Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Myanmar main wayang

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR - Belum pun acara bermula, pihak tuan rumah, Myanmar awal-awal lagi telah 'bermain wayang' apabila menunda tarikh pengundian bagi acara bola sepak serta acara sukan lain kepada 6 November berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 29 Oktober.

Sedangkan acara bola sepak dijangka bermula pada 1 Disember, situasi itu jelas mengundang resah ramai pihak terutama pengendalinya, Ong Kim Swee yang melihat perkara itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan mengaturkan perlawanan persahabatan berkualiti sebelum ke Myanmar.

Bertambah menggusarkan di benak pemikiran jurulatih dari Melaka itu, beliau hanya boleh mengetahui lawan yang mereka akan temui kurang daripada masa satu bulan dan dia menganggap itu sebagai satu pengalaman yang cukup aneh dalam menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa.

Namun, beliau sama sekali tidak terkejut dengan perkembangan tersebut setelah mendapat maklumat tersebut daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) malahan sudah dapat meneka pihak tuan rumah akan melakukan kejutan sedemikian kerana sudah masak dengan gelagat Myanmar.

''Baru-baru ini saya ada bercakap mereka akan menukar tarikh undian walaupun sepatutnya 29 Oktober tarikh pengundian dan nampaknya menjadi kenyataan.

''Situasi ini jelas berbeza berbanding di Indonesia, dua tahun lalu apabila kita sudah boleh tahu siapa lawan kita dalam masa dua ke tiga bulan sebelum bermula Sukan SEA.

''Jika pada 6 November baru mahu melakukan undian, ini bermakna kita ada masa kurang daripada sebulan jika perlawanan pertama berlangsung 1 Disember, malah situasi ini pasti menyulitkan perancangan kita jika mahu mengaturkan perlawanan persahabatan.

''Bagi saya, kita perlu bersiap sedia perkara yang lebih buruk selepas ini kerana bukan sahaja akan melalui perlawanan sukar dalam padang, malah di luar padang. Ini saya sentiasa ingatkan setiap pemain supaya mental mereka lebih bersedia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Kim Swee lagi, dia juga terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu, yang ditetapkan pada penghujung November kerana kelab Jepun itu hanya menamatkan aksi terakhir liga pada 29 November ini.

Malah, Kim Swee sendiri masih buntu memikirkan siapakah yang akan menjadi pengganti kepada Ryukyu, perlawanan pemanas badan terakhir sebelum semua pemainnya berangkat ke Myanmar pada 25 atau 26 November ini.

''Liga mereka (J-League 3) akan berakhir pada 29 November sedangkan tarikh akhir buat kita mengadakan sebarang perlawanan adalah seminggu sebelum ke Myanmar, jadi sudah tentu kita tidak boleh mengadakan aksi persahabatan dengan mereka kerana kesuntukan masa.

''20 November kita akan balik dari Jordan setelah melalui empat perlawanan di sana, bermakna saya ada masa lima hari sahaja sebelum bertolak ke Myanmar. Saya akan tunggu surat rasmi daripada MOM dan Myanmar mengenai tarikh sebenar cabutan serta jadual perlawanan sebelum membuat perancangan terbaharu," katanya.

Harimau Malaya sandarkan semangat

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

K. RajagoBal (kiri) bersama Subahan tiba di KLIA, Sepang semalam bersama skuad Harimau Malaya daripada aksi persahabatan di Shenzen, China. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

SEPANG - Hanya keyakinan meraih tiga mata dan mencuba yang terbaik menjadi bekalan jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal dan skuad Harimau Malaya apabila berdepan Bahrain dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Kehilangan Wan Zack Haikal Wan Noor, Fadhli Shas, Safee Sali, Helmi Remeli dan Razman Roslan, meninggalkan pilihan tonggak yang terhad buat Rajagobal sekali gus berharap baki pemain yang dimilikinya, mampu menampung kesulitan mereka menentang pendahulu Kumpulan D itu.

Kekalahan 3-1 kepada juara Piala Teluk, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam persahabatan di Shenzhen, turut mendedahkan jurang lawan dengan anak buahnya kelmarin tetapi tetap dikutipnya sebagai ilmu yang bakal mematangkan mereka menghadapi Bahrain pula.

Beliau yang ditemui sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam berkata, tanpa ramai tonggak, bukan senang menentang UAE, sebuah pasukan terkuat Asia Barat, juara Piala Teluk dan sebelum menentang kita, menewaskan New Zealand 2-0.

"Kita tahu UAE salah sebuah pasukan terbaik tetapi tujuan kita adalah untuk persiapan dengan Bahrain dan kita dapat satu tahap permainan baik UAE yang lebih kurang sama apabila kita menghadapi Bahrain," katanya yang turut mengakui kehilangan tonggak memberikan sedikit perbezaan pada pasukannya.

Namun, menilai rekod dan reputasi Bahrain, katanya: "Mereka tetap sebuah pasukan yang terkuat Asia selepas mengumpul dua kemenangan Kumpulan D. Kita pun tidak boleh katakan bakal mempunyai kelebihan kerana bermain di gelanggang sendiri.

"Anda boleh nilai sendiri perbezaan kita dengan Bahrain. Memang ada jurang dengan kita tetapi saya fikir bagi Asia Tenggara, Malaysia mempunyai tiga mata setakat ini dan sebagai rakyat Malaysia, kita kena bangga dan kita cuba apa yang kita boleh buat."

Rajagobal juga belum memutuskan siapa di barisan depan Harimau Malaya untuk menggempur Bahrain biarpun kelmarin mencuba gandingan Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah bagi 45 minit pertama menentang UAE yang cuma dibolosi jaringan tunggal Safiq Rahim.

"Saya harap (penyerang) Norshahrul Idlan Talaha akan bersama kita semula. Kami akan tengok keadaan hidungnya bagaimana (tercedera dalam suku akhir Piala Malaysia dengan Kelantan) dengan mendapatkan nasihat doktor. Begitu juga tahap kecederaan Aidil Zafuan Radzak dan Shakir Shaari," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, UAE yang meminta persahabatan itu supaya tidak diletakkan berstatus A antarabangsa selepas tidak dibenarkan oleh tuan rumah, China.

"China juga enggan berikan kebenaran status itu kerana UAE mengatur perlawanan itu melalui ejen dan bukannya dengan persatuan bola sepak. Saya dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin turut mempunyai hitam putihnya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved