Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pegawai polis wanita direman

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan menutup wajahnya semasa dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman berkaitan seorang tahanan berjaya meloloskan diri di Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/ismail kamadin

PULAU PINANG 10 Okt. - Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Supritendan (ASP) direman bagi membantu siasatan kes seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mahkamah membenarkan pegawai wanita berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pegawai polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang yang kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, pegawai berusia 55 tahun itu juga disiasat di bawah Seksyen 225A kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali kerana meninggalkan atau membiarkan tahanan lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tahanan terbabit, K. Prabaharan, 45, yang terlibat dalam kes penipuan dan digelar 'Doktor Kasanova' melarikan diri ketika berada di mahkamah selepas dibawa dari Mahkamah Cameron Highlands.

Suspek dikatakan melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari semasa pegawai terbabit mengarahkan anggota pengiring keluar makan dan meninggalkan lelaki berkenaan di dalam biliknya.

Menurut Abdul Rahim, Prabaharan yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sepatutnya dihantar ke Penjara Reman Pulau Pinang selepas habis sebutan akhir kesnya di Cameron Highlands kelmarin.

"Dalam perjalanan ke penjara, seorang pegawai mahkamah di Pulau Pinang menghubungi polis pengiring dan meminta agar suspek dihantar ke pejabatnya namun suspek bertindak melarikan diri ketika berada di pejabat pegawai tersebut.

"Ketika melarikan diri suspek memakai kemeja T tanpa kolar berwarna ungu dan berseluar pendek merah," jelasnya.

Katanya, suspek masih menghadapi empat pertuduhan di daerah Timur Laut, masing-masing dua pertuduhan di Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta satu kes di Cameron Highlands.

Selain itu, Prabaharan yang beralamat terakhir di Taman Mas, Ipoh, Perak juga amat dikehendaki polis di Segamat, Sungai Petani dan Taiping kerana kesalahan di bawah seksyen sama.

Polis kini menjalankan Op Tutup untuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang dengan bantuan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Prabaharan ditahan 4 Januari lalu di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini, setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman-laman web sosial dan mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.

Dia juga dikatakan menyamar sebagai doktor bagi memperdayakan kesemua wanita berkenaan dengan pelbagai janji manis termasuk untuk mengahwini mangsa.

Lelaki rompak rumah Dr. Juanda dipenjara 7 tahun

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KUCHING 10 Okt. - Seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak kediaman Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya, Ogos lalu dihukum penjara tujuh tahun dan sebatan lima kali oleh sebuah lagi mahkamah atas satu jenayah ragut bulan lalu.

Mohamad Shariman Alwi, 30, yang bekerja sebagai peniaga ikan dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Timothy Finlayson Joel selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan meragut beg tangan seorang wanita.

Terdahulu lelaki itu didakwa di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbang atas tuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan di rumah Juanda melibatkan kerugian RM46,500.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah.

Mohamad Shariman bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan bersenjatakan parang di kediaman Juanda di Taman Carisa, Lorong Bakti 1B, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 16 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, mereka didakwa merompak pelbagai barangan termasuk barangan kemas bernilai RM35,000, wang tunai RM6,500 dan beberapa gajet elektronik termasuk dua unit telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM5,000.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 25 November ini.

Bagi kes ragut, Mohamad Shariman mengaku merompak sebuah beg tangan serta seunit telefon bimbit jenama Nokia milik Normayati Mohd. Rajali, 19, di sebuah hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di sini pada pukul 3 petang, 9 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan menyandang beg tangan di bahu kiri sebelum suspek yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss tanpa nombor pendaftaran bertindak meragut beg tangan berkenaan.

Tertuduh gagal melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga sebelum diberkas anggota polis di tempat kejadian.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada hari kejadian.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved