Khamis, 10 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


TTPM kedua di Pulau Pinang

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my

ABDUL ROSIK YAKUB

BUKIT MERTAJAM 9 April Sebuah lagi cawangan Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) diwujudkan di Kompleks Sempilai, Seberang Jaya di sini selepas yang pertama terletak di Georgetown.

Pemangku Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pulau Pinang, Abdul Rosik Yakub berkata, pendengaran tuntutan di cawangan baharu itu sebelum ini dibuat menggunakan bilik mesyuarat.

Katanya, langkah itu akan membolehkan pengguna membuat sebarang tuntutan ganti rugi dan pampasan daripada pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab dengan cara mudah, murah dan cepat.

Kita mewujudkan TTPM untuk memberikan perkhidmatan mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna yang bijak.

Sebarang ketidakpuasan hati pengguna boleh diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan sebarang tuntutan boleh difailkan di PPDNKK dengan bayaran hanya RM5," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

TTPM adalah tribunal yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna 1999, berkuatkuasa pada 15 November 1999.

Abdul Rosik berkata, sebanyak 569 kes telah difailkan di negeri ini sepanjang tahun 2013 manakala 116 kes sehingga Mac lalu.

"Sebanyak 35 sesi pendengaran melibatkan 45 kes dibuat sepanjang tahun lalu dan 12 sesi membabitkan 20 kes sehingga Mac tahun ini," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan tuntutan kes yang difailkan membabitkan pengubahsuaian rumah, perkhidmatan utiliti, pakej pelancongan dan umrah, perkhidmatan bengkel kereta dan motor, pembelian perabot dan barangan elektrik, pembelian kenderaan baharu dan terpakai serta pembelian barang secara dalam talian.

Polis nafi dakwaan Pulau Pinang ‘bandar seks’

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Abdul Rahim Hanafi

PULAU PINANG 9 April - Polis negeri hari ini menafikan laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Pulau Pinang sebagai bandar seks berikutan terdapat kira-kira 200 hotspot yang dikatakan menawarkan perkhidmatan seks di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, laporan daripada kajian NGO terbabit boleh diragui kerana dijalankan pada tahun 2011 dengan respondennya adalah pemandu teksi.

Tegasnya, setakat ini polis telah mengenal pasti NGO terbabit dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan berhubung dakwaan yang dibuat.

Dakwaan itu bagi saya sememangnya tidak benar sama sekali memandangkan polis dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan sering menjalankan operasi bagi membanteras penularan aktiviti penawaran perkhidmatan seks di negeri ini termasuk di kawasan hotel dan premis hiburan.

Malah sejak tahun lalu, kita telah mempergiatkan usaha membendung kegiatan tidak bermoral ini sehingga purata lima kali sehari operasi dijalankan," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bersama Cegah Jenayah bagi Sekolah Menengah Peringkat Pulau Pinang, di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Abdul Rahim menambah, laporan kajian itu juga secara tidak langsung memberi imej buruk kepada pihak polis memandangkan ia seolah-olah menggambarkan pihak polis tidak menjalankan tugas.

Kita tidak pernah sama sekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan ini sebaliknya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Baru-baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan pendedahan sebuah NGO mendakwa sekurang-kurangnya terdapat 200 hotspot yang menawarkan perkhidmatan seks di Pulau Pinang.

Malah NGO terbabit juga dilaporkan turut mendedahkan beberapa `hotspot berkenaan dilengkapi dengan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Skuad khas ditubuh banteras mat rempit di Kedah

Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT

Ahmad Ibrahim

SUNGAI PETANI 9 April - Polis Negeri menubuhkan satu lagi skuad khas bagi membantu meningkatkan keberkesanan Op Cantas terutamanya dalam usaha membanteras gejala mat rempit di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polisnya, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, skuad khas yang dianggotai pegawai dan anggota unit trafik itu akan melakukan operasi dari semasa ke semasa dengan tumpuan kepada kesalahan lalu lintas dan berkaitan kenderaan.

Sejak kebelakangan ini kita dapati gejala mat rempit bukan sahaja membabitkan kesalahan lalu lintas semata-mata tetapi ia turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah sampingan seperti curi kereta serta motosikal.

Hal ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu terdiri daripada penganggur dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Apabila mereka terdesak, maka akan terlibat dalam kegiatan mencuri dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kes jenayah lain.

Polis memandang serius perkara ini dan kita akan ambil usaha bersungguh-sungguh untuk membanterasnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program derma darah dan lawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207, di sini kelmarin.

Yang hadir bersama ialah Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman; Pemangku Pengarah HSAH, Dr. Nooraini Abd. Rahman dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin.

Ahmad berkata, buat masa terdekat, unit khas terbabit akan bergerak aktif dengan melancarkan operasi setiap hujung minggu di daerah tumpuan seperti Kulim, Kuala Muda, Kota Setar dan Langkawi.

Polis juga mempunyai senarai mereka yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes-kes jenayah. Sekiranya mereka ditahan dalam operasi berkenaan, kita akan terus membuat siasatan lanjut dan mendakwa mereka di mahkamah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 70 pegawai, anggota, ahli keluarga serta pasukan sukarelawan polis menyertai acara derma darah semalam.

Beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu pendekatan bagi polis untuk turut serta dalam kegiatan bercorak kemasyarakat.

Polis bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja hakiki iaitu memelihara ketenteraman awam dan keselamatan tetapi turut menjalankan tanggungjawab sosial.

Langkah ini penting bagi kita mengeratkan lagi kerjasama antara pasukan dengan masyarakat," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved