Khamis, 13 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Elak pembakaran terbuka

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
CUACA panas dan kering yang melanda negara sekarang dikenal pasti antara punca kawasan hutan dan belukar mudah terbakar.

Kebakaran yang berlaku, khususnya di kawasan bertanah gambut di negeri ini semakin berleluasa seperti di Rompin dan Kuantan yang melibatkan kawasan Penor, Gebeng dan Indera Sempurna.

Tanpa perbuatan manusia sekalipun, keadaan cuaca yang terlalu panas boleh mencetuskan kebakaran belukar dan hutan.

Jadi, orang ramai diminta supaya tidak membuat pembakaran terbuka dan menghindari perbuatan yang boleh menyebabkan kebakaran ketika cuaca panas dan kering melanda negara sekarang.

Kerjasama orang ramai perlu kerana dalam keadaan sekarang, kawasan kering seperti belukar dan lalang begitu mudah terbakar.

Hanya dengan pembakaran kecil sekalipun, api pasti mudah merebak disebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering ketika ini.

Kita juga dapat melihat hampir setiap hari ada sahaja kenderaan bomba yang bergegas ke sana sini bagi memadam kebakaran yang berlaku.

Jika kecil, pasti boleh dipadam dalam masa yang singkat, tetapi jika membabitkan hutan yang besar pasti memakan masa berhari-hari.

Kebakaran dalam cuaca panas dan kering kini perlu dielakkan, ini kerana kita di seluruh negara menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Dalam pada itu, kesan daripada kebakaran juga boleh menyebabkan berlaku jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Sekarang pun, jika berada di Kuantan dan kawasan sekitarnya bau asap ekoran kebakaran yang berlaku terlalu kuat sehingga boleh mengganggu pernafasan.

Jadi, marilah bersama-sama mengelakkan pembakaran terbuka dan kepada mereka yang menghisap rokok janganlah membuang putung rokok di merata-rata.

NIZA,

Kuantan

Elak pembukaan penempatan setinggan di Jengka

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
BANGUNAN kedai di Jengka Street sudah dibina lebih empat tahun lepas dikhabarkan khas untuk penghuni setinggan Matau sebagai pelan untuk mereka berpindah di kawasan baharu yang lebih selamat dan bersih.

Saya sering berulang alik melalui jalan ini setiap hari tertanya-tanya status premis kedai yang siap dibina itu tidak pernah dibuka sedangkan permintaan pengguna khususnya terhadap kedai makan semakin bertambah.

Perhatian dan layanan kerajaan terhadap setinggan Matau agak lebih daripada biasa kerana mereka turut ditawarkan rumah di Jengka Impian 1 tetapi tidak semua mahu berpindah dan masih kekal menetap di Matau.

Mereka berkeras tidak mahu berpindah kecuali kerajaan membayar wang sagu hati RM20,000 sekeluarga tetapi masih ada yang menuntut bayaran lebih RM20,000 tanpa malu dan mengambil kira status mereka selaku penghuni kawasan tanah yang tidak disahkan kerajaan.

Premis kedai di Jengka Street terbiar kerana penghuni Matau yang terpilih berniaga di situ enggan memulakan perniagaan walaupun Majlis Daerah Maran (MDM) memberi insentif tanpa bayaran sewa selama tiga tahun.

Bagi mengelakkan pembaziran pihak MDM diminta segera menawarkan kepada peniaga lain yang lebih berwibawa dan berminat berniaga di kawasan Jengka Street yang semakin menjadi tumpuan setiap pagi Sabtu.

Bangunan rumah kedai lebih 20 buah turut disediakan surau dan tandas yang selesa sangat sesuai sebagai medan selera yang baharu di Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk tumpuan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang dan masyarakat Felda.

Kerajaan telah mengambil masa terlalu lama melayani kerenah penduduk Matau menyebabkan projek pembangunan di tapak Matau gagal dilaksanakan. Kebaikan kerajaan pula hanya dipermainkan berdasarkan rekod pilihan raya kawasan ini merupakan penyokong kuat pembangkang.

Pihak berkuasa juga diharap turun padang memantau ada bekas penghuni Matau membina rumah di kawasan lain berhampiran pasar borong Jengka jika tidak dibanteras awal akan wujud Matau kedua di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

ANAK MAT ULAT BULU

Jengka

Tingkatkan promosi TMM 2014

Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT

Saudara Pengarang,
Saya rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang dilancarkan sejak tahun lepas antara objektif untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Umum mengetahui bahawa sektor pelancongan amat penting kepada negeri Pahang kerana ia dapat menjana ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Jika pendekatan kempen dan promosi berada di landasan betul, sudah tentu dapat menepati sasaran kerajaan negeri kerana Pahang bertuah dianugerahkan pelbagai tarikan yang tiada ada di negeri lain.

Namun terdapat kebimbangan rangka promosi yang tidak menyeluruh apabila tumpuan pelancong masih terarah kepada kawasan tarikan sedia ada.

Sebagai contohnya pusat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan. Berdasar maklum balas pengusaha hospitaliti dan penduduk tempatan, nampaknya impak yang diharapkan masih belum berada di kemuncak.

Saya juga ingin menyentuh masih wujud kedinginan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap usaha merancakkan kempen TMM 2014 tanpa memaparkan elemen yang boleh menarik minat pengunjung termasuk kebersihan dan keceriaan.

Sikap acuh dan tidak acuh pihak berwajib membantu kempen TMM 2014 agak menyukarkan sasaran kerajaan untuk mencapai kehadiran lebih ramai pelawat.

Kelemahan elemen komunikasi juga boleh dilihat apabila persembahan laman web pusat pelancongan dan hotel masih memaparkan maklumat yang lama dan tidak dikemas kini dengan gambar yang pelbagai.

Saya berpendapat untuk mencapai apa yang dihajati bukanlah perkara mudah. Banyak cabaran dihadapi dalam sektor pelancongan namun perkara itu tetap bukan suatu yang mustahil.

Sehubungan itu, kita jangan mensia-siakan aset yang boleh menjadi tarikan pelawat dan pada masa yang sama memelihara keindahan alam sekitar, monumen sejarah dan mengkomersialkan bahan budaya dan kesenian menerusi perspektif yang kontemporari bagi menghasilkan pulangan yang berbaloi.

MAT VAGABOND,

Raub, Pahang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved