Rabu, 17 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Jati enggan terima maaf Duta Vatican City

Posted: 16 Jul 2013 10:29 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Jalur Tiga Malaysia (Jati) tidak dapat menerima permohonan maaf Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu kalimah Allah, kata presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan itu berpendapat permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia, yang dibuat menerusi Kementerian Luar semalam, tidak memadai untuk mereda dan memadam kemarahan serta ketidakpuasan hati masyarakat Islam di negara ini.

"Duta Vatican City itu perlu menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di negara ini.

"Pada masa yang sama, beliau perlu berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Hasan meminta pihak berkuasa tidak mengambil permohonan maaf Marino sebagai jalan penyelesaian akhir kepada isu itu sebaliknya merangka langkah segera untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Langkah ini juga untuk menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya menghormati kedaulatan negara ini," katanya.

Beliau mengulas permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia atas salah faham dan rasa kurang senang yang timbul susulan kenyataannya mengenai penggunaan kalimah Allah.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, duta itu menjelaskan tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Marino dipanggil ke Wisma Putra pada 12 tengah hari semalam.

Dalam pada itu, Hasan berkata Jati dan beberapa NGO lain tetap meneruskan acara penyerahan nota bantahan kepada pejabat kedutaan Vatican City selepas solat Jumaat ini. - BERNAMA

KPWKM-PLUS kerjasama bendung pengemis kanak-kanak di R&R

Posted: 16 Jul 2013 10:22 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) untuk membendung kes kanak-kanak mengemis di pusat rehat dan rawat (R&R) seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, PLUS akan sentiasa memantau keadaan di setiap kawasan R&R dan sekiranya ada aduan orang awam, PLUS akan menyelamatkan kanak-kanak tersebut sebelum menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azizah berkata dari 2008 hingga 2012, pihaknya telah menyelamatkan 232 kanak-kanak daripada terus dieksploitasi termasuk dijadikan peminta sedekah. - BERNAMA

9 acara pelancongan antarabangsa sepanjang September

Posted: 16 Jul 2013 10:21 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tourism Malaysia menyusun pelbagai acara sukan dan kebudayaan yang menarik sepanjang September.

Terdapat sembilan acara akan ditawarkan kepada pelancong tempatan dan asing di negara ini bermula dengan Digi Teluk Chempedak Run 2013, larian sejauh 10 kilometer pada 1 September di Teluk Chempedak, Kuantan, Pahang.

Ini diikuti Sarawak Regatta 2013, perlumbaan Perahu Naga bertemakan 'Perlumbaan Untuk Keharmonian' melibatkan 44 perahu termasuk lima perlumbaan bagi acara antarabangsa dari 6 hingga 8 September di Tebingan Kuching, Sarawak.

Acara Royal Pahang Billfish International Challenge 2013, pertandingan memancing mesra ekologi berkonsepkan tangkap, tanda dan lepas, ketika musim ikan layaran melalui kawasan Rompin untuk berhijrah ke Australia, akan diadakan di Pantai Lanjut, Rompin, Pahang dari 13 hingga 15 September.

Bagi peminat sukan paragliding, Kokol International Paragliding Race 2013 akan dianjurkan di Kampung Kokol, Kota Kinabalu, Sabah dari 16 hingga 18 September, yang membolehkan peserta menikmati pemandangan indah kawasan pantai di Sabah.

Di Kuala Lumpur, pesta tanglung 1Malaysia Lantern Tourism Festival 2013 atau lebih dikenali Festival Kuih Bulan, akan diadakan pada 19 September di Pasar Seni.

Festival itu juga akan diadakan di Kampung Sungai Keling, Labuan dari 19 hingga 21 September.

Untuk peminat tenis, ATP World Tour's Asian akan bermula pada Terbuka Malaysia Kuala Lumpur 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 21 hingga 29 September.

Sementara itu, festival lukisan Labuan Arts Festival 2013 akan berlangsung di Labuan International Seasport Complex dari 27 hingga 29 September.

Kejohanan berbasikal Gunung Jerai Mountain Bike Challenge 2013 membabitkan laluan sejauh 48 kilometer di Gunung Jerai, Kedah dari 28 hingga 29 September. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved