Jumaat, 4 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Cukai hartanah JB, Kluang rendah

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Okt. - Pemilik rumah di daerah Johor Bahru dan Kluang bakal menikmati kadar cukai harta lebih rendah bermula tahun depan ekoran penilaian semula struktur cukai tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, untuk permulaan, kadar terbaharu yang dibuat selepas kali terakhir disemak pada 1995 hanya melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, dua PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Kluang akan bermula Januari tahun depan, manakala Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) bermula Julai tahun depan.

"Kadar cukai tanah dikenakan PBT adalah berlainan antara satu sama lain kerana bergantung kepada jumlah hartanah di kawasan di bawah tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan projek komersial dikenali Suasana yang terletak di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Trus di sini yang dibangunkan Exquisite Mode Sdn. Bhd. (EMSB), anak syarikat United Malayan Land Bhd. (UMLand).

Yang turut hadir, Pengerusi UMLand, Tun Musa Hitam; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Onyx Hospitality, Peter Henley dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Walau bagaimanapun, Abd. Latiff berkata, kadar baharu lebih rendah itu hanya untuk pemilik perumahan manakala pegangan perdagangan naik daripada 0.26 kepada 0.27 peratus dan perindustrian pula daripada 0.28 kepada 0.30 peratus bagi kawasan MBJB.

Sebagai contoh, katanya, pemilik rumah yang tinggal di bawah seliaan MBJB sekarang yang membayar cukai tanah sebanyak 0.13 peratus hanya perlu membayar sebanyak 0.12 peratus bermula tahun depan.

"Baki 13 PBT lagi akan mula melaksanakan kadar baharu mengikut kawasan masing-masing bermula 2015," katanya.

40 pekebun tanam semula getah terima bantuan RISDA

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

MOHAMAD Sahlan Mahnoon (duduk, kanan) menunjukkan cara menyemai biji getah kepada Norshida Ibrahim sempena majlis penutupan Program Kembara Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) di Sekijang, Segamat, Johor semalam.

SEGAMAT 3 Okt. - Sebanyak 40 pekebun kecil getah yang menyertai Program Tanaman Semula di negeri ini diberi Bantuan Sara Hidup berjumlah RM192,000 tahun ini bagi membantu mereka yang kehilangan mata pencarian selepas pokok getah ditebang.

Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri, Mohamad Sahlan Mahnoon berkata, bantuan berjumlah RM500 sebulan selama empat tahun itu diberikan kepada pekebun kecil getah yang membuat tanaman semula.

"Bantuan hanya diberikan kepada pekebun yang tidak mempunyai kebun dan pendapatan lain dan keluasan kebun mereka mestilah tidak lebih 2.5 hektar dan ditanam dengan tanaman getah.

"Ini bermakna hanya pekebun yang tidak mempunyai punca pendapatan lain selepas kebun yang menjadi punca pendapatan mereka ditebang sahaja yang layak menerima bantuan tersebut," katanya dalam majlis penutupan Program Kembara Kelab Generasi Muda Risda di Sekijang, dekat sini semalam.

Program yang disertai sebanyak 56 anak pekebun kecil dari seluruh negeri ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Mohamad Sahlan berkata, selain itu, bantuan tanaman selingan nanas turut diberikan kepada pekebun kecil yang menanam semula kebun getah mereka.

Di samping itu, tambahnya, RISDA juga menyediakan pelbagai peluang kepada anak pekebun kecil bagi menarik minat mereka menyertai bidang pertanian dengan teknik lebih moden dan menguntungkan.

Menurut beliau, usaha tersebut termasuk menyediakan peluang menyertai perniagaan dalam bidang pertanian seperti pembersihan tapak, kerja penanaman, pembekal dan penjagaan tanaman getah.

"Golongan muda kini tidak berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana beranggapan pekerjaan tersebut tidak memberi pendapatan lumayan dan memenatkan,'' jelasnya.

"Oleh itu, kita berusaha dan menyediakan peluang serta ruang kepada mereka menjadi usahawan pertanian yang boleh memberi pendapatan lumayan serta sesuai dengan tahap pendidikan anak-anak pekebun yang semakin baik kini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved