Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Kalimah Allah: Satu lagi pengurusan kes 30 Mei

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

PUTRAJAYA 25 April - Rayuan kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perintah Mahkamah Tinggi bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh majalah mingguan Katolik, Herald - The Catholic Weekly, ditetapkan untuk satu lagi pengurusan kes pada 30 Mei depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, N. Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu kesudahan satu rayuan lain oleh tujuh pihak iaitu enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk menjadi pencelah.

Rayuan tujuh pihak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Roman Katolik telah ditetapkan tarikh pendengarannya pada 8 Mei ini.

Pada tarikh pengurusan kes terdahulu, Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, selaku responden dibenarkan memfailkan afidavit tambahan sementara menunggu pengurusan kes hari ini.

Pihak perayu turut memohon masa untuk mendapat arahan sama ada mereka akan memfailkan afidavit balasan.

Kerajaan Malaysia dan KDN diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Arik Sanusi Yeop Johari, Munahyza Mustafa dan Andi Razalijaya A. Dadi manakala peguam S. Selvarajah bertindak bagi pihak gereja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan gereja dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Gereja itu menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan itu adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk 'God' dalam seksyen bahasa Malaysia tetapi kerajaan berhujah kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam.

Bekas pengarah didakwa guna dokumen palsu, pecah amanah RM10j

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Seorang bekas pengarah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menggunakan dokumen palsu dan dua tuduhan pecah amanah membabitkan wang bernilai lebih RM10 juta, empat tahun lalu.

Malim Mohamed, 43, didakwa menggunakan dua dokumen sebagai tulen iaitu invois dan arahan penyerahan syarikat kejuruteraan, GSE Engineering Sdn. Bhd. ketika permohonan pembiayaan kewangan 'Accepted Bil-Islamic' bagi syarikat kejuruteraan mekanikal miliknya, Satang Jaya Sdn. Bhd. berjumlah RM6,296,680 kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Trade Finance Centre, Bank Muamalat Malaysia Sdn. Bhd., Tingkat 1, Menara Bumiputra, Jalan Melaka di sini pada 18 November 2009.

Tertuduh yang beralamat di Kuantan, Pahang juga didakwa melakukan perbuatan yang sama melibatkan permohonan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3,148,340 kepada bank sama di tempat yang sama pada 9 Februari 2010.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Malim yang merupakan penandatangan sah bagi akaun syarikat KOBAT Engineering Services Sdn. Bhd. di HSBC Bank Malaysia Bhd. Cawangan Kuantan turut didakwa atas dua tuduhan pecah amanah masing-masing melibatkan wang berjumlah RM1 juta dan RM100,000 milik syarikat itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd., Tingkat 1, Menara Olympia, Jalan Raja Chulan di sini masing-masing pada 25 Januari 2010 dan 11 Disember 2009.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh diwakili peguam Adenan Ismail.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurshuhaida Zainal Azhar memaklumkan mahkamah, pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju dengan jumlah jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

''Jumlah jaminan itu dengan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan,'' katanya.

Perkara itu kemudian dipersetujui oleh Hakim Murtazadi Amran yang turut menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved