Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


PATD bantu tangani jenayah ragut

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

PRODUK PATD yang boleh membantu dalam mengurangkan kadar kes jenayah ragut yang melibatkan golongan wanita sebagai sasaran utama.

MELAKA 7 Jan. - Penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan produk inovasi peranti dalam usaha membantu menangani kes jenayah ragut yang kian meruncing di negara ini.

Menurut penyelidik berkenaan, Khalil Azha Mohd. Annuar berkata, idea untuk menghasilkan produk yang dinamakan 'Portable Anti-Theft Device' (PATD) itu timbul apabila melihat kepada statistik kes jenayah tersebut yang berlaku saban hari sehingga menimbulkan kebimbangan umum.

Menurutnya, kebanyakan kes jenayah ragut yang melibatkan golongan wanita sebagai sasaran utama boleh menyebabkan kecederaan malahan turut berlaku beberapa kes kematian dan ini telah mendorong beliau untuk mencipta produk tersebut.

"Produk PATD dihasilkan bertujuan mengurangkan kadar kehilangan barangan berharga akibat daripada jenayah ragut, alat pengesan serta boleh berperanan untuk memantau anak-anak semasa berada di tempat awam.

"Alat peranti ini menggunakan aplikasi teknologi RFID terdiri daripada komponen pemancar dan penerima isyarat yang mencetuskan sistem penggera berdasar jarak antara pemancar dan litar penerima," katanya.

Khalil Azha berkata, peranti pemancar tersebut akan disimpan oleh pengguna manakala peranti penerima itu akan diletakkan pada barangan atau kanak-kanak.

Katanya, apabila peranti penerima menjarakkan kedudukan daripada peranti pemancar, sistem penggera akan berbunyi memberitahu pengguna untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Peranti yang mudah alih dan ringan ini mampu memberi isyarat kepada orang ramai yang berada berhampiran sekiranya berlaku kes jenayah dan juga kecemasan serta sesuai digunakan oleh wanita terutamanya kepada mereka yang telah berkeluarga," katanya.

Kampus ECiM tawar pendidikan kelas pertama

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

TONY Fernandes (dua dari kiri) berbual dengan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (tengah) di hadapan bangunan Epsom College Malaysia selepas majlis pelancarannya di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

SEREMBAN 7 Jan. - Epsom College Malaysia (ECiM) bakal menawarkan pendidikan kelas pertama pendidikan persekolahan dan asrama berorientasikan modul pendidikan British melalui pembukaan kampus baharunya di Bandar Enstek, Nilai dekat sini menjelang September ini.

Pengerusi Lembaga Pentadbir ECiM, Tan Sri Dr. Tony Fernandes berkata, ECiM merupakan kampus pertama Epsom College di luar United Kingdom (UK) dan kampus itu bakal menawarkan sesi pembelajaran bagi sekolah berasrama penuh dan harian bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga ke pelajar berusia 18 tahun.

"Matlamat kita adalah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita, visi kita juga adalah untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik bukan sahaja dari aspek akademik malah meliputi sudut kokurikulum.

"Bagi sesi pertama, ECiM hanya menghadkan pengambilan sehingga 200 orang pelajar sahaja, malah setiap pelajar perlu melalui sesi penilaian sebelum diterima masuk ke kampus ini," katanya dalam sesi pengenalan ECiM, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, pemilihan lokasi ECiM di Bandar Enstek adalah bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu.

"Malah ECiM yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bakal menyediakan persekitaran yang kondusif kepada para pelajar.

"Apapun ECiM menawarkan persekitaran pembelajaran yang unik kerana tidak hanya bergantung kepada buku teks semata-mata. Penubuhan di sekolah ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari sesuatu bidang yang diminati dengan lebih mendalam," katanya.

Sementara itu, Pengetuanya, Martin George berkata, kesemua tenaga pendidik yang bakal mengajar di ECiM berkelayakan dan pengalaman yang dibawa khas daripada UK

"Ini termasuk dari peringkat sekolah persediaan sehingga ke pra-universiti semua akan diajar oleh guru profesional.

"Kami cukup bersedia untuk memberikan pendidikan bertaraf dunia di ECiM kelak," katanya.

Lubuk belukar PATI diserbu

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan penguat kuasa Imigresen dalam operasi di Bayou Lake, Mantin, Seremban, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 7 Jan. - Kelicikan sekumpulan 27 orang warga Indonesia menjadikan satu kawasan belukar untuk bersembunyi terbongkar apabila mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di Bayou Lake, Mantin, dekat sini malam tadi.

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, operasi bermula kira-kira pukul 11 malam itu dilakukan hasil aduan orang ramai mengenai kegiatan kumpulan warga asing yang menjadikan tanah persendirian di situ sebagai tempat persembunyian.

"Kita menahan 22 orang warga Indonesia yang terdiri daripada 20 lelaki, enam wanita berusia 17 hingga lewat 30-an selain seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami mendapati kebanyakannya tiada pengenalan diri sah selain tinggal lebih masa di negara ini," katanya di sini malam tadi.

Jelas beliau, sebahagian besar daripada warga asing itu dikatakan bekerja di ladang berhampiran selain menjadi jurujual di sekitar kawasan Mantin.

Faizal berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap pemilik tanah berkenaan dan tindakan akan diambil sekiranya didapati bersekongkol cuba melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh dan Seksyen 6 (3) akta yang sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Bagi pemilik tanah pula pihak kami akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 55E akta yang sama iaitu membenarkan imigran haram masuk dan tinggal di premis majikan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved