Ahad, 19 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Beri sokongan program SASET

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman
utusanktn@gmail.com

BENTONG 19 Jan. - Semua pihak di negeri ini digesa memberi sokongan penuh kepada program-program anjuran Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) bagi memastikan usaha murni yayasan itu mampu mencapai matlamat diharapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sokongan padu terhadap program yayasan itu perlu diberikan perhatian semua pihak dan tidak terhad kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja.

"Usaha SASET amat baik dalam menyedarkan masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar yang memberi faedah kepada semua dan perlu diberi sokongan penuh.

"Saya percaya apabila semua pihak termasuk NGO lain memberi sokongan, matlamat SASET akan tercapai dengan jayanya," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Karnival Pencinta Alam 'Kesedaran Masyarakat Kepada Masyarakat' di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelangai di sini semalam.

Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga penasihat SASET berkenan merasmikan karnival itu.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit; Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Operasi SASET, Datuk Aida Jusuf.

Pada majlis itu Sultanah Kalsom turut berkenan menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada masyarakat di kawasan mukim Pelangai.

Menurut Adnan, penubuhan SASET amat signifikan dalam memupuk kesedaran tentang alam sekitar dan sikap menjaga kebersihan di kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berharap kesedaran tentang alam sekitar dan sikap menjaga kebersihan dapat disemai bermula dari rumah dan di bangku sekolah lagi.

"Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan mendidik anak mereka serta pelajar sekolah tentang nilai-nilai murni menjaga alam sekitar," katanya.

Sultanah Kalsom (kanan) diiringi Adnan Yaakob (berdiri dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak tadika pada majlis perasmian Karnival Pencinta Alam di SMK Pelangai, Bentong, kelmarin.

RM26j setiap tahun perkasa kelas KAFA

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

TEMERLOH 19 Jan. - Sebanyak RM26 juta diperuntukkan setiap tahun bagi melaksanakan kegiatan dan pembangunan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negeri ini.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Halimah Abdul Rahman berkata, peruntukan berkenaan disalurkan kepada 532 sekolah KAFA di negeri ini yang mempunyai sebanyak 60,000 orang murid.

"Kelas KAFA Pahang kini semakin berkembang maju dan mempunyai masa depan yang cerah yang mana kini lebih baik berbanding dahulu dan sentiasa mendapat sambutan daripada ibu bapa.

"Malah kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada kelas KAFA bagi meningkatkan mutu dan prestasi pembelajaran di sekolah berkenaan," katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Kuala Krau di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohammad Jaafar.

Menurut Halimah, peruntukan yang diberikan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya bagi pengajaran dan pembelajaran selain membayar gaji kira-kira 2,560 guru kelas berkenaan.

Sementara itu katanya, JAIP akan terus memantau dan memberikan bantuan berterusan kepada kelas KAFA di negeri ini dari semasa ke semasa.

Tambahnya, jabatan itu akan memastikan penubuhan kelas berkenaan mencapai matlamat dalam memberi pendidikan yang terbaik kepada masyarakat Islam di negeri ini.

32 ditahan dalam serbuan di pusat hiburan, pusat judi

Posted: 19 Jan 2014 11:20 AM PST

Sebahagian penjaga premis dan pelanggan yang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Kuantan, malam semalam.

KUANTAN 19 Jan. - Polis menahan 32 orang termasuk tiga individu yang mempunyai rekod jenayah dalam operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini malam tadi.

Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu melibatkan sebanyak 89 pegawai serta anggota dan diadakan selama lima jam bermula pukul 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan rumah urut, pusat hiburan dan pusat judi haram di sekitar bandar ini.

Beliau berkata, operasi itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan menyasarkan premis-premis tertentu berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis.

Menurutnya, dalam operasi pusat judi haram, pihaknya menyerbu sembilan premis dan menahan 20 lelaki dan seorang wanita termasuk penjaga premis di Jalan Haji Ahmad, Jalan Dato Lim Hoe Lek dan Jalan Beserah.

"Dalam operasi itu kita mendapati salah satu pusat judi haram tersebut di Jalan Haji Ahmad dibuka bersebelahan dengan pusat snuker yang mempunyai lesen perniagaan sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kegiatan mereka berjaya dihidu hasil maklumat orang awam dan kita menahan pelanggan termasuk penjaga premis terbabit untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, polis juga melakukan pemeriksaan terhadap lima premis pusat urut dan berjaya menahan sembilan wanita warga Thailand dan seorang lelaki dipercayai penjaga di salah sebuah premis tersebut.

Katanya, premis yang beroperasi di Jalan Beserah tersebut didapati membenarkan warga asing bekerja tanpa permit dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Bagi pusat hiburan pula, kita berjaya menyerbu satu pusat hiburan di Taman Kitasama, Jalan Beserah di sini dan menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis itu kerana beroperasi dengan lesen tamat tempoh," katanya.

Katanya, serbuan itu juga berjaya menahan tiga lelaki yang dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah atas pelbagai kesalahan dilakukan mereka sebelum ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved