Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Denggi: Melonjak lebih 100%

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Muji Salimon (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah Pontian di Taman Kota Emas, Pontian, Johor, baru-baru ini. Turut kelihatan, Dr. Norashikin Mahadan (dua dari kiri).

PONTIAN 11 Julai - Sebanyak 44 kes penyakit denggi dilaporkan berlaku di daerah Pontian bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada 2012 lalu iaitu peningkatan sebanyak 105.6 peratus.

Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan berkata, sebanyak 85 peratus daripada kes tersebut berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes di luar premis melibatkan beberapa lokasi seperti di Lorong Pisang, Lorong Nipah, Lorong Manggis, Lorong Kemang, Lorong Mengkudu, Lorong Ciku dan Lorong Kenanga.

"Beberapa tindakan diambil bagi membendung pembiakan aedes dengan mengedarkan risalah dan maklumat kepada penduduk, penyemburan asap dan lawatan susulan. Walaupun tiada kematian dilaporkan, peningkatan kes yang tinggi memerlukan langkah-langkah yang segera agar tidak menjadi ancaman kepada orang ramai.

"Unit Vektor dari Pejabat Kesihatan Pontian turut menganjurkan pelbagai program kesedaran dan bertemu penduduk dari semasa ke semasa. Kami berharap orang ramai mengambil langkah yang perlu bagi membantu mengurangkan kes jangkitan denggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah di Taman Kota Emas, di sini baru-baru ini.

Program yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon itu turut dihadiri Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Abd. Rahman Salleh; Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunos dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan, Jokhiri Abd. Aziz.

Gotong-royong tersebut mendapat kerjasama yang baik melalui penyertaan kira-kira 500 kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan lain.

Menurut Norashikin, jabatan serta agensi kerajaan juga dapat memainkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan aedes dengan menggalakkan kakitangan mereka mengambil langkah pencegahan membunuh jentik-jentik di rumah dan menjaga kebersihan.

"Tanggungjawab bagi memerangi denggi adalah tanggungjawab semua pihak memandangkan statistik yang berlaku di setiap daerah akan menyumbang kepada laporan jumlah penyakit denggi di peringkat negeri," katanya.

12 premis dikompaunRM6,000'biak' aedes

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

JOHOR BAHRU 11 Julai - Sebanyak 12 kompaun berjumlah RM6,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri menerusi Ops Gempur di tiga kawasan tumpuan di sekitar bandar raya ini pada Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Fatimah Othman berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas kediaman penghuni di lokasi operasi di Taman Cempaka dan Taman Melor serta Kota Masai, Pasir Gudang didapati positif pembiakan aedes.

"Sebanyak 3,615 rumah kediaman, premis perniagaan dan surau telah diperiksa dan 12 daripadanya yang didapati positif pembiakan aedes telah dikenakan tindakan kompaun RM500 bagi setiap kediaman.

"Sebanyak 19 penduduk yang demam turut dinasihat dan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran sebagai langkah pencegahan awal denggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Fatimah, sebanyak 2,507 bekas takungan air yang didapati berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes turut dimusnahkan.

"Operasi ini dilaksanakan berikutan kes denggi di Kelantan meningkat hampir 100 peratus tahun ini berbanding 2012.

"Ini bukan sekadar untuk mendenda mereka yang didapati tidak menjaga kebersihan sehingga kediaman atau premis perniagaan menjadi tempat pembiakan aedes, sebaliknya kita mahu mendidik dan menyedarkan mereka tentang bahaya denggi kepada diri serta keluarga mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved