Rabu, 8 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Sebutan semula kes Alvin 28 Feb.

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes pasangan blogger kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi tiga tuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Wong Kee Them yang mewakili pasangan itu memaklumkan, Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu membenarkan penangguhan perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini.

Pada prosiding hari ini, Alvin dan Vivian hadir ke mahkamah. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiza Jemali.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, memfailkan rayuan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu selesai rayuan mereka untuk membatalkan satu daripada tiga tuduhan tersebut.

Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November tahun lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan atas alasan pertuduhan yang dibuat adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pertuduhan itu menyebut bahawa Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman sosial Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!') yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Dua ahli Rela dijel ceroboh rumah Wan Junaidi

Posted: 08 Jan 2014 11:01 AM PST

Anggota polis mengiringi dua anggota Rela keluar dari mahkamah selepas mereka dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 8 Jan. - Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dihukum penjara maksimum enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk rumah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 24 Disember lalu.

Aloi Ali, 42, dari Kampung Pinang Jawa dan rakannya, Nurul Azmie Tahir, 30, dari Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Taman Sri Jaya di sini, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Maris Agan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula hari ini sebaik sahaja hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Sesyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Yunus Sahak.

Mengikut fakta kes, dua anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tiga anggota Rela ketika membuat rondaan di rumah Wan Junaidi di Jalan Green di sini pada pukul 3.15 pagi, 24 Disember lalu telah mendapati pagar dawai bahagian tepi rumah telah digunting.

Mereka kemudian terserempak dengan dua suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan diri dengan melompat pagar dan menaiki sebuah motosikal jenis Honda Ex5.

Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan pecah rumah ditinggalkan suspek iaitu masing-masing sebilah besi pemotong, batang paip berhulu kayu dan satu beg pinggang berwarna hitam.

Polis yang menjalankan siasatan berjaya menangkap tiga suspek termasuk dua tertuduh yang merupakan anggota Rela di kediaman masing-masing pada 3 Januari lalu.

Ketiga-tiga suspek termasuk dua tertuduh telah ditahan reman selama empat hari.

Bagaimanapun, seorang suspek dibebaskan manakala dua tertuduh dihadapkan ke mahkamah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved