Khamis, 13 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk dakwa terpedaya

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

SEORANG penduduk, Mohd. Azmi Abdullah menunjukkan kesan retak di bawah jambatan di Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam. - UTUSAN/QAMARUL RIZAL

BANGI 12 Mac - Memiliki rumah sendiri adalah antara perkara yang menjadi idaman setiap individu. Apatah lagi jika rumah yang didiami itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, sekolah dan sebagainya.

Malangnya, ia tidak berlaku kepada pembeli rumah teres di Jalan 4/9 M hingga Z di Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini apabila banyak masalah timbul selepas kira-kira dua tahun mendiami rumah teres itu.

Daripada isu kemudahan infrastruktur, keselamatan sehinggalah kebersihan, banyak yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemiliknya,

Penduduk mendakwa seolah-olah ditipu pemaju yang menjanjikan pelbagai kemudahan termasuk menyediakan laluan untuk kegunaan mereka menghantar anak ke sekolah berhampiran.

Sebaliknya, dakwa penduduk setelah dua tahun menetap di kawasan perumahan itu semua yang dijanjikan tidak terlaksana.

Keadaan itu memaksa ibu bapa menghabiskan banyak masa dan tenaga melalui jalan sejauh kira-kira 10 kilometer untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Memandangkan tidak ada pilihan lain serta mahu menjimatkan masa dan tenaga, penduduk terpaksa meredah tanah lapang berhampiran sebuah surau di kawasan itu untuk menuju ke sekolah anak mereka.

Utusan Malaysia turut dimaklumkan oleh penduduk, perancangan membina laluan menghubungkan kawasan perumahan itu ke sekolah itu difahamkan mendapat tentangan penduduk di taman berhampiran dan keadaan itu sekali gus merumitkan lagi keadaan.

Tinjauan Utusan Malaysia ke jalan masuk dan keluar penduduk kawasan perumahan ke jalan utama juga didapati tidak selamat.

Ini berikutan jambatan yang menghubungkan kawasan perumahan di situ didapati mengalami keretakan dan dikhuatiri boleh runtuh pada bila-bila masa.

Lebih mengejutkan, penduduk turut mendakwa kediaman mereka juga retak ekoran masalah tanah mendap.

Kata penduduk, sehingga hari ini tiada jaminan keselamatan diberikan oleh pemaju berhubung masalah berkenaan.

Malah, difahamkan pihak pemaju hanya bertanggungjawab terhadap kawasan perumahan itu sehingga bulan Mei ini.

Penduduk turut melahirkan rasa sedih kerana tidak tahu hendak mengadu kepada siapa.

Ini kerana pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang yang sepatutnya membantu mereka tidak menunjukkan sikap bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu itu.

Selesaikan segera masalah kami - penduduk

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

MOHD. Hanizal Mohd. Rahim menunjukkan kesan retak akibat tanah mendap di rumahnya semalam.

BANGI 12 Mac - Rata-rata penduduk di Jalan 4/9 M hingga Z, Taman Perumahan Kenanga, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini mahukan tindakan segera diambil pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan mereka di kawasan perumahan tersebut.

Ini terutama isu pembinaan jalan penghubung di kawasan perumahan mereka ke sekolah berhampiran dan masalah rumah retak akibat tanah mendap.

Penduduk, Khairul Azizi Abdul Rahman, 32, berkata, pemaju perlu menunaikan janji mereka kepada pembeli termasuk menyediakan laluan yang menghubungkan kawasan perumahan di situ ke sekolah berhampiran.

Menurutnya, apa yang dikesalkan sehingga ke hari ini tiada sebarang usaha-usaha dilakukan pihak bertanggungjawab demi keselesaaan penduduk di taman berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Abdul Rahim, 38, turut melahirkan rasa kesal terhadap pemaju mahupun pihak berkuasa tempatan yang dilihat seolah-olah memandangkan masalah itu hanya sebelah mata.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ada mengadakan perjumpaan bersama penduduk berhubung isu ini baru-baru ini, namun MPKj memberi masa sebulan untuk mengkaji masalah itu berikutan terdapat bantahan daripada jiran di Jalan A/9 A hingga G berhubung pembinaan jalan di situ,"katanya.

Rakannya, Mohd. Azmi Abdullah, 35, pula memberitahu, dia pernah terjatuh dari motosikal ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah melalui jalan di situ.

Malam sebelumnya hujan lebat, lalu mengakibatkan permukaan tanah itu menjadi becak serta menyukarkan saya mengawal motosikal serta terjatuh bersama anak.

Segala aduan sudahpun dibuat kepada MPKj, terutama pembinaan tembok oleh penduduk berhampiran bagi menghalang kami menggunakan laluan di situ, namun tiada tindakan yang diambil sehingga hari ini," jelasnya.

Turut meluahkan perasaan sama Jamilah Kassim, 50.

Katanya, retakan bahagian dinding dan longkang rumahnya akibat tanah mendap amat membimbangkan.

Saya risaukan keselamatan kami sekeluarga kerana jika tiada sebarang tindakan diambil pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Kata Jamilah, pihak pemaju pernah datang untuk kerja-kerja pembaikan, namun sekadar menampal dinding tersebut.

Jirannya, Mohd. Hanizal Mohd. Rahim, 33, yang turut mengalami masalah serupa melahirkan rasa kesal kerana tindakan yang diambil pihak pemaju seolah-olah melepaskan batu di tangga.

Pintu dapur saya pernah terbuka selama seminggu kerana tidak boleh ditutup rapat dan dikunci akibat tanah mendap yang hanya dikesan setelah pulang dari kampung.

Kerja-kerja tampalan yang dilakukan pemaju hanya bertahan sementara apabila keretakan kembali berulang," katanya.

Syabas laksana kerja baik pulih rumah pam

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kerja-kerja baik pulih paip bocor di rumah Pam Air Taman Pinggiran Delima, Batu 14, Hulu Langat giat dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, sambungan bypass dibuat untuk sementara waktu bagi memastikan penduduk yang mendapat bekalan air dari Tangki Menara Pinggiran Delima menerima bekalan secara terus menerusi Kolam Air Taman Wawasan.

Katanya, ia sekali gus mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk sekitar.

Disebabkan masih terdapat sebilangan penduduk di Taman Pinggiran Delima mengalami masalah tekanan air rendah, Syabas telah membuat satu lagi sambungan bypass terus kepada sistem pengepaman di Taman Pinggiran Delima dan kerja-kerja ini telah siap dilakukan sejak 1 Mac lalu.

Hasil pemantauan juga mendapati penduduk di kawasan Taman Pinggiran Delima telah mula mendapat bekalan air seperti biasa dan tiada aduan yang diterima daripada penduduk di kawasan itu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia bulan lalu berhubung masalah gangguan air yang dihadapi penduduk Pangsapuri Taman Pinggiran Delima sejak Disember tahun lalu.

Penduduk mendakwa, gangguan air itu bertambah teruk sejak krisis bekalan air melanda beberapa kawasan di Lembah Klang.

Menurut Priscilla, kawasan Taman Pinggiran Delima memperoleh bekalan air menerusi Kolam Air Menara Pinggiran Delima melalui Tangki Sedut Taman Pinggiran Delima.

Pada akhir Januari lalu, Syabas telah mengesan berlakunya kebocoran paip di kedalaman tujuh meter antara bangunan rumah pam dan kolam sedut berkenaan.

Ini menyebabkan bekalan air kepada pengguna semasa operasi rumah pam dan kolam sedutan ini terpaksa dihentikan sementara waktu bagi membolehkan Syabas menyiasat punca kebocoran yang berlaku," jelasnya.

Katanya, kebocoran paip yang terlalu dalam dan lokasi antara rumah pam dan kolam sedut yang agak dekat telah menyukarkan lagi kerja-kerja pembaikan kebocoran berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved