Sabtu, 1 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Operasi buru peniaga warga asing, 190 PATI ditahan

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Ahmad Zahid Hamidi memeriksa dokumen salah seorang pendatang tanpa izin yang ditahan dalam Operasi Bersepadu 6PI di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 1 Mac - Seramai 500 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu bagi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan menggunakan permit milik rakyat tempatan di Jalan Silang, di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 190 PATI ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya melakukan pemantauan secara berterusan terhadap pemilik premis yang didapati menyewakan premis kepada warga asing.

"Pihak berkenaan (PBT) perlu memikul tanggungjawab dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada secara tegas bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen premis perniagaan," katanya ketika ditemui selepas Ops Bersepadu 6P di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Ahmad Zahid seterusnya meminta para majikan mengambil inisiatif mengusahakan perniagaan mereka dengan menggunakan tenaga tempatan berbanding warga asing.

Sementara itu, di ALOR GAJAH, Ahmad Zahid berkata, Ops Bersepadu 6P melibatkan Jabatan Imigresen, PBT, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu bagi memastikan masalah peniaga warga asing tanpa izin ditangani sepenuhnya.

"Rata-rata rakyat rasakan peluang perniagaan mereka sudah direbut dan dirampas oleh pendatang asing.

"Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia (yang sewa atau jual permit) juga perlu disalahkan... Jangan sewa lesen, jangan jual lesen kerana ia diberi kepada warganegara Malaysia untuk kerajaan bantu mereka meningkatkan taraf kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Rakyat anjuran UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Kastam rampas RM36.64j rokok seludup tahun lalu

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

Matrang Suhaili (kiri) memusnahkan sebahagian rokok seludup menggunakan mesin pengisar pada Program Khidmat Bakti Masyarakat dan Kempen Mencegah Penyeludupan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban, semalam.

SEREMBAN 1 Mac - Sebanyak 449.94 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM36.64 juta dengan cukai tidak berbayar berjumlah RM212.39 juta dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Matrang Suhaili menjelaskan catatan berkenaan menyaksikan penurunan berbanding tahun sebelumnya berjumlah 510.83 juta batang rokok bernilai RM42.05 juta, dengan cukai tidak berbayar sebanyak RM254.73 juta.

Namun begitu katanya, kegiatan tersebut dianggap serius kerana ia melibatkan kehilangan pendapatan negara kira-kira RM1.9 bilion setiap tahun akibat penyeludupan rokok secara haram.

''Mana-mana pihak yang didapati menjalankan kegiatan seumpamanya, kita tidak akan menawarkan kompaun tetapi akan terus menghadapkan mereka ke mahkamah mengikut Akta Kastam 1967 seperti dasar terdahulu," katanya.

Matrang berkata demikian selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat dan Pelancaran Kempen Mencegah Penyeludupan KDRM negeri 2014 di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP)Labu di sini, hari ini.

Katanya lagi buat masa ini pihaknya masih lagi mengkaji sama ada belum lagi mahu mengenakan tindakan ke atas pembeli sebaliknya bertindak secara agresif bagi memerangi pengedar dan penjual rokok seludup.

"Bagaimanapun, KDRM bersedia bila-bila masa saja, untuk menangkap dan mendakwa golongan pembeli rokok tidak sah bagi memerangi kegiatan penyeludupan secara menyeluruh, yang secara automatik mengurangkan permintaan," katanya.

Berdasarkan rekod tahun lalu seramai 3,294 penyeludup dan penjual rokok tidak sah didakwa di mahkamah dan penguatkuasaan untuk memastikan lebih ramai golongan itu menerima nasib sama akan terus dipertingkatkan bagi memerangi kegiatan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved