Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kes denggi membimbangkan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Ab. Rahaman Ab. Karim (kanan) memantau keadaan di sebuah rumah ketika Ops Gempur Aedes 4, di Taman Thamby Chik Karim, Batu Berendam, Melaka, kelmarin.

MELAKA 9 Okt. - Orang ramai digesa supaya memberi kerjasama dalam memastikan kebersihan di kawasan perumahan dan premis masing-masing terpelihara berikutan kes denggi di negeri ini semakin membimbangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, peningkatan kes yang pantas sejak empat minggu berturut-turut dilihat membimbangkan.

Menurutnya, sehingga kini Melaka mencatatkan negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Johor berlakunya wabak tersebut dengan 711 kes sejak 30 Disember hingga 5 Oktober lalu.

Beliau berkata, trend kes denggi juga memperlihatkan peningkatan yang berterusan daripada awal Ogos sehingga ke hari ini berbanding statistik tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu peningkatan 87.1 peratus dengan 331 kes.

"Jumlah lokaliti berlaku peningkatan kes juga meningkat sebanyak 200 peratus iaitu 24 lokaliti berbanding lapan lokaliti bagi tempoh yang sama pada tahun lalu dan di Melaka Tengah terdapat 20 lokaliti peningkatan kes dan Alor Gajah (4).

"Kes kematian disebabkan denggi di negeri ini turut meningkat kepada enam kematian tahun ini melibatkan mangsa berusia antara sembilan bulan hingga 54 tahun berbanding sifar sejak dua tahun lalu, iaitu dua daripada kes itu berlaku di Taman Thamby Chik Karim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasaan (Ops Gempur Aedes 4 di Taman Thamby Chik Karim, Batu Berendam di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr. Ismail Ali dan Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan negeri, Dass Kandunni.

Ab. Rahaman berkata, daripada pemeriksaan dan tinjauan di taman perumahan itu mendapati masih ada kawasan terdapat banyak bahan-bahan terbuang yang dilihat sangat berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes.

Beliau turut mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih tegas mengambil tindakan kepada penghuni yang ingkar supaya sikap buruk ini tidak berterusan hingga menyebabkan usaha mencegah denggi ini gagal.

Katanya, kesedaran daripada orang ramai tentang penyakit tersebut perlu ada dalam diri masing-masing untuk bersama mencegah dan membanteras pembiakan nyamuk berbahaya itu yang boleh menyerang sesiapa tanpa mengenal usia dan tempat tinggal.

"Kerjasama masyarakat terutamanya penduduk setempat perlu ada, selain usaha bersepadu bersama jabatan kesihatan, PBT, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri perlu digembleng bagi mengawal penularannya," katanya.

Negeri Sembilan lulus pelaburan RM3.392b

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

SEREMBAN 9 Okt. - Jumlah pelaburan yang diluluskan kerajaan negeri dari 2012 sehingga Mei tahun ini adalah sebanyak RM3.392 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, jumlah berkenaan melibatkan 55 projek dan mampu mewujudkan 5,675 peluang pekerjaan.

''Jumlah ini adalah melebihi sasaran RM1 bilion yang dibuat setiap tahun ke arah mencapai status negeri maju dalam tahun 2020," katanya di sini hari ini.

Untuk itu kata Mohamad, kerajaan negeri merangka pelbagai usaha untuk meningkatkan kehadiran pelabur dalam negeri ini, serta memastikan pelaburan baharu terus tercapai melalui kaedah 'mesra pelabur' ini.

''Kerajaan negeri akan memberikan kelulusan segera ke atas permohonan pelaburan melalui pusat kelulusan setempat," ujar beliau.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan mengatur pertemuan langsung dan sesi taklimat mahupun perbincangan bersama pelabur baharu yang berminat melabur dengan pemaju kawasan perindustrian.

Turut dilakukan adalah menawarkan khidmat bantuan kepada pelabur yang berminat untuk melabur termasuklah kepada pelabur sedia ada di negeri ini dalam menyelesaikan permasalahan syarikat yang berkaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri.

''Memang menjadi dasar kerajaan negeri, kawasan perindustrian dan pelaburan baharu ini akan dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas, malah ada yang telah dinaik taraf dan diselia dengan baik, selaras dengan keperluan syarikat berteknologi tinggi," ujar beliau.

Pada masa sama, Mohamad memberitahu, kerajaan menyediakan maklumat berkaitan peluang pelaburan dan kawasan industri kepada pelabur melalui laman sesawang agar mereka mendapat gambaran yang betul terhadap komitmen kerajaan negeri.

Rel kereta api 1909 ditemui dalam hutan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Mohd. Rosli Saludin menunjukkan rel kereta api lama yang ditemui dalam hutan dekat Pelangai, Kuala Pilah, semalam.

KUALA PILAH 9 Okt. - Seorang penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menemui besi rel kereta api Kuala Pilah yang telah terkubur sejak 1909 di hutan berhampiran pekan Pelangai di sini hari ini.

Besi berkenaan ditemui Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi universiti berkenaan ketika menyusuri hutan Pelangai dekat sini bagi mencari bekas tinggalan rel kereta api untuk melengkapkan penyelidikannya berkaitan sejarah Negeri Sembilan.

Katanya, usaha beliau tidak sia-sia selepas berjaya menemui sebahagian besi rel kereta api tersebut di dalam hutan berkenaan.

''Saya datang ke sini bagi melakukan penyelidikan tentang susur galur sejarah kereta api Kuala Pilah dan bercuti selama seminggu untuk mencari bahan-bahan sejarah berkenaan.

''Selepas bertemu dengan orang lama yang tinggal di Kampung Pelangai ini, mereka memberitahu bahawa kawasan yang saya jumpa besi ini dahulunya merupakan landasan kereta api yang mana kiri dan kanannya adalah sawah padi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menceritakan penemuan itu, tambah beliau, selama hampir empat jam menyusuri hutan itu seorang diri dan berehat di bawah sebatang pokok kundang untuk menghilangkan penat, dia ternampak kayu yang bentuknya seperti 'selipar' yang menyerupai rel besi landasan keretapi.

"Saya terus menggali tanah di kawasan tersebut bagi mencari rel besi berkenaan. Semasa menemui besi tersebut, saya sangat gembira kerana memang hasrat saya untuk mencari bekas tinggalan rel kereta api bagi dijadikan bukti kajian sejarah yang sedang dilakukan," katanya.

Tambah Rusli, selepas penemuan itu, keesokannya harinya, dia bersama seorang rakan, Shariffudin Abd. Latif, 63, sekali lagi meredah hutan di situ untuk melihat secara terperinci rel tersebut.

''Penyelidikan ini akhirnya ada bukti dan fakta tepat. Bukan bermakna cerita orang lama saya tidak percaya tetapi apabila melihat sendiri, barulah tahap keyakinan untuk bercerita dengan orang ramai lebih tinggi," ujarnya.

Tegas beliau, meskipun usia rel kereta api ini telah mencecah 104 tahun, tetapi besinya masih kukuh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved