Ahad, 9 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pekida gesa kerajaan siasat gambar hina PM

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Ngah Ismail (tengah) bersama ahli Pekida berhimpun secara aman membantah penghinaan melampau terhadap Perdana Menteri di Taman Kerang, Kuantan, semalam. - UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 9 Mac - Kira-kira 100 ahli Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) berhimpun di Taman Kerang bagi mendesak siasatan segera berhubung penyebaran gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diubah suai secara keterlaluan bersama seekor babi.

Pengerusi Pekida negeri, Ngah Ismail berkata, gambar yang disebar melalui internet itu bukan sahaja menghina Perdana Menteri malah agama Islam.

"Kita buat perhimpunan ini bukan kerana politik tetapi untuk mempertahankan agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan satu perbuatan yang melampaui batas. Sepatutnya kita harus menghormati pemimpin negara tidak kira daripada parti politik mana sekali pun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebanyak tiga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini selepas perhimpunan itu diadakan.

Sementara itu, Ngah berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat siasatan dalam kadar segera dan tidak tegak-agak mengenakan tindakan sewajarnya kepada pihak terlibat.

"Kita tidak mahu hanya siasatan dijalankan tetapi tiada tindakan diambil. Rakyat sudah jemu dengan perkara seumpama itu.

"Kita mahu tindakan undang-undang diambil. Heret mereka terlibat ke muka pengadilan," katanya.

9 kenderaan kemalangan akibat asap tebal

Posted: 09 Mar 2014 11:53 AM PDT

Beginilah keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan -Pekan berhampiran Penjara Penor akibat penglihatan terhad kerana kebakaran hutan di Kuantan, semalam. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 9 Mac - Sebanyak sembilan kenderaan termasuk dua lori merempuh antara satu sama lain gara-gara asap tebal akibat kebakaran hutan paya gambut di Jalan Kuantan-Pekan dekat Penjara Penor di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kebakaran menyebabkan jarak penglihatan pemandu kenderaan terhad sehingga lima meter sahaja. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, tindakan beberapa pengguna jalan raya yang berdegil mahu menggunakan laluan itu menyebabkan kemalangan membabitkan tujuh kereta dan dua lori.

"Kita mengambil langkah menutup laluan berkenaan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku selain memudahkan anggota bomba memadam kebakaran.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu dari arah Kuantan dan Pekan dilencongkan menggunakan laluan alternatif melalui Perkampungan Pantai Sepat di sini.

"Laluan berkenaan akan ditutup sehingga kerja memadam kebakaran selesai serta selamat untuk pengguna jalan raya," katanya dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jasmani berkata, dua anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengawal lalu lintas selain tidak membenarkan orang awam melalu jalan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nazili Mahmood berkata, 64 pegawai dan anggota bomba bersama empat jentera ditempatkan di situ yang meliputi kawasan seluas 12 hektar.

Menurutnya, pihaknya berusaha memadamkan kebakaran terbabit yang telah berlanjutan kira-kira seminggu lalu bagi mengelak merebak di kawasan perumahan di tempat tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved