Khamis, 7 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kampung miskin di tengah kota raya

Posted: 07 Nov 2013 05:44 AM PST

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Riduan Rizal Ahmad
& Shiddieqiin Zon

Salah seorang penduduk Kampung Tanah Jawa, Segambut Kuala Lumpur mendapatkan bekalan air harian dari air bukit.

SEPERTI zaman sebelum kemerdekaan. Begitulah gambaran pertama sebaik menyaksikan dan menjejak kaki di perkarangan Kampung Tanah Jawa, Segambut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Siapa sangka, dalam kepesatan pembangunan di tengah ibu kota yang dikelilingi dengan binaan bangunan dan rumah agam bertaraf lima bintang, terselit sebuah perkampungan yang sangat daif dan serba kekurangan.

Menjadikan laluan curam berbukit sebagai laluan masuk utama dan menggunakan air bukit sebagai sumber kegunaan harian, tidak keterlaluan untuk digambarkan perkampungan tersebut seperti di era 50-an.

Malah perkampungan berkeluasan kira-kira tiga ekar itu hanya bergantung kepada sebuah generator sebagai sumber elektrik untuk kegunaan penduduknya setiap hari.

Lebih mengejutkan, aktiviti menoreh getah, memungut dan mendapatkan hasil hutan adalah antara pekerjaan utama penduduk di perkampungan terpencil berhampiran kawasan perumahan mewah Mont Kiara, di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur itu.

Namun, bagi segelintir mereka, itulah satu-satunya sumber pendapatan yang mampu dilakukan demi menyara kehidupan keluarga dan tidak ketinggalan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak.

Seorang penoreh, Saad Yaakub, 65, berkata, walaupun mempunyai pendapatan yang tidak menentu dan tidak seberapa, dia tetap bersyukur serta tabah dengan kehidupan yang dilalui.

Berkongsi pengalaman, bapa kepada empat anak itu sebelum ini bertugas sebagai pemandu lori.

Dia mengambil keputusan berhenti kerja dan bergantung kepada pendapatan hasil daripada menoreh getah dan bekerja kampung sebagai mata pencarian utama.

Berbekalkan pendapatan sekitar RM450 sebulan, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak itu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk menampung kehidupan keluarganya dengan sekadar mampu.

Setelah berkahwin dengan Sodah Mat Wi yang merupakan penduduk asal di Kampung Tanah Jawa lebih kurang 40 tahun lalu, saya mengambil keputusan menetap di sini.

Sejak itu, saya mula melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan memungut hasil hutan untuk dijual. Dengan pendapatan yang tidak menentu, iaitu dengan anggaran RM100 hingga RM150 seminggu, saya gunakan untuk perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anak.

Apa lagi berada di ibu kota yang memerlukan kos sara hidup tinggi menambah bebanan yang terpaksa ditanggung.

Syukur anak-anak memahami dan tidak pernah merungut dengan kekurangan yang dialami," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Saad yang sehingga kini masih melakukan kerja menoreh getah dengan bantuan isterinya, anak-anak berjaya dibesarkan dan kini turut menetap di kampung tersebut.

Pertahan pusaka

Mungkin sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang tinggal di kawasan perkampungan di negeri-negeri lain untuk melakukan pekerjaan dan menghadapi situasi tersebut.

Namun, melakukan perkara yang sama di tengah-tengah kota metropolitan adalah suatu yang mengejutkan.

Tetapi bagi penduduk di kampung itu, biarpun serba kekurangan dan tersisih daripada kemajuan, mereka bertekad mempertahankannya dan tidak akan meninggalkan kediaman masing-masing.

Mereka sudah cukup selesa dalam keadaan sebegitu. Malah tidak pernah berasa malu dengan masyarakat setempat atau rakan-rakan walaupun berada di kawasan pedalaman tersebut.

Ketua penduduknya, Mahat Mohd. Tuwi, 54, berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk keluar dari Kampung Tanah Jawa.

Sebaliknya akan terus berusaha memajukan kampung tersebut demi menghargai pengorbanan pengasasnya.

Kampung ini merupakan pusaka daripada nenek moyang kami yang telah dibina sejak 1908.

Mereka itu juga dipercayai merupakan antara peneroka terawal yang mendiami kawasan Segambut ini iaitu sebelum zaman Jepun lagi.

Walaupun tidak mendapat kemudahan dan prasarana yang lengkap seperti kawasan sekitar yang lain, kami akan tetap mendiami Kampung Tanah Jawa ini sehingga ke anak cucu dan seluruh generasi kami pada masa akan datang.

Pada masa sama, kami sentiasa berusaha membangunkan perkampungan ini dengan cuba mendapatkan bekalan elektrik dan saluran air bersih daripada pihak bertanggungjawab.

Selama ini kami hanya menggunakan generator dan air bukit sebagai sumber bekalan," katanya.

Mahat mengakui, pernah ditawarkan jutaan ringgit untuk menjual tanah di kampung itu beberapa kali selain diberikan rumah di penempatan bandar, tetapi mereka menolak.

Begitu juga tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab yang pernah mencuba untuk merampas tanah di kawasan ini dengan cara kotor. Tetapi kami akan cuba mempertahankan kawasan ini," tegasnya.

Elektrik hanya

tiga jam

Mahat yang tinggal di Kampung Tanah Jawa sejak lahir berkata, bergantung kepada sebuah generator, penduduk kampung itu hanya menikmati bekalan elektrik kurang dari empat jam sehari.

Selebihnya mereka menggunakan lilin sebagai peneman kegelapan.

Malah katanya, penggunaan elektrik terpaksa dicatu oleh setiap isi rumah bagi mengelakkan terlebih guna dan mengakibatkan bekalan terputus lebih awal.

Kami terpaksa berbincang dan mencatu kegunaan elektrik masing-masing iaitu untuk kegunaan lampu sahaja pada waktu malam.

Itupun kira-kira pukul 7 malam sehingga 11 malam. Jika kegunaan lebih daripada itu, lebih cepat bekalan elektrik putus kerana kehabisan minyak diesel untuk diisi ke dalam mesin penjana elektrik tersebut.

Tambahan pula dengan keadaan yang serba kekurangan, kami tidak mampu untuk menambah minyak yang memerlukan hampir RM30 untuk sekali isian penuh," katanya.

Mahat berkata, dia dan beberapa penduduk kampung pernah mengutarakan permohonan untuk memasang kabel elektrik ke kampung tersebut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), namun gagal berikutan kekangan yang dihadapi.

Pihak TNB mengatakan kami perlu meminta keizinan daripada pemilik tanah yang berada di sekeliling kawasan kampung ini kerana proses pemasangan kabel elektrik terpaksa melalui kawasan tersebut untuk pemasangan tiang elektrik. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos pemasangan yang perlu dibayar oleh setiap daripada kami.

Maka buat masa ini, kami mengambil keputusan meneruskan kehidupan seperti sedia ada.

Namun jika ada badan yang ingin membiayai bekalan elektrik, kami sangat berbesar hati untuk menerimanya," katanya.

Deepavali yang suram

Posted: 07 Nov 2013 05:44 AM PST

TAMILSELVAM dan isteri, Maiyeatah Krishnan risau dengan masa depan anaknya, Suresh Kumaran yang menghidap cerebal palsy.

TAMILSELVAM dan isteri, Maiyeatah Krishnan, 39, bersama empat orang anak yang masing-masing berusia 13, 11, 10 dan lima tahun hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah pangsapuri kos sederhana di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Menyewa rumah berkenaan dengan bayaran RM300 sebulan, Tamilselvam juga sebenarnya sudah dua tahun menjadi penganggur akibat kecederaan kaki yang dialaminya.

Kemalangan motosikal yang dialami menyebabkan kaki Tamilselvam cacat dan memerlukan tongkat untuk berjalan.

Saya bukan tidak mencuba mencari kerja. Saya pernah pergi temuduga untuk jawatan pengawal keselamatan tetapi apabila mereka melihat keadaan saya yang cacat kaki dan sukar bergerak, niat untuk menawarkan kerja terbantut

Sebab itu tugas mencari nafkah diserahkan kepada isteri saya, Maiyeatah yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM700 sebulan," jelasnya.

Tamilselvam memberitahu, pendapatan yang tidak seberapa itu bukan sahaja digunakan untuk keluarga, anak-anak yang sedang belajar dan menyara ibu yang sudah tua, malah menanggung kos anak keduanya yang menghidap cerebal palsy (CP).

Suresh Kumaran, anak kedua pasangan itu merupakan anak istimewa yang mengalami CP sejak umur tiga tahun akibat demam panas.

Akibatnya, Suresh tidak boleh bercakap, berjalan atau bergerak sendiri. Makan pun perlu disuap dan semuanya diuruskan oleh pasangan itu.

Anak saya ini dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas di Jalan Enam di sini, Setiap pagi sebelum pergi kerja, isteri saya akan menghantar Suresh ke sekolah dan balik pukul 11 pagi.

Suresh yang tidak boleh makan sendiri jika tidak disuap. Dia hanya minum susu khas menggunakan botol seperti kanak-kanak umur empat tahun ke bawah," jelasnya.

Tamilselvam yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, menggunakan wang itu untuk Suresh sepenuhnya termasuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.

Isterinya juga tidak begitu sihat kerana menghidap lelah yang agak kronik dan kerjanya sebagai tukang cuci hanya bersifat sementara kerana kontraknya bakal tamat pada Disember ini.

Jelas Tamilselvam, ada masanya Suresh perlu membuat rawatan susulan di Hospital Kajang yang memerlukan mereka menyewa teksi dengan bayaran perjalanan pergi dan balik sebanyak RM30.

Bagi kami tambang sebanyak itu agak membebankan memandangkan kami pun bukannya ada duit yang cukup. Duit perbelanjaan harian pun kadangkala kehabisan.

Seperti ibu bapa lain, kami juga ingin memberi yang terbaik untuk anak-anak namun ini sahaja yang kami terdaya. Kami paling risau pada Suresh kerana sekiranya kami tiada nanti siapalah yang akan menjaganya dengan keadaan dirinya yang begitu," kata Tamilselvam menunjukkan kebimbangannya mengenai nasib dan masa depan Suresh.

Dalam pada itu Tamilselvam juga memberitahu, kehidupannya yang serba kekurangan menyebabkan Deepavali yang baru berlalu disambut seperti hari-hari biasa.

Kami hanya duduk di rumah sahaja dan tidak ke mana-mana. Sekiranya ada saudara-mara yang sudi hadir ke rumah kami, mereka akan datang ke sini.

Tetapi kami tidak ke mana-mana kerana kami khuatir ada ke saudara-mara yang sudi menerima kami dan anak-anak macam ini ke rumah mereka.

Saya takut hanya mengganggu mereka sahaja," jelasnya jujur.

Tamilselvam boleh dihubungi di talian 013-3680042 sekiranya ada dalam kalangan pembaca yang ingin menghulurkan bantuan.

- ROSMAH DAIN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved