Rabu, 17 Julai 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kesan produk tanpa TITA

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH
Prof Madya/Ketua Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Apabila Kementerian Pendidikan mengambil keputusan mewajibkan subjek teras universiti, Tamadun Islam Tamadun Asia (TITA) di IPTS, tidak semena-mena Ahli Parlimen DAP melompat seperti cacing kepanasan. Pemimpin MCA turut menyokong. Katanya tidak wajar hanya satu sahaja tamadun yang diajar iaitu tamadun Islam.

Terbaharu, seorang Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang mencadangkan supaya TITA menjadi subjek elektif. Ahli Parlimen yang tidak ketahuan asal usul bangsanya ini, kecuali agamanya (Islam), mahukan subjek ini diturunkan tarafnya menjadi elektif. Persoalan saya, siapakah beliau?

Ini diikuti protes dari gabungan NGO anak muda Cina yang dikenali sebagai Emco, yang terdiri daripada penganut Buddha dan Kristian tampil mengatakan bantahan mereka kerana disifatkan, sebagai satu "indoktrinasi" ke atas siswa IPTS.

Ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya.

Mereka berkata, kerajaan perlu mengetepikan pendekatan "sempit dan sektarian" dalam pendidikan dan juga menghormati kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia. Dalam merancang mata pelajaran berhubung tamadun agama, pertimbangan perlu diberikan kepada sejarah agama utama, doktrin serta kesan agama ke atas pembangunan ketamadunan.

Bantahan ini seterusnya disambut oleh Bishop Katolik, Paul Tan, mengesyorkan diperkenal pengajian semua tamadun dunia kepada golongan itu.

Beliau berkata, tamadun Greek, Rom dan Judeo-Christian juga menyumbang banyak nilai kepada manusia dan perlu diketahui seiring dengan usaha melahirkan graduan yang terbiasa dengan nilai-nilai "yang baik, benar dan indah".

Jahil sungguh mereka. Dahulu bersatu dalam senyap. Kini bersatu secara terbuka. Malangnya, kita makin mengalah. Persoalan saya, adakah mereka sudah baca buku teks TITA ini? Jika belum cubalah baca.

Jangan buat tuduhan sembrono. Tidakkah beliau sedar bahawa sekurang-kurang tiga tamadun diajar iaitu Islam (Melayu), China dan India.

Ini akibatnya apabila bukan pakar membahaskan isu-isu di luar kepakarannya. Akhirnya, lahirlah pandangan-pandangan yang amat naif dan pandir. TITA bukanlah subjek tamadun Islam sepenuhnya, tetapi telah diadunkan dengan beberapa tamadun dunia.

Untuk makluman, kursus ini merupakan satu kursus yang membincangkan ilmu ketamadunan yang merangkumi interaksi antara pelbagai tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, China, India, Islam, Barat.

Tamadun Islam ditekankan sedikit, kerana tamadun inilah yang melonjakkan orang Melayu dalam membina tamadun Malaysia. Jika tidak, Melayu tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Melayu dan Islam itu sebati.

Turut diajar adalah tamadun China, Tamadun India, isu-isu kontemporari Tamadun Islam dan Tamadun Asia, cabaran globalisasi dan Islam dalam proses pembangunan negara.

Sebenarnya tidak ada masalah langsung. Semua tamadun diraikan. Ada apa di sebalik mereka membangkitkannya?

Seperti subjek kenegaraan, tujuan TITA adalah untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah dan nilai tamadun.

Tujuannya tidak lain, (1) membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban; (2) memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.

Kami berkeyakinan selepas mengikuti kursus ini, pelajar akan dapat memahami dan menjelaskan aspek-aspek utama tamadun, tamadun Islam dan tamadun Asia serta berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan.

Pendek kata, TITA amat penting kepada rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan saling memahami. Negara lain, kebanyakan sebangsa, mungkin mereka tidak perlu mempelajari banyak tamadun berbanding kita di sini. Saya mohon bacalah keseluruhan teks TITA ini.

Sepanjang pengalaman mengajar subjek ini di IPTA, tidak ada seorang pun pelajar bukan Islam yang bersungut, apatah lagi membantah, malah mereka seronok dapat mempelajari tamadun bangsa sendiri dan bangsa lain. Tamadun Islam diadunkan kerana ia adalah juga tamadun Melayu.

Lebih membanggakan, pelajar Melayu tidak pernah bising apabila tamadun China dan tamadun India turut diajarkan.

Pelajar Melayu menerima dengan baik atas dasar menambah ilmu dan kepentingan memahami bangsa lain. Inilah sifat Melayu yang amat saya kagumi, berbanding bangsa saya sendiri. Persoalannya, kenapa orang bukan Islam begitu sensitif dengan tamadun Islam?

Kenapa perkara sebegini boleh terjadi bagi mereka yang telah berjaya mengaut segala keuntungan di bumi bertuah ini? Kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang bersyukur, tetapi terus kufur, walau sememangnya mereka kufur.

Subjek ini mengambil kira pandangan Samuel P. Huntington, dalam bukunya Clash of Civilizations, akan betapa pentingnya kita saling kenal-mengenal tamadun sesuatu bangsa. Subjek ini amat berguna, terutama kepada rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Jika tidak, akan lahir orang seperti Melissa Gooi yang menghina nabi Muhammad SAW dan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Pasangan ini telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (herba sup babi) di Facebook.

Sambil menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ...wangi, enak dan menyelerakan," serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Saya tidak nampak ia dilakukan secara tidak sengaja. Pasangan ini sengaja mahu menyakitkan hati umat Islam.

Jika benarlah hanya tamadun Islam sahaja yang akan diajar, apa salahnya? Jika saya ada kuasa, saya akan paksakan subjek ini sejak dahulu lagi.

Islam adalah agama Persekutuan dan agama bangsa majoriti. Apakah salah bukan Islam mempelajarinya untuk hidup di bumi Melayu Islam?

Bukan Melayu sepatutnya lebih memahami agama Islam anutan majoriti orang Melayu Islam sebelum memahami bangsa lain. Itu adalah lebih baik untuk integrasi nasional. Kecualilah jika mereka tidak mahu tinggal di sini.

Saya amat yakin jika diberikan pilihan dua subjek antara tamadun Islam dan tamadun Barat. Tidak seorang pun dalam kalangan puak ultra kiasu ini yang akan mengambil tamadun Islam.

Kenapa mereka begitu beriya-iya belajar tamadun Barat, tetapi bukan tamadun Islam (Melayu)?

Nampak sangat beliau memandang hina kepada kita semua. Sebab itu, mereka langsung tidak mahu memakai baju kebangsaan dan bersongkok ketika majlis rasmi. Mereka amat megah dengan pakaian Barat.

Saya amat bimbang jika ditakdirkan kumpulan ultra kiasu ini berjaya memerintah Malaysia dalam PRU-14 nanti. Semua identiti Islam akan dihapuskan.

Lebih menghairankan, kenapa Pas membisu seribu bahasa. Ultra kiasu telah menjadi semakin kurang ajar. Pas mesti berani menegur dan mengajar mereka bertatasusila selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Lebih malang lagi, tidak ada wakil IPTS yang menyokong hasrat kerajaan ini. Kenapa? Jawapannya, kerana mereka terpaksa mencari pensyarah untuk mengajar subjek yang dianggap 'tidak berguna dan merugikan ini.

Maka akan bertambahlah kos untuk mengambil pensyarah baharu. Pada mereka, ini membazir dan merugikan. Sebab itu mereka hasut anak-anak mereka membangkitkan isu ini. Bila dibangkitkan, kita pun mengalah…alahai nasib Melayu di bumi Melayu.

PRK Kuala Besut sepatutnya tenang

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ESPUTRA MUKHTAR
PENULIS ialah penganalisis politik.

Sebuah kereta jentera BN membawa poster calon BN N.01 Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman di sekitar bazar Ramadan Kuala Besut semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

Sepatutnya tidak perlu berlaku kekalutan besar sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut. Faktor-faktor mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) yang sedia ada, kesedaran pengundi tempatan terhadap kemajuan Kuala Besut (yang sudah dinikmati dan dalam perancangan) serta penghayatan umum khususnya pengundi Melayu (lebih 90%) terhadap senario politik semasa adalah antara sebab kenapa 'perang PRK' tidak perlu berlaku.

Ada juga faktor-faktor luaran yang membabitkan imej pembangkang sejak akhir-akhir ini turut tidak mewajarkan Pas beriya-iya 'menentang hebat' calon BN kerana ia hanya dilihat membuang masa serta merugikan belanja pilihan raya (memetik kenyataan Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut Datuk Seri Idris Jusoh). Lainlah kalau Pas hanya kemaruk besar untuk memerintah Terengganu.

Majoriti besar yang diperoleh calon BN Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu (2,434 undi) berkemungkinan besar berupaya mengekalkan kerusi BN berkenaan.

Jika sekadar untuk mengurangkan jumlah majoriti, ia tidak membawa makna kerana Terengganu akan terus diperintah BN. Ia tidak banyak memberi impak negatif kepada BN.

Sebaliknya jangan pula terperanjat jika BN berjaya meraih majoriti lebih besar atas beberapa faktor jelas. Misalnya dari lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM), hanya PDM Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dimenangi Pas pada PRU-13 lalu. Itu pun angkanya tidak sebesar mana.

Di Kampung Nangka misalnya, Pas hanya menang dengan kelebihan 79 undi manakala di PDM Bukit Puteri Pas menang dengan kelebihan 90 undi.

Punca kelebihan undi Pas di Bukit Puteri dikatakan ramai yang mengundi calon mereka ketika itu, Napisah Ismail, atas nama sokongan untuk 'orang sekampung' dan 'sekeluarga' di sekitar kampung berkenaan. Sehinggakan ada orang UMNO turut mengundi beliau.

Namun keadaan demikian dikatakan tidak akan berlaku pada PRK kali ini. Ketaranya kerana Napisah tidak lagi terpilih menjadi calon. Tambahan pula semasa Napisah bertanding baru-baru ini, calon Pas sekarang, Endut@Azlan Yusoff atau dikenali juga sebagai Che Long kontraktor dikatakan tidak 'berjuang bersama' untuk memenangkan Napisah.

Che Long kontraktor sebaliknya sibuk membantu Datuk Husam Musa di Putrajaya. Husam dikatakan sahabat karib Che Long sejak sekian lama. Maklumlah jarak antara Kuala Besut dengan Kota Bharu bukanlah jauh sangat.

Jadi dengan pelantikan Husam sebagai Pengarah PRK Kuala Besut memang' tepat' iaitu sebagai 'balas besan rakan seperjuangan'. Orang Bukit Puteri tentunya mudah membaca 'situasi' berkenaan.

Sukar untuk memperlekeh calon BN. Ternyata latar belakangnya istimewa. Anak muda yang bernama Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ini peramah dan berimej 'energetik'.

Baru berusia 37 tahun dan berbintang cerah untuk melangkah jauh lebih dalam bidang politik jika menang dalam PRK kali ini. Ertinya dia bakal menjadi satu aset politik Besut masa hadapan.

Betulkah Tengku Zaihan kurang dikenali pengundi Kuala Besut. Tentunya jangkaan yang dicetuskan Pas ini meleset. Sebaliknya semakin ramai yang menerima beliau sebagai orang muda yang senang mendekati dan memahami keperluan masyarakat. Sentiasa turun ke sana ke sini dan nyata mereka semakin yakin Tengku Zaihan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Tengku Zaihan mengorbankan jawatannya yang sudah kukuh di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut. Jawatannya sebagai jurutera dengan cara kerja yang berprestasi tinggi cukup memberi potensi besar untuk beliau terus berjaya dalam kerjayanya di sektor awam.

Namun bukan setakat itu yang dicari oleh jurutera muda ini. Beliau mahu menabur khidmat bakti dalam erti kata lebih luas kepada masyarakat Kuala Besut.

Orang Kuala Besut tahu Tengku Zaihan telah berperanan besar dalam membina tebing konkrit bagi mengelak hakisan pantai yang mengancam nelayan dan harta benda semasa beliau di JPS dahulu.

Tengku Zaihan berazam melaksanakan tugas dengan cemerlang kepada rakyat jika diberi mandat. Tidak pernah pula beliau menyatakan kemungkinan meletakkan 'wakil' kepada wakil rakyat untuk berkhidmat atau melayan keperluan rakyat.

Tidak tergambar juga Tengku Zaihan bercadang menjadikan gelaran 'YB' sebagai tiket untuk meraut kekayaan melalui tender-tender kerajaan.

Tengku Zaihan sebaliknya menyatakan keazaman untuk menyambung usaha Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar yang masih belum selesai. Ia termasuk mendalamkan muara Sungai Besut, menyelesai masalah penempatan penduduk, terus melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kuala Besut dan merancang untuk meningkatkan ekonomi penduduk Kuala Besut, memajukan daerah Besut selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda sekitar Besut.

Selain faktor calon, orang Besut sudah faham benar dengan keadaan Kelantan di bawah Pas lebih 23 tahun. Besut dan Pasir Puteh berjiran. Mereka sedar di Kelantan 'banyak cakap dari buat'.

Orang Besut mahu tengok Kuala Besut yang dahulunya sleeping town akan terus membangun. Seeloknya bersama jajaran persisiran pantai termasuk Tok Bali di Pasir Puteh. Sayangnya Kelantan masih di bawah Pas. Jika ada pun perancangan memajukan Tok Bali sudah tentu digerakkan oleh agensi Kerajaan Pusat.

Orang Besut juga sudah mengalami suasana berada di bawah Pas. Antara peristiwa yang mereka sukar lupa ialah penutupan pusat-pusat asuhan kanak-kanak (tadika) yang beroperasi di balai-balai raya.

Nyatanya tindakan menutup tadika itu (malah di seluruh Terengganu) menjejas teruk imej kerajaan Terengganu di bawah Pas ketika itu.

Tidak banyak isu yang dibawa pembangkang boleh mempengaruhi pilihan pengundi. Ia berlegar sekitar isu peribadi dan hal-hal yang seolah-olah sengaja untuk dijadikan isu.

Misalnya dakwaan calon BN kurang dikenali selain membangkitkan permasalahan tempatan yang dianggap remeh.

Pembangkang cuba tiup isu perlunya orang Kuala Besut memberi laluan untuk pilihan raya seluruh Terengganu diadakan semula.

Tentunya orang Kuala Besut tidak mudah terpedaya. Mereka sedar tentang ruginya membuang masa dan kewangan.

Isu 'melagakan' antara Idris Jusoh dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said cuba ditiup oleh pembangkang.

Juga kelihatannya isu ini 'tidak makan'. Orang Besut secara umumnya bersyukur dengan jasa-jasa pembangunan Datuk Seri Idris Jusoh dan masih disebut-sebut jasa Tan Sri Yusoff Noor. Pada masa yang sama mereka mengakui Daerah Besut terus dalam perancangan Datuk Seri Ahmad Said untuk terus dimajukan.

Apatah lagi Idris sekarang sudah dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat. Ekoran itu juga orang Kuala Besut akan merasa malu jika tidak memberi kemenangan kepada BN kerana ia akan menggambarkan tidak menghormati Idris selain 'mengasingkan' mereka dari dua kawasan DUN lain dalam Parlimen Besut yang dimenangi BN pada PRU-13 lalu.

Lebih jauh dari itu mereka tentunya menghormati kepimpinan negara di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Kuala Besut.

Jadi, Pas harus menelan malu jika isu-isu yang sengaja 'dicipta' dan 'dikitar semula' dalam PRK Kuala Besut ini tidak menjadi. Kita tunggu keputusannya 24 Julai ini.

Barangkali imej Pas turut tercalar dengan penolakan petisyen terhadap kemenangan BN di DUN Selising dan Parlimen Machang (kedua-dua di Kelantan) baru-baru ini. Malah penolakan kedua-dua kawasan itu dikenakan kos.

Pengundi Kuala Besut diyakini akan mengambil kira senario politik semasa negara dalam membuat pilihan kali ini. Mereka tentu sedar tentang istilah perjuangan dan survival bangsa dan negara.

Sekali lagi PRK Kuala Besut sepatutnya berlangsung dalam tenang damai kerana keghairahan 'berperang politik' hanya menambahkan imej buruk sesama sebangsa dan seagama. Apa lagi dalam saat mengharungi bulan suci Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved