Ahad, 2 Mac 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Nyaman di puncak Cameron Highlands

Posted: 01 Mar 2014 06:10 AM PST

TIDAK lengkap percutian di Cameron Highlands jika tidak singgah di ladang teh yang luasnya saujana mata memandang.

Setiap daripada kita sudah tentu mempunyai hobi masing-masing dan ada kalanya percutian itu berlaku tanpa dirancang. Begitu juga saya dan suami yang sering bercuti tanpa dirancang. Apabila berasa bosan, salah seorang daripada kami akan mencadangkan lokasi secara spontan. Justeru, tanpa perancangan yang panjang, kami telah pergi ke Cameron Highlands, Pahang untuk bercuti.

Dari Shah Alam, kami menyusuri Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selama kira-kira dua jam. Disebabkan tidak membuat perancangan maka kami tidak pasti destinasi menarik yang manakah perlu didahulukan. Sekadar mengikut kata hati, kami sepakat untuk singgah di mana-mana kawasan yang dirasakan menarik.

Lokasi pertama yang kami singgah adalah ladang teh. Ini kerana ladang teh begitu sinonim dengan kawasan pergunungan Cameron Highlands. Kami singgah di ladang teh yang menghijau selama 30 minit. Kami sempat bergambar dan menikmati pemandangan indah sambil menghirup udara yang sangat nyaman di sekitar ladang tersebut.

Selepas puas menjamu mata dengan pemandangan hijau ladang teh yang luas, kami terus menuju ke EQ Strawberry Farm yang terletak tidak jauh dari ladang teh tadi. Penulis menggunakan kesempatan ini untuk memetik sendiri buah strawberi dengan bayaran yang sangat berpatutan iaitu RM20 sebagai deposit.

Buah strawberi yang masak ranum memang mengujakan untuk dipetik. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke pasar yang terletak di tengah-tengah pekan Cameron Highlands. Banyak barangan segar yang boleh didapati di sini terutamanya sayur dan bunga.

Penulis tidak melepaskan peluang untuk membeli sejambak bunga yang mempunyai kira-kira 17 kuntum hanya dengan bayaran RM10. Walaupun harga bunga-bunga segar di Cameron Highlands sangat murah tetapi penulis tidak terlalu boros berbelanja untuk membeli bunga.

Oleh kerana hari semakin lewat petang, kami mengambil keputusan untuk pulang ke Shah Alam. Namun apa yang menjadikan perjalanan kami menarik adalah kami akhirnya menemui destinasi yang ingin dituju pada awal perjalanan iaitu Cameron Bharat Plantations.

Tidak mengambil kira hari yang semakin petang, kami singgah juga di lokasi berkenaan. Lokasi ladang teh itu sebenarnya mengundang nostalgia kepada penulis kerana sejak kecil, penulis akan singgah ke sini sekiranya mengunjungi Cameron Highlands.

Bagi penulis, hidangan minum petang yang disediakan sangat menarik dan menyelerakan. Tanpa membuang masa, penulis segera mendapatkan hidangan yang menjadi kegemaran iaitu ice tea with float dan kek keju.

Ruang makan yang disediakan juga menjadikan pengalaman di situ menarik kerana terletak di atas bukit. Pengunjung juga dapat melihat keluasan ladang sambil menikmati hidangan yang dipesan.

Memang seronok bersantai di sini, lebih-lebih lagi kunjungan ini tidak dirancang. Walaupun hanya sekejap, penulis tidak dapat melupakan pengalaman berkenaan dan akan kembali ke sini pada masa akan datang.

Menjelang senja, kami bertolak pulang ke Shah Alam melalui Tapah dalam keadaan sekitar yang semakin gelap. Penulis tidak mengesyorkan anda melalui kawasan berkenaan pada waktu malam kerana jalan di sana mempunyai selekoh tajam. Seelok-eloknya bertolaklah sebelum hari gelap. - IZZATI ABDUL GHAFFUR

Mendaki santai di Bukit Broga

Posted: 01 Mar 2014 06:10 AM PST

PARA peserta bergambar selepas berjaya mendaki Bukit Broga di Semenyih baru-baru ini.

DESTINASI Bukit Broga yang terletak di Semenyih, Selangor sangat terkenal dengan aktiviti pendakian. Setiap minggu, lokasi itu pastinya dipenuhi pengunjung yang ingin menguji kemampuan fizikal dan mental masing-masing.

Atas minat yang sama, .com berkunjung ke sana pada 23 Februari lalu bagi menunjukkan sokongan moral kepada pendaki yang mengelar dirinya Pendaki Solo, Mohd. Noor Mat Amin dan beberapa sukarelawan lain yang mahu mencipta rekod baru dengan melakukan pendakian solo selama 57 jam tanpa henti di Gunung Kinabalu, Sabah pada Ogos ini. Pendakian di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dilakukan sempena menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-57.

Penulis bersama kesemua peserta tiba di kaki bukit tersebut yang terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit seawal pukul 4 pagi.

Sampai sahaja di sana, kami meletak kenderaan di bawah pokok kelapa sawit yang terletak berhampiran tempat mula mendaki. Caj parkir dikenakan sebanyak RM2 untuk setiap buah kereta. Caj itu dikutip oleh penjaga parkir bagi pihak pemilik ladang tersebut.

Sebelum aktiviti pendakian bermula, kami menunaikan solat Subuh di sebuah kabin yang disediakan di situ oleh pihak pengurusan tempat parkir bersama pendaki yang lain.

Selepas solat dan mendoakan perjalanan selamat, tepat pukul 6.30 pagi, aktiviti pendakian pun bermula dalam cuaca lembap dan berangin.

Bagi yang tidak biasa mendaki, Bukit Broga tidak sukar untuk ditawan kerana bentuk muka buminya tidaklah tinggi.

Jika ada pun cabaran, ia hanya melibatkan laluan ke puncak pertama kerana terdapat cerun yang agak curam untuk ditempuhi. Keseluruhannya, terdapat empat puncak bukit yang perlu dilalui sebelum kami tiba di puncak tertinggi (400 meter) dari aras laut.

Perjalanan kami untuk sampai ke puncak bukit ketiga hanya mengambil masa selama 45 minit. Bagaikan tidak terasa penat dan lelah mendaki, lebih-lebih lagi sambil mendaki kami terpesona melihat landskap indah pemandangan hutan lalang di kawasan sekitarnya.

Sampai sahaja di kawasan padang rumput yang luas, sang mentari yang baru sahaja memancarkan cahayanya sekali gus menambah keindahan sekeliling yang sesungguhnya amat mempesonakan.

Saat itu sememangnya sangat indah. Malah kami turut berkesempatan untuk menikmati udara sekitar yang segar dan suasana yang begitu mengasyikkan dengan pemandangan indah waktu siang pekan Kajang serta Semenyih.

Sambil menghayati pemandangan tersebut, kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar-gambar pemandangan indah dari puncak bukit itu.

Di puncak itu juga terdapat kumpulan lain yang turut mendaki, namun memandangkan kami datang pada hari minggu, maka puncak bukit ketiga itu sudahpun dipenuhi ratusan manusia yang ada di antaranya datang dari negeri yang berlainan.

Selepas puas bergambar, kami pun menyempurnakan pendakian sehingga ke puncak tertinggi 15 minit kemudiannya.

Oleh kerana sesi pendakian ini turut disertai Pendaki Solo, maka setiap kali berselisih dengan kumpulan lain, kami terpaksa berhenti seketika bagi memberi laluan kepada pendaki lain untuk bergambar bersamanya termasuk ketika sedang berada di puncak Bukit Broga.

Sambil bergambar, kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil menghayati kedamaian yang terdapat di sekitarnya.

Setelah sejam berlalu, kami pun memulakan langkah menuruni puncak Bukit Broga secara berhati-hati, maklumlah keadaan tanah yang kering akibat musim kemarau membuatkan laluan menjadi licin dan berpasir halus.

Pendakian kali ini tidak dapat dilupakan. Bukan sahaja kami dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan, bahkan juga berpeluang berkenalan dengan rakan baharu.

- SYAHRIL/ MOHD. NAIM AZIZ

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved