Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Unit penguat kuasa berbasikal

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

AHMAD Phesal (tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus kepada sebahagian anggota penguat kuasa berbasikal DBKL selepas majlis melancarkan unit itu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Buat pertama kali di negara ini basikal yang direka khas diperkenalkan untuk tujuan rondaan dan penguatkuasaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membabitkan seramai 20 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Basikal seberat 8.5 kilogram itu dikenali sebagai Patrol Bike SW1126 yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat. Kenderaan itu mempunyai pelbagai ciri dan spesifikasi khas untuk tujuan penguatkuasaan termasuk menjadi senjata untuk mempertahankan diri jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, selain penggunaan kenderaan bermotor termasuk pasukan berkuda, penguatkuasaan menggunakan basikal tersebut merupakan ilham beliau selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mementingkan kehijauan terutama yang bebas dari asap kenderaan bermotor.

"Walaupun ada pihak yang menyifatkan kebanyakan pengguna kenderaan lain di jalan raya di negara ini sebagai tidak mesra basikal atau kenderaan kecil dan pejalan kaki namun ini bukan penghalang kepada DBKL untuk membentuk pasukan berbasikal ini untuk menjadi mata dan telinga kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Unit Penguat Kuasa Berbasikal DBKL dan menyampaikan sijil tamat latihan kursus penguatkuasaan berbasikal kepada 20 pegawai dan anggota penguat kuasa berkenaan yang menamatkan latihan selama enam hari dari Jumaat lalu di ibu negara hari ini.

Turut hadir dan menunjukkan demonstrasi dalam majlis itu ialah jurulatih dari Amerika Syarikat, Troy Geilish yang mempunyai pengkhususan dan pengiktirafan daripada International Police Mountain Bike Association (IPBA) yang dibawa oleh Syarikat Nichimen Resources Sdn. Bhd.

Namun buat peringkat permulaan, penguat kuasa berbasikal DBKL ini akan hanya melakukan rondaan di lima buah taman rekreasi di sekitar ibu kota bermula Sabtu ini, iaitu di Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Metropolitan Kepong dan Taman Metropolitan Batu.

"Pasukan ini akan bertindak sebagai perantara dalam menyampaikan mesej dan maklumat berkaitan Kuala Lumpur dengan penampilan imej yang lebih segak dan mesra terhadap warga kota dan pelancong yang semakin meningkat jumlah kedatangan mereka ke Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua bayaran kompaun trafik DBKL boleh dibuat di pejabat pos di seluruh Kuala Lumpur mulai hari ini, dan akan diperluas ke pejabat pos seluruh negara secara berperingkat.

Beliau berkata, tempoh promosi bayaran kompaun RM30 untuk motosikal dan RM50 bagi kenderaan lain di pejabat pos boleh dibuat hingga 31 Disember depan.

77 lokaliti diserang denggi

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Sebanyak 77 lokaliti di daerah Hulu Langat dikenal pasti berlaku wabak denggi termasuk sepuluh kawasan tidak terkawal dan tiga diisytiharkan sebagai 'hot spot'.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, antara kawasan tersebut termasuklah di Taman Pelangi Semenyih, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Baru Bangi, Taman Prima Saujana dan Kampung Sungai Ramal.

Beliau berkata, antara punca merebaknya wabak itu ialah akibat pembuangan sampah secara tidak wajar, yang menyebabkan nyamuk Aedes boleh membiak.

Katanya lagi, pihaknya telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat iaitu Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) untuk membendung wabak itu daripada terus merebak.

Beliau menjelaskan, strategi utama kawalan denggi di daerah Hulu Langat adalah mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes iaitu melalui pelupusan sampah yang teratur.

"Selain itu kita juga bekerjasama dengan PBT dalam mengadakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong dan semburan asap (fogging).

"Mobilisasi komuniti melalui tabiat membuang sampah yang teratur juga amat penting bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan bebas wabak denggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selangor perlu serius tangani masalah perumahan rakyat - Johan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

SHAH ALAM 9 Okt. - Kerajaan pakatan pembangkang Selangor diminta supaya lebih serius menyelesaikan masalah kekurangan rumah untuk rakyat di negeri ini, khususnya melibatkan golongan yang berpendapatan pertengahan dan rendah.

Pengerusi Penyelaras Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, ketika ini rakyat dalam kumpulan pendapatan itu di Selangor dilihat sukar untuk memiliki kediaman sendiri ekoran tanah untuk membangunkan projek perumahan kos rendah dan sederhana adalah terhad.

Selain itu, katanya, walaupun terdapat banyak pelaksanaan projek perumahan di Selangor oleh pemaju swasta dan anak syarikat kerajaan negeri sendiri ketika ini, rumah-rumah yang dibina dilihat tidak mesra kepada golongan berkenaan kerana harganya terlalu tinggi dan jauh dari kemampuan kewangan mereka.

Sebagai contoh di daerah Hulu Langat, saya dimaklumkan terdapat ribuan borang permohonan dibuat kepada kerajaan negeri untuk rumah kos rendah sejak enam tahun lalu. Bagaimanapun, bilangan rumah tersebut tidak seimbang dengan jumlah permohonan yang diterima.

Soalnya bagaimana dengan janji kerajaan negeri sebelum ini mahu menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat Selangor. Apakah rakyat, khususnya dari kumpulan pendapatan berkenaan, hanya mampu berharap sahaja tanpa sebarang pembelaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Johan, selain menetapkan syarat kepada pihak pemaju swasta supaya memperuntukkan lebih 30 peratus rumah kos rendah dan mampu milik bagi setiap projek baharu yang dilaksanakan di Selangor, kerajaan negeri dicadangkan supaya mengarahkan anak-anak syarikatnya supaya memberi tumpuan kepada pembinaan projek perumahan tersebut.

Semalam, Menteri Kesejahteraan bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyarankan kerajaan-kerajaan negeri memberikan tanah agar dapat mengurangkan kos dan membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara.

Tanah tersebut menurutnya akan digunakan di bawah program Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang menyasarkan pembinaan 500,000 unit kediaman jenis itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved