Jumaat, 4 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sidang DUN Belia NS pertama

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

SEBAHAGIAN perwakilan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sembilan 2013 di Klana Resort, semalam.

SEREMBAN 3 Okt. - Negeri Sembilan menjadi negeri pertama melaksana Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS), Wan Salwati Abdullah berkata, persidangan itu rentetan Rancangan Pembangunan Belia Fasa 1 yang mahu lebih banyak suara belia diketengahkan dan diambil peduli untuk berhadapan saingan global.

"Persidangan DUN Belia ini adalah platform yang akan membahaskan isu belia meliputi pelbagai sektor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam sesi hari ini, sebanyak 36 wakil dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama 30 anggota yang dilantik daripada pelbagai sektor profesional menjalani sesi latihan dan taklimat persidangan yang disampaikan Setiausaha MBNNS, Mohd. Kama Kahamuzakir Kamarudin.

Dalam pada itu, wakil sektor masyarakat Orang Asli, Nur Azimah Abdullah, 27, memberitahu, antara perkara yang akan dibangkitkan ialah aspek peningkatan hidup golongan tersebut.

"Saya telah mendengar keluhan golongan muda dan tidak tahu landasan mana hendak bersuara. Melalui Persidangan DUN Belia ini, saya pasti menyuarakan keinginan mereka termasuk menuntut supaya diadakan perkhidmatan WiFi percuma dalam kampung Orang Asli," katanya.

Dalam masa sama, beliau akan mengemukakan usul menubuhkan Koperasi Belia Orang Asli peringkat negeri supaya masa hadapan mereka dalam sektor perniagaan akan lebih terjamin.

"Saya mahu budaya, adat dan kehidupan dalam desa dibawa keluar ke bandar supaya rakyat dapat sama-sama menghargai kehidupan Orang Asli, walaupun mereka akan berhadapan kejutan budaya," ujarnya.

Perwakilan yang mewakili sektor guaman, Mohd. Fasha Musthafa, 24, berkata, antara yang akan dibahaskan kelak ialah keciciran penuntut universiti berbanding mereka yang mempunyai kemahiran untuk memperoleh peluang lebih baik dalam pasaran pekerjaan.

"Saya mahu usulkan supaya penuntut universiti ini diberikan latihan kemahiran semasa belajar supaya dapat berhadapan saingan pasaran kerja yang lebih kompetitif," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli DUN Belia Rahang, Zaharruddin Abd. Majid, 37, berkata, ahli dewan dan perwakilan akan membahaskan ucapan dasar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam persidangan itu dan diharap dapat membawa resolusi terbaik untuk mengangkasakan belia.

Melaka akan wujudkan Perkampungan Sukan

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

MELAKA 3 Okt. - Kerajaan negeri bakal mewujudkan Perkampungan Sukan di kawasan Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong di sini, melibatkan kawasan seluas 41.18 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, kerajaan negeri pada awalnya bercadang membangunkan perkampungan tersebut dan cadangan pembangunannya melibatkan tiga kluster iaitu A, B dan C.

"Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri melalui Yayasan Melaka telah mengenal pasti tanah bersebelahan kompleks sukan tersebut melibatkan 36 lot tanah di Mukim Paya Rumput bagi cadangan pembinaan perkampungan sukan secara usahasama dengan mana-mana syarikat berminat," katanya.

Ab. Rahman (BN-Pantai Kundor) berkata demikian ketika menjawab soalan Sazali Muhamad Din (BN-Paya Rumput) berkaitan pembinaan Perkampungan Sukan di kawasan Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong oleh Yayasan Melaka dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri semalam.

Jelas Ab. Rahman, cadangan pembangunan tiga kluster itu termasuk kemudahan-kemudahan sukan di Kompleks Sukan Hang Jebat bagi kluster A.

"Kluster B pula menempatkan pembangunan bercampur seperti lot perniagaan, apartmen, lot kedai, hospital sukan, resort, muzium sukan, masjid dan pusat rekreasi.

"Kluster C melibatkan cadangan pembangunan penempatan sekolah sukan, akademi sukan profesional, rumah guru dan asrama," ujarnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri akan memulakan projek Perkampungan Sukan setelah pengambilan tanah selesai dan mendapat pembiayaan daripada pihak swasta serta syarikat yang berminat.

"Kos pembinaan bergantung kepada komponen berdasarkan konsep Pembangunan Bandar Sukan yang telah diluluskan kerajaan negeri," katanya.

Kawasan padi Melaka belum boleh diisytihar Jelapang Padi

Posted: 03 Oct 2013 11:02 AM PDT

MELAKA 3 Okt. - Kawasan tanaman padi di negeri ini masih belum boleh diisytiharkan sebagai Jelapang Padi oleh kerajaan dalam Dasar Pertanian Negara disebabkan masih tidak melebihi keluasan minimum 4,000 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman (gambar) berkata, Melaka sehingga hari ini mempunyai keluasan pasel sawah padi seluruh negeri seluas 3,865 hektar dan hanya 1,300 hektar sahaja yang diusahakan secara aktif.

Jelasnya, mengikut Dasar Pertanian Negara, kawasan tanaman padi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang tidak boleh diiktiraf sebagai Jelapang Padi kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Masalah sistem perparitan yang dihadapi pesawah DUN Klebang juga menjadi salah satu sebab tanaman itu tidak diusahakan secara meluas di kawasan tersebut.

"Walau bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai zon kawasan pertanian," katanya.

Hasan (BN-Sungai Rambai) berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Ban Hong (BN-Klebang) berkaitan rancangan kerajaan untuk mewartakan kawasan tanaman padi tersebut dan diisytiharkan sebagai Jelapang Padi pada Persidangan Kedua Penggal Pertama DUN Melaka ke-13 di Seri Negeri semalam.

Jelas Hasan, tanaman padi terbahagi kepada dua jenis iaitu Skim Kecil di mana kawasan tanaman padi mempunyai sistem pengairan khusus dan yang kedua, Mukim di mana tanaman padi menggunakan sistem pengairan tidak khusus atau kurang sempurna.

"Peruntukan pembinaan sistem pengairan ini disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

"Sehubungan itu, Jabatan Pertanian negeri akan terus bekerjasama dengan JPS negeri untuk memastikan bekalan air sentiasa memenuhi kehendak petani di kawasan tersebut pada musim utama penanaman," katanya.

Beliau berkata, beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang disediakan bagi mengatasi masalah sistem pengairan di DUN Klebang.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM4 juta bagi mengatasi masalah tersebut untuk tempoh jangka masa pendek.

"Namun, peruntukan itu tidak mencukupi kerana sebanyak RM48 juta diperlukan bagi menyelesaikan masalah saliran dan pengairan di kawasan berkenaan untuk jangka masa panjang," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus komited membantu usahawan asas tani memastikan sektor tersebut mendapat pembelaan sewajarnya seiring Melaka Maju Fasa Kedua.

"Saya turut mencadangkan peruntukan pertanian yang disediakan kerajaan Persekutuan sebanyak RM820,000 ditambah kepada RM38 juta setahun bagi pembangunan pertanian negeri," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved