persekutuan dan Bukit Setiawangsa.

"Kontraktor bagi pembaikan cerun di Bukit Setiawangsa telah dilantik dan diharapkan kerja-kerja dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Bagaimanapun, pembaikan di sekitar Bukit Nanas terpaksa ditangguhkan berikutan penetapan harga untuk kerja-kerja itu masih di peringkat rundingan dan perlu mengikut bajet yang ditetap Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tebing runtuh di Jalan Mahameru lewat petang semalam.

Kejadian yang berlaku akibat hujan lebat selama satu jam itu menyebabkan ribuan pengguna jalan raya berhadapan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira 10 kilometer.

Ahmad Phesal berkata, kejadian itu berlaku disebabkan tebing berkenaan masih di peringkat baik pulih dan keadaan tanah tidak stabil.

"Kerja-kerja pemulihan cerun di tebing itu telah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu dan dijangka selesai pada Mac ini.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan kerja-kerja pemasangan kanvas di kawasan runtuhan tebing itu sebagai langkah keselamatan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved