Ahad, 2 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kerajaan sedia bantu petani, nelayan

Posted: 01 Mar 2014 10:06 AM PST

SEREMBAN 1 Mac. - Bebanan para petani penternak dan nelayan yang dianggarkan lebih 200 orang akan dikurangkan selepas kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan kesan daripada cuaca panas sejak dua bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, bantuan yang akan dihulurkan dalam tempoh masa terdekat itu nanti melibatkan beberapa buah kawasan berkeluasan seluas 515.5 hektar melibatkan pelbagai sektor.

"Ia meliputi tanaman padi (218.4 hektar); sayuran (95 hektar); buah-buahan (25 hektar) , tanaman kontan (176.8 hektar) serta kolam ternakan ikan sangkar. Pemantauan berterusan dilakukan oleh pihak Jabatan Pertanian telah dilakukan bagi membantu para petani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat negeri (HPPNNS) di Tapak Bekas Kem Paroi, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani, Datuk Hasim Rusdi dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Ibrahim Jahaya.

Mohamad berkata, kerajaan negeri melalui beberapa agensi sedang meneliti dan mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka menghadapi bencana selain penubuhan satu jawatankuasa khas untuk meneliti perkara berkenaan.

"Kerajaan negeri memberi maklumat balas mengenai petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering manakala jawatankuasa khas ini akan dapat memberikan cara terbaik untuk membantu mereka.

"Dalam masa yang sama, kita akan mencari alternatif serta kaedah bagi membantu pesawah, petani dan penternak agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Tiada catuan air di Melaka - Idris

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (dua dari kiri) menyatakan sesuatu ketika melawat di sekitar Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

ALOR GAJAH 28 Feb. - Isipadu air bersih di tiga buah empangan utama di negeri ini masih berada di tahap melepasi 60 peratus sehingga hari ini sekali gus memberi jaminan tiada catuan air akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, tiga empangan tersebut iaitu Empangan Durian Tunggal kini berada di tahap 62.5 peratus, Empangan Jus (61.8 peratus) dan Empangan Asahan sebanyak 76.1 peratus.

"Bagaimanapun jumlah bekalan air di ketiga-tiga empangan berkenaan dijangka hanya mampu bertahan sehingga 29 Mac ini jika negeri ini masih tidak menerima hujan dalam tempoh tersebut.

"Jika hujan masih tidak turun di negeri ini sepanjang tempoh tersebut, maka kerajaan negeri akan mula melaksanakan catuan air selepas tempoh berkenaan," katanya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ke Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd. Khalid Nasir.

Jelas Idris, kerajaan negeri juga berpuas hati dengan gerak kerja diambil SAMB yang mengalirkan air daripada beberapa kolam takungan air di negeri ini termasuk dari Johor.

Sementara itu kata beliau, usaha pembenihan hujan bagaimanapun masih perlu dilaksanakan bagi keperluan air untuk tumbuh-tumbuhan serta mengelak kawasan tadahan air daripada kering.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan berjimat dalam penggunaan air seharian.

Pengusaha nanas terima bantuan peralatan

Posted: 28 Feb 2014 10:43 AM PST

Sahdan Salim (tiga dari kiri) menyerahkan pam air kepada Ismail Ahmad (dua dari kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Kemarau kepada pengusaha berkelompok tanaman nanas di Jelebu, Negeri Sembilan, semalam.

JELEBU 28 Feb. - Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Jelebu, dekat sini yang mengusahakan kelompok tanaman nanas di bawah program Azam Tani menerima bantuan peralatan bernilai RM43,200 hasil sumbangan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), di sini hari ini.

Ketua Pengarahnya, Sahdan Salim berkata, sumbangan itu merupakan keprihatinan LPNM dalam membantu pengusaha tanaman nanas di pusat itu berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negara ketika ini.

"Dalam keadaan cuaca panas yang melanda negara ini, LPNM bertindak segera menyalurkan bantuan peralatan pertanian supaya tanaman nenas yang diusahakan di sini tidak terjejas.

''Antara peralatan pertanian yang disumbangkan adalah seperti pam air, pam sembur, paip poly, tong air serta sejumlah alatan lain.

"Kita berharap dengan adanya peralatan ini dapat membantu meningkatkan kualiti penanaman nanas ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Kemarau kepada pengusaha berkelompok tanaman nanas di CCRC Jelebu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah CCRC Jelebu, Ismail Ahmad Khairi dan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Setapa Yusoff.

Sementara itu, Ismail memberitahu, projek penanaman nanas secara komersial kawasan itu dijalankan di atas tanah seluas 16.2 hektar dan seramai 30 penghuni CCRC Jelebu terlibat mengusahakannya.

''Kami amat berterima kasih kepada pihak LPNM di atas keprihatinan mereka terutamanya untuk menyalurkan peralatan yang amat diperlukan ketika cuaca panas ini.

''Malah, LMNS juga amat komited untuk membantu pengusaha kerana telah menyalurkan lebih 200,000 benih nanas jenis N-36 yang dibekalkan LPNM sejak Oktober tahun lalu kepada kami," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved