Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Polis siasat 5 syarikat keselamatan langgar syarat lesen

Posted: 07 Nov 2013 10:38 PM PST

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Sekurang-kurangnya lima syarikat kawalan keselamatan kini disiasat oleh polis kerana dipercayai melanggar syarat lesen termasuk berkaitan pengurusan senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, syarikat yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada.

"Polis juga meminta syarikat kawalan keselamatan yang ragu-ragu dengan identiti pekerja atau permit senjata api yang dimiliki oleh pekerjanya agar membuat semakan dengan polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil kepada 23 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 32 graduan Diploma Sains Siasatan yang menamatkan pengajian di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ditanya mengenai segelintir anggota dan pegawai polis yang memegang jawatan dalam syarikat kawalan keselamatan di negara ini, Khalid berkata, perkara itu tidak menjadi kesalahan jika individu terbabit sudah mendapat kebenaran daripada PDRM.

"Setakat ini tiada pegawai dan anggota PDRM yang tidak mengemukakan surat permohonan, kesemua ada permohonan dan mempunyai kebenaran. Sekiranya didapati mereka memegang sesuatu jawatan tanpa kebenaran, boleh diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu seorang remaja lelaki menghina Islam dengan kata-kata mencerca Allah dalam statusnya menerusi laman Facebook baru-baru ini, beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan.

Semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditahan di Bandar Hilir Melaka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini untuk diambil keterangan.

Remaja itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 susulan satu laporan polis diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Khalid turut menasihati ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak mereka ketika menggunakan laman sosial bagi mengelak mereka mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. - BERNAMA

Tikam di LRT: Pemandu van didakwa

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

MUHAMMAD Zamri Yusof dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh dua lelaki di hadapan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati dekat sini.

Muhammad Zamri Yusof, 26, yang memakai baju pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjawab "faham" selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Menurut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh penjual alat tulis, Lee Kah Ghee, 48, di antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, 24 Oktober lalu di hadapan Stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju dekat sini.

Pada hari dan masa sama, tertuduh didakwa membunuh seorang penuntut kolej, Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju dekat sini.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Supritendan (ASP), Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulkifli turut memohon agar Muhammad Zamri dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak bagi penilaian oleh pakar psikiatri.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan permohonan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan kes akan disebut semula pada 6 Disember ini.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, empat orang awam ditikam di Stesen LRT Taman Gombak dan berhampiran Stesen LRT Taman Melati oleh seorang pemandu van syarikat pembekal rokok.

Dalam kejadian terbabit, dua daripada mangsa yang ditikam menggunakan pisau Rambo tersebut meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah dan dikejarkan ke HKL.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved