Khamis, 13 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Malaysia-Mauritius saling mencontohi

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

Zulkiflee Bakar

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed (kiri) melawat bilik pameran dan jualan Proton dan Perodua yang terletak bersebelahan di Pailles, Mauritius. - BERNAMA

PADA Selasa lalu, hampir semua jalan utama di Port Loius, Mauritius dipasang bendera negara itu dan Jalur Gemilang. Turut dipasang poster wajah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sememangnya kehadiran Perdana Menteri untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari yang sepatutnya bermula pada Selasa lalu amat dinanti-nantikan oleh kerajaan Mauritius di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Navinchandra Ramgoolam.

Lawatan itu dianggap penting kerana ia bukan sahaja akan mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tetapi juga sebagai penghormatan kepada Malaysia yang dijemput untuk menjadi tetamu kehormat pada upacara sambutan ulang tahun ke-46 kemerdekaan Mauritius pada Rabu lalu.

Bagaimanapun Najib terpaksa membuat keputusan menangguhkan lawatan tersebut berikutan kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Walaupun persiapan rapi sudah dibuat oleh kerajaan Mauritius namun mereka memahami situasi kerajaan Malaysia yang menugaskan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mewakili Perdana Menteri bagi meneruskan lawatan yang sudah lama dirancang.

Sudah pastilah peristiwa kehilangan pesawat tersebut turut menjadi perhatian kerajaan Mauritius yang melahirkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku. Navinchandra yang menerima kunjungan hormat Mustapa berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dijalankan akan berjaya.

Mustapa meneruskan misi Perdana Menteri untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang politik dan ekonomi. Tambahan pula, Mauritius sememangnya mengagumi kejayaan Malaysia khususnya dalam aspek kerjasama antara kerajaan dan swasta.

Bagi memastikan impian mereka tercapai, Mauritius bersedia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) tidak lama lagi.

Draf MoU itu yang sedang diteliti oleh kerajaan Mauritius akan membuka laluan kepada penubuhan pusat kerjasama antara MIGHT dan Mauritius.

Penubuhan pusat ini amat penting kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada Mauritius untuk mencontohi kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi juga membuka ruang kepada Malaysia meningkatkan pelaburan dan menambahkan nilai dagangan dengan Mauritius yang ketika ini dianggap rendah.

Berikutan itu, misi lawatan Perdana Menteri yang diwakili oleh Mustapa turut disertai oleh beberapa individu yang menjadi peneraju kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan di Malaysia.

Antaranya Naib Presiden Eksekutif Perbendaharaan dan Pasaran Modal Bank Muamalat Malaysia Berhad, Adi Asri Baharom, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Puri Holdings Berhad, Tan Sri Tee Hock Seng dan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd.Noor.

Kehadiran mereka boleh dijadikan isyarat betapa seriusnya hasrat Malaysia untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan di Mauritius - salah sebuah negara yang paling kaya dan maju di benua Afrika.

Dalam bidang politik pula, jaminan yang diberikan oleh Navinchandra bahawa Mauritius bukan sahaja akan menyokong pencalonan Malaysia sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 tetapi juga melobi negara-negara lain termasuk Eropah, sudah pastilah menggembirakan Malaysia.

Ketika ini negara anggota ASEAN dan Asia Pasifik sudah menyatakan kesediaan menyokong Malaysia bagi tujuan itu.

Selain itu, dalam bidang politik juga salah satu perkara yang boleh dicontohi oleh ahli-ahli politik Malaysia khususnya pakatan pembangkang ialah bagaimana kerajaan Mauritius mampu mentadbir dengan tenang dan aman untuk memajukan negara itu walaupun hanya mempunyai kelebihan lima kerusi sahaja di Parlimen.

Penulis diberitahu, keadaan itu berlaku kerana parti-parti pembangkang di Mauritius tidak mempolitikkan segala-galanya demi meraih sokongan rakyat. Apa yang mereka lakukan ialah membentangkan dasar dan perancangan masing-masing apabila pilihan raya umum berlangsung dan bukannya mahu berpolitik sepanjang masa seperti mana pakatan pembangkang di negara kita.

Dalam bidang pendidikan pula, Malaysia sememangnya menjadi tumpuan pelajar Mauritius untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) namun mereka menghadapi masalah dari segi permohonan visa.

Isu ini dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Mauritius termasuk Presidennya, Rajkeswar Purryag yang mengadakan pertemuan dengan Mustapa dan ia sekali gus menunjukkan kerajaan Mauritius mahu ia diselesaikan segera memandangkan mereka melihat Malaysia mempunyai IPT yang terkenal di seluruh dunia .

Dalam berhadapan dengan keluhan Mauritius ini, Mustapa memberi jaminan Malaysia akan berusaha menyelesaikan masalah itu memandangkan Malaysia mahu menjadi hab pendidikan.

Saya akan mengetengahkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan tetapi dalam masa yang sama memahami bidang tugas Jabatan Imigresen Malaysia yang mahu memastikan hanya warga asing yang ingin menjadi pelajar tulen sahaja mendapat visa melanjutkan pelajaran di negara kita," katanya kepada wartawan Malaysia.

Kesimpulannya, biarpun lawatan Perdana Menteri diwakili Mustapa tetapi misi tetap berjaya kerana bak kata seorang ahli perniagaan Mauritius, sesungguhnya Malaysia mempunyai pasukan jurujual yang hebat bermula daripada Perdana Menteri hinggalah kepada pegawai-pegawai khususnya Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta MIGHT.

Sememangnya kekaguman negara asing terhadap Malaysia dan mahu menjadikan negara kita sebagai model bukanlah luar biasa tetapi yang luar biasanya apabila ada dalam kalangan rakyat Malaysia di tanah air tidak tahu bersyukur dengan apa yang dinikmati akibat terpengaruh dengan politik merebut kekuasaan.

Terus berdoa dan pasrah

Posted: 13 Mar 2014 11:41 AM PDT

Mohd Shauki Abd. Majid

Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mengaminkan doa selepas solat hajat bagi memohon keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang masih belum ditemui selepas dilaporkan hilang sejak awal pagi Sabtu lalu.

KEHILANGAN pesawat Malaysia Airlines (MH370) pada awal pagi Sabtu lalu merupakan musibah antarabangsa. Musibah itu tidak hanya dirasakan oleh rakyat negara ini tetapi semua komuniti manusia tanpa sempadan geografi dan batasan nasionalisme.

Kita semua tenggelam dalam arus kesedihan dan kerisauan akan nasib semua penumpang pesawat kebanggaan negara. Atas nama solidariti kemanusiaan, semua rakyat berbilang agama dengan caranya masing-masing berdoa untuk keselamatan para penumpang semoga tragedi dapat dielakkan dan pesawat segera dapat ditemukan.

Kejadian ini telah membimbing kita untuk kembali mengingat Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa. Oleh itu, kita dapat melihat serangkaian ritual keagamaan telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan di banyak tempat apabila keberadaan pesawat MAS masih dalam misteri meskipun misi operasi pencarian memasuki hari keenam.

Sesungguhnya musibah, kesedihan, dugaan dan ujian merupakan manifestasi bentuk kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Ia merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah. Kerana itu, bersyukurlah apabila musibah datang kerana Allah sedang menyayanginya. Perkara ini tegas dinyatakan Allah dalam firmannya: Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (al-Baqarah:154).

Namun, nilai keimanan kita dikira sebagai berjaya sekiranya kita lulus daripada dugaan yang diberikan Allah apabila kita menerimanya dengan bersabar, bertawakal dan qanaah menerima ketentuan Allah. Namun, limpahan rahmat Allah tidak diberikan kepada kita sekiranya kita tidak menerima musibah itu dengan menghamun, memaki dan menyalahkan ketentuan qada dan qadar. Tiada seorang pun manusia dan apa-apa kuasa lain dapat menolak ketentuan itu.

Justeru tatkala seorang Muslim tabah menerima musibah, ia dinilai oleh Allah dengan penilaian yang tinggi. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, makin besar pahala yang akan diterimanya. Dalam menghadapi sesuatu musibah, kesabaran merupakan kunci utama yang dikurniakan Allah kepada umat manusia bagi menghadapi dugaan ini. Dalam banyak ayat al-Quran, sabar sering dirangkaikan dengan solat agar mereka yang ditimpa musibah memperoleh pertolongan Allah.

Manusia adalah makhluk yang memiliki naluri cemas dan mengharap. Kita sering memerlukan sandaran, lebih-lebih lagi saat cemas menimpa diri. Kenyataan sehari-hari membuktikan bahawa bersandar kepada makhluk meskipun betapa kuat kuasanya, ia seringkali tidak membuahkan hasil. Yang mampu memberi hasil hanyalah Allah semata-mata.

Menghadapi kebuntuan pencarian pesawat MAS ini, tidak ada cara lain selain kita berserah diri dan mengembalikan segala perkara kepada Allah. Dengan situasi yang diburukkan dengan semakin banyaknya spekulasi oleh pelbagai pihak, jalan satu-satunya yang kita perlukan saat ini adalah semakin memperhebat doa, munajat dan solat hajat. Tentu saja, kita tidak meminggirkan begitu sahaja usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa untuk terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.

Orang yang beriman sering berdoa dengan disertai usaha. Dia sedar bahawa usahanya akan sia-sia jika tiada perkenan dan izin Allah. Begitu juga doanya tidak akan dimakbulkan tanpa ada usaha daripada dirinya. Oleh itu, usaha sahaja tidak mencukupi tanpa penyertaan diri kepada Allah dan doa sahaja juga tidak cukup tanpa adanya usaha.

Doa adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.

Antara lain firman Allah: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas" (Surah al-Araf ayat 55).

Begitulah dengan para Rasul dan Nabi memberi kesaksian sudah menemui cahaya melalui doa-doa dan tidak mungkin mereka hidup tanpa itu. Dan kini berjuta-juta manusia menemukan satu-satunya kepuasan hidup dalam doa dan sembahyang.

Berdoalah berulang-ulang dan jangan cepat merasa tidak dimakbulkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Doa kamu akan dimakbulkan selagi tidak tergesa-gesa. Lalu ada yang berkata: Saya sudah berdoa tetapi belum juga dipenuhi." Jawab Nabi: Jika engkau berdoa, berdoalah sekerap mungkin. Engkau berdoa kepada Dzat yang mulia. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Doa Nabi Ayub a.s yang didatangi pelbagai dugaan, sangat menarik dihayati. Ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya, Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan." Perhatikanlah bagaimana beliau tidak menyatakan bahawa yang menjadikannya sakit dan ditimpa pelbagai cubaan adalah Allah, tetapi syaitan. Sebabnya kerana sangat tidak wajar menisbahkan keburukan kepada Allah.

Kita patut mencontohi kecekalan Nabi Yunus ketika berdepan situasi genting pada saat dirinya dimakan ikan gergasi. Satu cerita nubuwwah yang begitu popular dalam kalangan umat Islam termasuk di kalangan kanak-kanak. Nabi Yunus hanya pasrah dan berdoa tiada hentinya kepada Allah untuk keselamatannya. Kita juga patut meneladani kekentalan mental Nabi Zakaria ketika tidak pernah putus asa berdoa untuk diberi keturunan.

Kedua cerita Nabi itu memberi pengajaran kepada kita agar tidak cepat menyerah dan putus asa terhadap situasi buruk yang berlaku kepada kita.

Harapan dan ketakutan adalah dua entiti yang menggambarkan diri kita. Kita mempunyai pilihan untuk memilih salah satunya. Jika kita merasai ketakutan dan kesedihan, bermakna kita telah menciptakan gambaran penderitaan dalam fikiran kita. Gambaran itu akan mempengaruhi keyakinan bahawa kita tidak berdaya, lemah, menyedihkan dan mudah putus asa sehingga akhirnya perkara buruk segera terjadi.

Tetapi, sekiranya kita melatih fikiran yang positif dan optimistik, maka kita tengah membentuk masa depan yang baik. Sebagai contoh, ketika kita menghadapi kesulitan, maka kita perlu berfikir Allah bersamaku dan Dia memiliki kekuatan yang tidak terbatas. Allah akan mengubah segala sesuatu dengan cara yang terbaik kepada kita". Ini sesuai dengan firman Allah: Dan siapakah yang berputus asa dari rahmat Tuhannya kecuali orang yang sesat?" (Surah al-Hijr, ayat 56).

Suatu hal luar biasa yang hanya terjadi sesekali, kita jadikan ia sebagai petanda-petanda daripada Allah. Akan tetapi, apabila itu terjadi berulang-kali, kita lupa pula menjadikan sebagai petanda ataupun petunjuk yang seharusnya menjadikan kita sebagai manusia yang dikasih-Nya.

Tidak dapat ditolak oleh kewarasan akal bahawa pada hakikatnya, segala sesuatu adalah tanda-tanda daripada-Nya dan tanda-tanda kebesaran serta kekuasaan-Nya.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved