Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dua Ahli Parlimen didakwa

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 24 Julai - Dua Ahli Parlimen, empat aktivis mahasiswa dan seorang anggota Sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, bulan lalu.

Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bersama aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd. Halim, Muhammad Safwan Anang @ Talib, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Muhammad Adib Ishar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berlainan.

Mohd. Rafizi, 36, Siew Fook, 36, dan Muhammad Adib, 24, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa atas pertuduhan pilihan, gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan itu iaitu 10 hari sebelum ia diadakan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Menurut undang-undang, Rafizi dan Siew Fook akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000 jika mereka didapati bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam N. Surendran dan Keppy Wong yang mewakili Mohd. Rafizi dan Muhammad Adib membantah atas alasan kes saman tidak memerlukan jaminan untuk dibebaskan.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan ketiga-tiga mereka dikenakan bon jaminan RM3,000 tanpa cagaran dan menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini dan perbicaraan pada 7 Oktober depan.

Peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Muhammad Adib dalam kes tersebut manakala Siew Fook diwakili peguam Thomas Su.

Sementara itu, Adam Adli, 24, Muhammad Safwan, 24, Ekhsan Bukharee, 22, dan Mohamed Bukhairy, 23, pula didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di kawasan larangan, Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad yang mengendalikan pendakwaan kes itu mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mat Ghani bagaimanapun menetapkan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran serta menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini manakala perbicaraan bermula 21 Oktober depan.

Adam Adli diwakili Surendran manakala tiga lagi aktivis mahasiswa diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Yang turut hadir di mahkamah ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Keputusan bantahan petisyen pilihan raya Nurul Izzah 1 Ogos

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Julai - Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memohon Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangannya yang dikemukakan oleh seorang pengundi kawasan tersebut.

Ini kerana menurut Mohd. Hafarizam, petisyen yang dikemukakan oleh Mohamad Sazali Kamilan itu perlu dibicarakan terlebih dahulu memandangkan dakwaan 'rasuah' yang dibuat oleh Nurul Izzah mempunyai merit untuk didengar dalam perbicaraan.

Beliau sehubungan itu memohon supaya bantahan awal itu ditolak dengan kos RM5,000 dibayar kepada Mohamad Sazali kerana berpendapat Nurul Izzah tidak sepatutnya memohon petisyen anak guamnya itu dibatalkan pada peringkat ini.

Sementara itu, barisan Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Alice Yoke dan Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Lembah Pantai dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggalkan mahkamah selepas mahkamah membenarkan permohonan Mohd. Hafarizam untuk mereka dikeluarkan sebagai pihak dalam petisyen tersebut.

Terdahulunya, peguam Edmund Bon yang mewakili Nurul Izzah selaku responden pertama memohon, petisyen Mohamad Sazali ditolak dengan kos atas alasan tindakan itu tidak menyatakan secara spesifik fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang didakwa disiarkan oleh portal berita, Malaysiakini.

Raja Nong Chik, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, turut hadir mendengar petisyen tersebut.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof yang mendengar bantahan awal Nurul Izzah akan membuat keputusan pada pukul 8 pagi, 1 Ogos ini.

Mahkamah sebelum itu menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Titiwangsa yang difailkan oleh Pas, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi bagi mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani.

Hakim Zabariah berkata, Ahmad Zamri gagal mengemukakan fakta untuk menyokong dakwaannya bahawa ejen Johari mengamalkan rasuah dan ejen itu mengedarkan risalah yang boleh mempengaruhi pengundi.

Hakim Zabariah menolak petisyen itu dengan kos berjumlah RM70,000 selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Johari.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved