Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pengurus didakwa peras ugut

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 7 Jan. - Seorang pengurus makmal foto mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan tuduhan melakukan peras ugut membabitkan wang tunai berjumlah RM190,000 pada Oktober tahun lalu.

Lim Teik Chong, 44, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di tiga buah mahkamah.

Di hadapan Majistret L. Umma Dewi, Teik Chong didakwa atas tiga tuduhan melakukan peras ugut masing-masing terhadap keluarga Lu Teng Teng, 38, Lau Choon Eng, 43, dan Foo Chuan Aur, 41.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di Pulau Park, Lengkuk Nipah 5, Taman Sri Bunga, Sungai Dua dan Lengkok Moulmein, Pulau Tikus di sini antara pukul 4.30 petang, 28 Oktober dan 10.30 malam, 31 Oktober tahun lalu.

Di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini, bapa kepada dua anak itu didakwa atas dua pertuduhan melakukan perbuatan sama terhadap keluarga Frederick Pui Jin Kui, 39, dan Ong Lay Seong, 55.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan Teik Chong di Jalan Choong Lye Hin dan Persiaran Tembaga, di sini antara pukul 4.45 pagi dan 10.15 pagi, 28 Oktober tahun lalu.

Sementara di hadapan Majistret Dianne Ningrad pula, lelaki dari Jalan Batu Lanchang, di sini didakwa atas dakwaan melakukan peras ugut terhadap tiga mangsa iaitu keluarga Teh Chee Ngeap, 34, Cheng Chai Boon, 40, dan Ong Chong Way, 26.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan lelaki berkenaan di Jalan Delima, Island Glades, di sini kira-kira pukul 9 pagi dan 12 tengah hari, 27 Oktober 2013.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan Wei Heng, Roslina Idris dan Muhamad Hafiz Hashim manakala Teik Chong diwakili peguam C. Ravi.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin berjumlah RM52,000 bagi kesemua pertuduhan itu dan diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran rumahnya pada setiap Isnin, menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan melarang tertuduh menghampiri mangsa atau saksi yang terlibat dalam kes berkenaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Mac ini.

UniMAP hasrat jalin kerjasama dengan AUCMS

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

KAMARUDIN Hussin (kanan) bersama Abu Hassan Samad di hadapan kampus AUCMS London, baru-baru ini. - BERNAMA

LONDON 7 Jan. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat menjalin kerjasama akademik dengan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) yang kini sudah mengembangkan sayapnya di London.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kerjasama itu mungkin akan menjurus kepada kegiatan di luar Malaysia.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai bentuk kerjasama antara UniMAP dan AUCMS di Malaysia nanti," katanya selepas meninjau kampus AUCMS di Trent Park, London baru-baru ini.

Terdahulu, Kamarudin melawat infrastruktur kampus yang terletak di tapak seluas 21 hektar dan diberi taklimat oleh Pengarah Pembangunan dan Infrastruktur Akademik dan Perkhidmatan Klinikal AUCMS, Dr. Abu Hassan Samad.

Sebelum menjadi kampus AUCMS London, 20 bangunan yang terletak dalam kawasan taman awam Trent Park itu digunakan oleh Middlesex Polytechnic sebelum dinaikkan taraf sebagai Middlesex University pada 1992.

Universiti itu kemudiannya berpindah ke kampus baharunya di Hendon pada 2012 dan hartanah bernilai kira-kira 60 juta pound sterling itu dibeli pada Julai lepas oleh ACMS Trent Park Limited, syarikat yang diwujudkan AUCMS pada Januari tahun ini.

Pada Julai 2013, ACMS Trent Park mengambil alih kampus Trent Park di bahagian Utara London daripada Middlesex University, yang merupakan kampus luar pesisir pertama AUCMS yang beribu pejabat di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang dan turut mempunyai cawangan kampus di Perlis.

Kamarudin berkata, sekiranya perbincangan itu berhasil, UniMAP akan menyenaraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dengan AUCMS di kampus London.

Naib Canselor UniMAP itu berada di London baru-baru ini bagi menyertai lawatan kerja universiti tersebut yang diketuai oleh Raja Muda Perlis. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP.

Selain AUCMS, UniMAP juga berhasrat menjalin kerjasama industri dengan pengeluar kereta Lotus terutama berkaitan kejuruteraan automotif. - BERNAMA

Naik taraf pesisir Sungai Perak

Posted: 07 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 7 Jan. - Sebanyak RM1.12 juta dibelanjakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi menaiktaraf persekitaran di pesisir Sungai Perak dekat sini.

Yang Dipertua MPKK, Abdul Halim Abd. Hamid berkata, kerja menaiktaraf itu melibatkan peningkatan infrastruktur termasuk pembinaan kios, laluan pejalan kaki, jeti penambang, surau, jalan, tandas dan penyediaan bot.

Katanya, kesemua projek tersebut bukan sahaja dilihat mampu mengubah landskap pesisir Sungai Perak, malah memberikan persekitaran yang selesa kepada peniaga dan orang awam yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

''Kemudahan yang dinaiktaraf ini merupakan projek jangka pendek yang dilaksanakan oleh MPKK selaras dengan keperluan semasa peniaga dan pengunjung di sini.

''Melalui pembangunan ini, bukan sahaja menceriakan kawasan sekitar malah memberikan keselesaan kepada penjaja dan orang ramai kerana kawasan ini merupakan kawasan tumpuan di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majis Penyerahan Kios MPKK yang disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad, di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Khairil dalam ucapannya memberitahu, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pernah menemuinya dan menyatakan hasrat agensi itu untuk melabur dalam sektor ekonomi di pesisir Sungai Perak yang dilihat sebagai peluang terbaik kepada MPKK.

Malah, katanya, dengan kemudahan yang dinaik taraf di pesisir Sungai Perak, keadaan itu mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara bagi menikmati keindahan kawasan berkenaan.

''Projek menariktaraf Sungai Perak ini akan memberikan kesan sampingan kepada kemajuan di Pesisiran Sayong Kuala Kangsar yang baru dibangunkan sekali gus bersedia menanti kehadiran pengunjung untuk dilawati," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved