Ahad, 2 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Warga emas mangsa rompak dibunuh

Posted: 02 Mar 2014 11:12 AM PST

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

WAN Din Wan Mamat, menunjukkan tempat ibu saudaranya, Wan Meriam Wan Mahmood dibunuh oleh penjenayah di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Zuharman Mohamad Nor

TUMPAT 2 Mac - Seorang wanita warga emas berusia 85 tahun ditemui mati setelah dipercayai sesak nafas kerana lehernya dijerut, manakala mulutnya disumbat dengan kain oleh penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu, di sini awal pagi ini.

Mayat, Wan Meriam Wan Mahmood ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam bilik tidur oleh cucu angkatnya, Mohd. Faizal Abdul Samad, 30, kira-kira pukul 3.30 pagi.

Mohd. Faizal berkata, beliau bergegas ke rumah itu kerana curiga selepas menerima dua panggilan telefon daripada neneknya yang tinggal bersendirian.

"Nenek saya tidak pandai membuat panggilan menggunakan telefon bimbitnya, tetapi saya terkejut tiba-tiba menerima dua panggilan daripada arwah.

"Kali pertama telefon berdering, saya tidak sempat menjawab. Namun kali kedua, tiada suara kedengaran. Saya yang curiga bergegas ke rumahnya.

"Semasa menerima panggilan, saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu dengan rakan di warung berhampiran. Rumah saya dan nenek hanya bersebelahan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Faizal, sebaik sahaja tiba, beliau melihat pintu dapur terbuka dan pemeriksaan di dalamnya berselerak, manakala mayat warga emas itu ditemui di atas katil.

"Saya mendapati terdapat kain tuala yang disumbat di dalam mulutnya, manakala sehelai lagi tuala menutup separuh mukanya. Wang tunai dan beberapa barang kemas seperti gelang dan rantai leher yang dipakai nenek pula lesap," ujarnya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharuddin Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pemeriksaan polis mendapati suspek memecah masuk rumah tersebut melalui pintu dapur.

"Mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Difahamkan, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan sesak nafas setelah gigi palsu yang dipakainya tertolak ke dalam mulut.

Wanita tumpaskan gadis cuba meragutnya

Posted: 02 Mar 2014 11:12 AM PST

KUALA LUMPUR 2 Mac - Tindakan berani seorang wanita melawan seorang peragut remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya menggagalkan cubaan suspek untuk melarikan beg tangan milik mangsa semalam.

Kejadian berlaku pukul 10.55 pagi semasa mangsa berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadika berjalan seorang diri menuju ke kereta di hadapan sebuah bank di Sri Gombak dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim berkata, mangsa kemudian dihampiri oleh suspek dan seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu meragut beg tangan yang dipegang oleh wanita itu.

"Mangsa bagaimanapun nekad melawan dengan menarik beg tangan itu semula sehingga suspek terjatuh daripada motosikal yang dibonceng.

"Anak mangsa yang berada berdekatan dan menyedari insiden itu bergegas ke lokasi dan menahan suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahim, melihat kejadian itu, penunggang motosikal tersebut berpatah balik dan cuba melanggar mangsa dan anaknya untuk menyelamatkan suspek namun gagal kerana mereka sempat mengelak.

Katanya, lelaki itu kemudian melarikan diri dengan motosikal terbabit.

"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," ujarnya dan memberitahu, polis kini memburu rakan suspek.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved