Ahad, 19 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lokasi K1M dikaji semula

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

Hilmi Yahaya

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kerajaan akan mengkaji semula lokasi beberapa buah Klinik 1Malaysia (K1M) daripada 240 buah yang telah diwujudkan berikutan kedudukannya yang dilihat tidak sesuai seperti beroperasi di pusat membeli-belah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kajian semula wajar dilakukan memandangkan ada beberapa K1M hanya mencatatkan purata kedatangan pesakit 10 orang setiap hari yang dilihat tidak mencapai objektif penubuhan klinik tersebut.

"Selain itu, kerajaan juga merancang untuk menambah 50 lagi K1M pada tahun ini di lokasi-lokasi yang benar-benar sesuai khususnya di kawasan penempatan pinggir bandar termasuk luar bandar tetapi pada masa sama akan berusaha mengelakkan klinik tersebut daripada bersaing dengan klinik swasta sekitar.

"Diharapkan dengan mewujudkan lebih banyak K1M di seluruh negara akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan asas khususnya di kawasan yang agak jauh daripada hospital kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan seminar pengamal perubatan am (GP) anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya tentang laporan akhbar berhubung jumlah pesakit diabetis di negara ini yang dianggarkan sebanyak 4.6 juta orang, beliau memberitahu, jumlah itu amat membimbangkan kerana dijangkakan pesakit tersebut akan terus meningkat pada kadar 10 peratus setiap tahun.

Katanya, trend peningkatan penyakit diabetis juga perlu dikawal bukan sahaja oleh kerajaan tetapi perlu mendapat sokongan daripada masyarakat sendiri dengan mengawal tabiat pemakanan serta mengamalkan cara hidup sihat.

"Setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam memastikan kesihatan rakyat, bagaimanapun sekiranya orang ramai tidak ambil peduli tentang kesihatan diri sendiri sudah pasti penyakit ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun," ujarnya.

Kerajaan digesa bertindak

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

Nadzim Johan

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak pemborong yang memanipulasi harga barang sehingga menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak di seluruh negara baru-baru ini.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan sama juga perlu diambil terhadap pihak tertentu yang mendalangi kenaikan tersebut dengan niat membangkitkan kemarahan rakyat dan menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

Katanya, semua pihak termasuk polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu digerakkan untuk bertindak terhadap pihak berkenaan.

Kerajaan mesti elihat perkara ini secara serius. Kerajaan tidak boleh lembik dan sekadar memberi amaran, tetapi perlu ambil tindakan tegas terhadap pihak pemborong ini dan kilang fitnah yang memanipulasi kenaikan harga barang,"katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

UMNO Selangor anjur siri jelajah selamatkan akidah dan kalimah Allah

Posted: 18 Jan 2014 11:04 AM PST

SHAH ALAM 18 Jan. - Lebih 600 orang hadir pada siri jelajah menyelamatkan akidah dan kalimah Allah yang dianjurkan oleh UMNO Selangor di Seksyen 24 di sini semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, siri jelajah itu dianjurkan sebagai usaha mempertahankan akidah umat Islam dan kalimah Allah yang jelas dari sisi undang-undang adalah hak mutlak penganut Islam di negeri ini.

Katanya, sebanyak 30 siri jelajah akan diadakan di seluruh Selangor bagi memperjelaskan kepada rakyat di negeri ini tentang isu kalimah Allah ini dan kesannya jika agama lain dibenarkan menggunakannya.

"Siri jelajah ini penting supaya umat Islam di negeri ini tahu tentang hak mereka dan kenapa kalimah Allah perlu dipertahankan dan seterusnya bersatu untuk mempertahankannya.

"Kita akan memberi penjelasan kepada rakyat Selangor tentang hak mutlak kalimah Allah ke atas umat Islam dari segi akidah dan undang-undang supaya kita tidak diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis itu.

Dalam siri jelajah tersebut, Noh yang berpendidikan undang-undang dan mahir dengan Perlembagaan Persekutuan kerana telah berkhidmat di pelbagai kementerian, menjadi penceramah untuk memperjelaskan tentang hak penggunaan kalimah Allah dari segi undang-undang.

Ceramah dari segi akidah pula disampaikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zein Isma Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari.

Noh dalam pada itu membidas pihak tertentu terutamanya pemimpin DAP yang mahu supaya siri jelajah ini dihentikan kerana disifatkan oleh mereka boleh mencetuskan keadaan yang tidak harmoni.

Beliau bagaimanapun menegaskan, jelajah itu adalah bagi mempertahankan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved