Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Tiga lagi penjenayah ditembak mati

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) bersama timbalannya, Datuk A. Paramasivam (tengah) menunjukkan barang kemas yang dicuri sekumpulan penjenayah yang ditembak mati di Meru Raya dalam sidang akhbar di Ipoh. semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

IPOH 10 Okt. - Kurang 24 jam selepas menumpaskan tiga penjenayah warga Indonesia di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di ibu negara semalam, polis menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di sini hari ini.

Ini merupakan kejayaan terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan enam penjenayah berbahaya yang ditembak mati dalam tempoh 48 jam.

Polis juga berjaya menemukan tujuh dulang barang kemas bernilai lebih RM1.8 juta yang dilarikan penjenayah tersebut dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, tiga penjenayah tersebut tumpas selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis manakala seorang lagi sempat meloloskan diri ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kira-kira 15 minit sebelum kejadian itu, empat penjenayah berkenaan merompak kedai emas di bandar Meru Raya.

Katanya, bertindak atas maklumat sebuah pasukan Op Cantas Khas yang beroperasi di kawasan itu berjaya mengesan kereta jenis Proton Waja dinaiki penjenayah berkenaan tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi.

"Semasa cuba menahan kereta tersebut di bulatan Meru Raya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta polis dan terus memecut laju sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di simpang tiga Meru Raya.

"Seorang suspek keluar dari kereta lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis yang kemudian membalas tembakan dan berjaya menumpaskan tiga penjenayah manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, polis percaya penjenayah yang masih bebas itu tidak dapat lari jauh dan akan ditangkap dalam tempoh terdekat kerana dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kaki sama ada akibat ditembak atau terseliuh semasa cuba melarikan diri.

"Polis telah mengepung kawasan tersebut dan memanggil Pasukan Gerakan Am untuk menjejaki penjenayah yang lolos itu. Orang ramai atau pengamal perubatan yang mendapati mana-mana lelaki berketurunan India cedera akibat tembakan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam kereta dinaiki penjenayah terbabit, polis menemukan sepucuk pistol jenama Star jenis Caliber 7.2mm, dua telefon bimbit, sebilah parang, dua topeng ski, tiga butir peluru .32mm, dua kelongsong peluru .32mm dan tujuh dulang barang kemas.

"Semasa menjejaki suspek yang melarikan diri, polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama tiga butir peluru Caliber 9mm di dalam kebun kelapa sawit tersebut yang dipercayai tercicir daripada suspek yang masih bebas," katanya.

Katanya, kenderaan dinaiki penjenayah berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu.

Acryl Sani berkata, setakat ini, polis belum mengenal pasti identiti kesemua penjenayah berkenaan kerana tiada dokumen pengenalan ditemui pada mereka.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan polis atas kejayaan terbaharu itu selepas berjaya menembak mati tiga penjenayah di pekan Gerik pada 2 Oktober lalu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Polis sahkan tiga penjenayah mati ditembak merupakan ahli kongsi gelap

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

KEPALA BATAS 10 Okt. - Polis mengesahkan tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan itu di Ipoh, Perak hari ini merupakan ahli kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan juga mendapati ketiga-tiga penjenayah itu tiada kaitan dengan tiga penjenayah warga Indonesia yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di ibu negara semalam.

"Kes di Ipoh adalah penjenayah menyasarkan kedai emas dan mereka dipercayai terlibat dengan tiga kes sebelum ini manakala di Selangor, kumpulan penjenayah terbabit menyasarkan orang awam yang baru mengeluarkan duit dari bank," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis tahlil dan penyampaian sumbangan lebih RM50,000 kepada Atikah Mohd. Rosdi, balu Allahyarham Sarjan Zal-Azri Abdul Somad, 31, yang terkorban dalam Ops Lejang di Melaka bulan lalu.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene dan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Polis menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di Ipoh hari ini, kurang 24 jam selepas menumpaskan tiga penjenayah warga Indonesia di ibu negara semalam.

Menurut Khalid, kumpulan kongsi gelap tersebut bergiat aktif di sekitar Perak dan kini pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi memburu saki-baki kumpulan berkenaan yang masih bebas.

Sementara itu, ketika ditanya adakah pihak polis akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengatasi kes orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri dari mahkamah, Khalid berkata, perkara itu tidak perlu.

"Tidak perlu perkenalkan SOP baharu kerana garis panduan sedia yang ada sudah mencukupi dan hanya perlu dipatuhi oleh anggota bertugas. Dalam kes ini, saya percaya ada cerita tersembunyi dan kita akan siasat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved