Jumaat, 4 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mengangkat ekonomi orang Melayu

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh NURUL ANUAR KARI
rencana@utusan.com.my

Abdul Rahim Tamby Chik

PENGUMUMAN Dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera merupakan kemuncak usaha kerajaan mengangkat kemampuan golongan pribumi agar dapat menikmati kekayaan tanah air mereka dengan lebih saksama.

Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar pertumbuhan negara mahupun Model Ekonomi Baharu (MBE) telah digubal dan dilaksanakan, dasar pemerkasaan ini memberi penekanan strategik dan bersejarah yang menunjukkan azam kerajaan dan keberanian 'CEO' negara.

Ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini juga membawa bersama harapan tinggi masyarakat bumiputera agar pelaksanaannya dapat mengurangkan jurang pendapatan, jurang sektor kerjaya dan jurang sektor ekonomi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bagi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik, pengisytiharan dasar baharu itu pasti dapat mengangkat ekonomi orang Melayu ke tahap kejayaan lebih tinggi berbanding dahulu.

"Dahulu agenda ekonomi bumiputera cuma dasar biasa di peringkat negeri dan Persekutuan, tetapi hasrat pemerkasaan ini menunjukkan kerajaan lebih serius dan tidak segan silu lagi untuk menjadikannya dasar nasional yang penting.

"Kita mahu lihat orang Melayu dan bumiputera yang mewakili 67 peratus ini memberi respons (positif), bukan lagi duduk tidak berubah. Paradigma kita, sikap dan sistem nilai-nilai kita, nak lihat generasi muda kita terangsang untuk turut serta, baru ada makna," tegasnya.

Dasar baharu itu antara lain dikatakan memperluas kemudahan sedia ada, menubuh kembali unit-unit penyertaan bumiputera, geran fasilitasi, dana pembiayaan mikro dan mengangkat Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bertaraf menteri.

Teraju juga akan memantau agensi-agensi terbabit termasuk Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) di samping menyediakan pelan tindakan ke arah kejayaan ekonomi bumiputera dan mencipta lebih ramai usahawan-usahawan Melayu.

"Sedih melihat 18 ke 20 peratus sahaja syarikat Melayu yang ditubuhkan bertahan selepas 3 ke 4 tahun. Kita berharap, dengan pendekatan lebih teliti dan rasional dapat kurangkan kegagalan ini.

"Bukannya boleh terus berjaya dalam sekelip mata, perlu lihat pelan tindakan dengan mencipta lebih ramai usahawan bumiputera daripada kalangan yang sedia ada dan generasi muda di universiti-universiti kita," katanya.

Beliau juga berpendapat pelan tindakan itu dapat mengenalpasti jumlah usahawan yang diperlukan bagi membolehkan syarikat bumiputera bersaing dan ambil bahagian dalam pembahagian semula kekayaan ekonomi negara.

Tambahnya, kemampuan bersaing itu seterusnya akan membawa kepada keadilan dan kesaksamaan untuk kaum bumiputera menikmati kehidupan yang baik di tanah air sendiri, dikongsi dengan pelbagai kaum dan bukan dimonopoli sesetengah pihak sahaja.

"Dasar pemerkasaan ini kemuncak kepada segala perjuangan ekonomi bumiputera dahulu dan juga kesan daripada keputusan PRU13.

"Tiada siapa boleh mempersoal usaha Najib ini dan mudah-mudahan hasrat beliau melihat kejayaan orang Melayu menjelang PRU14 akan menjadi realiti," jelasnya.

Selain itu, Abdul Rahim turut berharap Perdana Menteri lebih peka terhadap usaha melihat syarikat milik kerajaan (GLC) diterajui kepimpinan yang betul dan tepat, khususnya dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Beliau berharap pertimbangan turut diberikan kepada golongan profesional yang berkelayakan dalam UMNO bagi mengimbangi pesara kakitangan awam yang dipilih menjadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah GLC.

"Daripada 3.4 juta ahli UMNO, ramai tokoh dan personaliti profesional yang berkelayakan dan tidak kurang hebatnya. Golongan ini juga mempunyai penghayatan perjuangan UMNO untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air kita.

"Selepas pemilihan kali ini, perlu ada usaha melihat golongan profesional sebagai aset parti dalam perjuangan ekonomi bangsa, merekalah wira-wira yang boleh menerajui agensi dan GLC," katanya.

Berhubung pemilihan UMNO, beliau melihat peningkatan mendadak jumlah pengundi daripada 2,500 orang kepada 146,000 merupakan perkembangan paling sihat dalam sistem Demokrasi Berparlimen negara.

Beliau yakin setiap seorang daripada pemimpin akar umbi UMNO itu mampu membuat keputusan terbaik selepas menilai reputasi, kredibiliti dan rekod calon yang baik berbanding calon yang mencari tempat dan jawatan sahaja sehingga gagal melaksanakan perjuangan yang diharapkan ahli-ahli parti.

"Peningkatan bilangan pengundi juga dapat mengurangkan politik wang khususnya bagi mereka yang mencari habuan, jawatan, projek dan pangkat. Jika dahulu 2,500 mungkin boleh 'pau' semua tapi sekarang akan perlu hampir RM15 juta jika mahu beri seorang RM100.

"Secara berperingkat kita dapat mengikis hasrat golongan tersebut, kembalikan kesedaran untuk berjuang bagi mendapatkan keredaan Allah, bagi mempertahan agama kita, bangsa dan tanah air kita, bukan perjuangan mencari kebendaan," tegasnya.

Walaupun umum ada termakan persepsi serong terhadap UMNO, Abdul Rahim yakin persepsi terhadap nilai-nilai parti boleh diubah dengan mengembalikan UMNO kepada asas perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berharap ahli-ahli UMNO tanpa perlu menunggu PRU14 benar-benar turun menolong dan menjuarai rakyat, perjuangkan untung nasib, kesusahan, penderitaan dan kesempitan rakyat.

"Hari ini, kebanyakannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara, makin kuat mereka membela untung nasib orang Melayu, makin terpinggir UMNO dan makin kecil suaranya.

"Ini amat bahaya, UMNO perlu bangun semula. Turun ke bawah, bekerjasama dengan NGO ataupun pegawai kerajaan untuk membela rakyat. Biar pejabat UMNO lebih aktif, lebih hebat daripada pejabat wakil rakyat dan pejabat kerajaan, sibuk nak tolong rakyat," ujarnya.

Beliau berharap isu-isu masyarakat setempat menjadi agenda utama mesyuarat bulanan bahagian dan cawangan sebagai bukti warga UMNO prihatin kepada masalah rakyat dan bukannya mengejar pangkat atau harta.

"Untung nasib nelayan, guru, pekebun kecil, ibu tunggal, penjaja-penjaja kecil dan lain-lain perlu jadi agenda setiap bulan. Transformasi jentera UMNO, turun lebih hebat daripada NGO dan jabatan kerajaan bantu masalah rakyat.

"Ubah imej UMNO itu sendiri, harap generasi muda UMNO dan generasi sedia ada hayati perkara ini. Kena transformasi dari segi peribadi, barulah kebangkitan semula UMNO. Betulkan diri kita, orang akan kenang jasa kita pada PRU14 nanti tetapi jika gagal, malapetaka datang bila-bila masa sahaja," jelasnya.

Biarlah pembangkang takut dengan 'bayang-bayang yang tiada'

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

Kira-kira 20 orang wakil NGO berhimpun di depan Dewan Rakyat membantah pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 di Parlimen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KENAPAKAH pakatan pembangkang bagaikan 'cacing kepanasan' apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan 2013)?

Walaupun kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuluh-puluh kali menjelaskan undang-undang itu bertujuan mencegah jenayah terancang tetapi pemimpin pembangkang seolah-olah 'pekakkan telinga' dan 'butakan mata' untuk menerima penjelasan itu.

Mereka terus mempolitikkan undang-undang tersebut dan ada lidah rasmi mereka menganggap ia lebih keji daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Entah mengapa peruntukan yang paling mereka takuti ialah memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.

Apabila menyentuh sahaja peruntukan ini pembangkang bagaikan takut kepada bayang-bayang atau diburu mimpi ngeri. Mereka terpekik terlolong membantah peruntukan ini.

Biar pun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada niat dan tujuan tersurat atau tersirat untuk menahan mereka yang memegang jawatan politik manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula menyatakan undang-undang baharu itu hanya melibatkan tindakan terhadap penjenayah, tidak sesekali disasar kepada ahli politik, ia masih belum mencukupi untuk 'mengubati' kebimbangan tidak bertempat pembangkang.

Justeru tidak perlulah lagi, kerajaan khususnya KDN mahupun PDRM hendak melayan kerenah pembangkang itu. Apa yang penting sekarang ialah soal ketenteraman dan keselamatan negara.

Biarlah pembangkang hendak buat protes 40 hari 40 malam, biarlah mereka terpekik terlolong atas pentas-pentas ceramah kerana dalam keadaan mereka tiada modal politik untuk meraih sokongan maka 'tunjuklah sedikit ihsan' kepada mereka untuk terus memprotes.

Hakikatnya, kita tidak perlu peduli apa kata pembangkang kerana selama ini pun mereka tidak pernah memuji sebarang usaha kerajaan, sebaliknya yang sering kita saksikan apa sahaja isu, segalanya mahu dipolitikkan.

Siang malam, pagi petang, subuh hingga senja dalam pemikiran pembangkang seolah-olah tidak ada perkara lain, mereka cuba melihat apa sahaja usaha kerajaan dari sudut negatif.

Mereka membentangkan hujah macam- macam yang kadang kala memualkan termasuklah soal hak asasi manusia. Malah mereka juga bersedia untuk membela penjenayah daripada kaum tertentu kononnya atas dasar tersebut tetapi langsung tidak berkata apa-apa apabila ada anggota polis yang tercedera atau terbunuh ketika menjalankan tugas.

Kalau betul mahu memperjuangkan hak asasi biarlah ia merangkumi semua pihak termasuklah untuk pasukan keselamatan juga. Tetapi ini tidak berlaku kerana seolah-olah bagi mereka, hak asasi hanya terpakai untuk orang yang mereka bela sahaja, apakah ini dinamakan keadilan?

Sebab itulah, kerajaan tidak perlu pening kepala untuk memikirkan apa yang pembangkang lakukan. Apa yang penting sekarang undang-undang tersebut sudah diluluskan oleh Parlimen dan apabila diwartakan maka laksanakan ia dengan sebaik-baiknya.

Sudah cukup selama ini, pasukan polis dilihat tidak bertaring dan kehilangan tenaga apabila ISA dan beberapa peruntukan undang-undang lain dimansuhkan.

Kini sudah ada undang-undang yang seperti mana kata Khalid memberi lebih 'tenaga' kepada polis dalam menangani jenayah khususnya jenayah terancang.

Oleh itu, apa pun pembangkang hendak kata biarlah mereka ibarat 'si luncai yang terjun dengan labu-labunya'. Apa yang perlu diutamakan ialah undang-undang itu akan mampu memberikan perasaan selamat dalam kalangan rakyat dan masa yang sama semakin yakin dengan kesungguhan kerajaan menjamin keselamatan mereka dan meningkatkan keamanan negara.

Kalau pembangkang ikhlas sudah pasti mereka akan menyokong undang-undang ini kerana ia untuk kepentingan rakyat. Pembangkang sering mendabik dada kononnya mereka pejuang rakyat sehinggakan kerjasama mereka pun dinamakan 'pakatan rakyat'. Kononnya, untuk memberi mesej kepada rakyat bahawa merekalah perjuang rakyat yang sejati tetapi apabila kerajaan melaksanakan sesuatu untuk kesejahteraan rakyat, mereka pula menentangnya.

Inilah sikap dan kualiti pembangkang yang ada di negara kita. Jarang sekali mereka menghamburkan pujian kepada sebarang usaha kerajaan, semuanya mahu dikritik, dikecam dan dibidas, seolah-olah kerajaan melaksanakan sesuatu itu bukan untuk kebaikan rakyat.

Namun begitu, kita percaya rakyat sudah bijak menilai, pembangkang boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi sama ada segala yang mereka lontarkan itu benar atau tidak, bermotif politik atau tidak, maka biarlah rakyat menilainya.

Undang-undang ini bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi sasaran serangan pembangkang, sebaliknya selama ini sudah banyak perkara menjadi 'mangsa' serangan mereka.

Bagi pembangkang, seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh melakukan sesuatu dengan baik dan sempurna, mereka sahaja yang pandai mentadbir, mereka sahaja yang bijak merangka atau menggubal undang-undang dan sudah pasti seolah-olah mereka sahaja begitu prihatin dengan hak asasi rakyat.

Tetapi apabila kita kaji sikap sebenar pembangkang maka kita akan mendapati, segala yang diperjuangkan tidak lebih hanya bermotif politik dan kadang kala mereka bagaikan 'takut kepada hantu yang tiada' dan bimbang kepada bayang-bayang yang tidak wujud. Itulah kualiti pembangkang di negara ini!

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved